Nikmat Syurga.

OLEH: Ustaz Idris Sulaiman.


NIKMAT SYURGA

ISTERI BERSAMA SUAMINYA 

ATAU BOLEH MEMILIH SUAMI LAIN? 


Syurga merupakan tempat nikmat yang sempurna yang Allah ﷻ sediakan buat para hambaNya yang soleh dan bertakwa. 


Nikmat-nikmat yang Allah sediakan dalam syurga tidak terkata dan melangkaui khayalan manusia berdasarkan firman Allah ﷻ:


“Maka tidak ada seorang pun yang mengetahui apa yang telah dirahsiakan untuk mereka (daripada segala jenis nikmat) yang teramat indah dipandang dan menggembirakan, sebagai balasan bagi amal-amal soleh yang mereka telah kerjakan.” 


[as-Sajdah, 32:17]


Dalam hadis kudsi Allah ﷻ berfirman:  


“Aku telah sediakan buat para hambaKu yang soleh apa yang tidak pernah dilihat oleh mata, didengar oleh telinga mahupun terlintas dalam hati manusia.” 


[Sahih. Riwayat Bukhari dan Muslim]


Nikmat yang kekal ini dikongsi sama antara mereka yang beriman, lelaki dan perempuan. Sebagaimana firman Allah ﷻ: 


“Sesiapa yang beramal soleh, daripada kalangan lelaki atau perempuan, dalam keadaan dia beriman maka sesungguhnya Kami akan berikan kepadanya kehidupan yang baik; dan sesungguhnya Kami akan membalas mereka dengan memberikan pahala yang lebih daripada apa yang mereka telah kerjakan.”


[an-Nahl, 16:97]


Allah ﷻ telah menyebutkan dalam Al-Quran dan Rasulullah ﷺ dalam hadis pelbagai macam nikmat syurga serta jenis-jenisnya dalam bentuk makanan, minuman, pernikahan, pakaian dan sebagainya sedangkan apa yang telah disebutkan hanyalah sekelumit daripada apa yang Allah ﷻ telah sediakan manakala akal manusia tidak dapat menaakul hakikat maknanya ataupun keadaannya. 


Ini sebagaimana yang dijelaskan oleh Sahabat juru tafsir Al-Quran iaitu Ibnu Abbas “Tiadalah di dunia daripada apa yang ada di syurga melainkan nama sahaja.”


Justeru tidak sesuai untuk manusia membahaskan perincian apa yang ada di syurga yang disebut dalam nas secara umum mahupun berusaha untuk menyingkap hakikat apa yang Allah ﷻ telah sembunyikan ketika mana akal mereka tidak dapat menjangkau bagaimana keadaan nikmat-nikmat di akhirat.


Ini kerana nikmat-nikmat di syurga tidak boleh dikiaskan dengan nikmat-nikmat yang ada di dunia. 


Sebagaimana sabda Nabi ﷺ: 


“Tempat letak cemeti seseorang kamu di syurga lebih baik daripada dunia dengan segala apa yang ada di atasya.” 


[Sahih. Riwayat Bukhari] 


Dalam sebuah hadis Rasulullah ﷺ menjelaskan: 


“Kumpulan pertama yang memasuki syurga adalah bak bulan pada malam bulan purnama manakala kumpulan yang menelusuri mereka adalah seperti bintang yang paling bersinar cahayanya. Mereka bersatu hati. Tidak ada perselisihan atau kebencian antara mereka. Setiap mereka memiliki dua orang isteri yang sumsum tulangnya kelihatan daripada betis-betis mereka dari balik daging kerana teramat cantiknya. Mereka senantiasa bertasbih pada waktu pagi dan petang. Mereka tidak meludah, mengeluarkan kahak ataupun membuang air. Pinggan mangkuk dan sikat mereka diperbuat daripada emas dan perak.” 


[Sahih. Riwayat Bukhari dan Muslim]


Berkenaan para suami isteri di dunia, sekiranya mereka berdua masuk syurga maka hubungan mereka akan berubah dan mereka akan merasakan kebahagiaan yang paling sempurna, tanpa sebarang kekurangan.  


Dan ini merupakan antara makna dalam doa solat jenazah yang dibaca oleh Nabi ﷺ: 


“Dan gantilah tempat tinggalnya dengan tempat tinggal yang lebih baik daripada yang ditinggalkannya, keluarga yang lebih baik daripada keluarganya dan isteri yang lebih baik daripada isterinya.” 


[Sahih. Riwayat Muslim]


Ini kerana penggantian ada dua makna: 


Pertama: Penggantian fizikal seperti mana sekiranya salah seorang daripada mereka terhalang dari syurga maka pasangannya akan berkahwin dengan yang lain. 


Kedua: Penggantian sifat iaitu dengan disempurnakan segala sifat yang baik dan dihilangkan segala sifat yang buruk. 


Ini penting untuk mengharmonikan antara maksud doa yang Nabi ﷺ ajarkan di atas dengan sabdanya ﷺ: 


“Mana-mana perempuan yang kematian suaminya lalu dia berkahwin sesudah itu maka dia akan bersama suaminya yang terakhir.” 


[Sahih. Tabarani dalam al-Kabir]


Dalam masa yang sama, tiada halangan untuk mengatakan bahawa si isteri itu boleh meminta pasangan lain yang dia mahu, jika itu pilihannya. 


Di samping tiada nas yang menghalang permintaan sedemikian, ia juga menepati keumuman mafhum firman Allah ﷻ: 


“Mereka memperoleh apa yang mereka mahu di situ, dan di sisi Kami ada lagi tambahan.” 


[Qaf, 50:35] 


Dan firmanNya: 


“Dan di dalam syurga disediakan segala yang diingini oleh nafsu serta dipandang indah oleh mata; dan kamu tetap kekal di dalamnya." 


[az-Zukhruf, 43:71]


Maksud di sini ialah bahawa para penghuni syurga, baik lelaki ataupun perempuan akan menikmati segala kesenangan dan kebahagiaan, zahir dan batin. 


Adakah di syurga seorang perempuan itu akan mempunyai beberapa orang suami? Tiada nas Al-Quran atau as-Sunah yang menunjukkan sedemikian. 


Dan maklum bahawa hakikat nikmat syurga merupakan perkara ghaib yang hanya boleh diketahui melalui petunjuk wahyu, dan bukan sekadar mengikut qias akal. 


Sementara itu, sabdanya ﷺ “Mereka bersatu hati. Tidak ada perselisihan atau kebencian antara mereka” menafikan sebarang rasa tidak senang atau cemburu kerana suami mempunyai lebih daripada seorang isteri seperti mana keadaannya di dunia. 


Tiada ulama yang mengatakan bahawa seorang perempuan itu akan berkahwin di akhirat dengan lebih daripada seorang suami. 


Dan zahir Al-Quran menafikannya kerana hal tersebut menyalahi erti kesempurnaan. Seorang perempuan itu tidak mungkin dikongsi bersama lebih daripada seorang lelaki. 


Allah ﷻ memuji bidadari-bidadari syurga dalam firmanNya “Yang tidak pernah disentuh sebelum mereka oleh manusia atau jin” (ar-Rahman, 55:56) sedangkan perempuan-perempuan yang masuk syurga lebih layak untuk memiliki segala sifat kemuliaan dan kesempurnaan. 


Akhir kata, apa yang utama bagi Muslim dan Muslimat ialah berusaha gigih beramal soleh dan sedaya upaya menolak bisikan-bisikan syaitan yang mengganggu manusia supaya terjebak dalam apa yang dilarang. 


Idris bin Sulaiman 

Kajang 

22 Jamadilakhir 1443H /

27 Disember 2021 




Comments