OLEH: Abu Aqif
Rasulullah ﷺ bersabda:
كُلُوْا وَ أَطْعِمُوْا وَادَّخِرُوْا
"Makanlah, berikanlah (kepada orang lain) dan simpanlah. [HR al-Bukhari, no. 5569; Muslim, no. 1974].
Menurut jumhur ulama, perintah memakan, memberikannya kepada orang lain dan menyimpan dalam hadis di atas memberikan makna sunnah bukan bermakna wajib.
Oleh kerana itu disunatkan bagi orang yang berkorban untuk memakan, menyimpan dan memberikan daging haiwan korbannya.
Sebahagian ulama berpendapat bahawa disunatkan membahagi daging menjadi tiga bahagian, namun hadis yang menjadi patukan itu lemah. Kerana ianya lemah, maka orang yang melakukan ibadah korban itu bebas membahaginya sesuai kemahuannya. [Lihat, Shahih Fiqhis Sunnah, 2/378].
Dalil membolehkan untuk empunya korban memakan sendiri sembelihan korbannya, boleh juga menyimpan bahagian daging korbannya dan perlu juga disedekahkan bahagian daging itu.
Namun berapa banyak jumlah bahagian itu bergantung kepada empunya korban kerana dialah sendiri yang tahu tahap keperluan diri dan keluarganya.
Atau jika dia mahu, dia boleh sahaja sedekahkan keseluruhan daging korbannya. Ini juga Nabi pernah lakukan.
Dari Ali bin Abi Thalib رضي الله عنه,
أَنَّ النَّبِىَّ – صلى الله عليه وسلم – أَمَرَهُ أَنْ يَقُومَ عَلَى بُدْنِهِ ، وَأَنْ يَقْسِمَ بُدْنَهُ كُلَّهَا ، لُحُومَهَا وَجُلُودَهَا وَجِلاَلَهَا ] فِى الْمَسَاكِينِ[ ، وَلاَ يُعْطِىَ فِى جِزَارَتِهَا شَيْئًا
Nabi ﷺ memerintahkan dia untuk menguruskan unta-unta hadyu. Baginda memerintah untuk membahagikan semua daging korbannya, kulit dan jilalnya (kulit yang ditaruh pada punggung unta untuk melindungi dari dingin) untuk orang-orang miskin. Dan beliau tidak dibenarkan memberikan bahagian apa pun dari korban itu kepada tukang daging (sebagai upah).[HR. Bukhari no. 1717 dan Muslim no. 1317].
الله أعلم.
Comments
Post a Comment