Bolehkah Solat Hari Raya Di Rumah, Bagaimana Dengan Khutbah ?

 OLEH: Ustaz Muhammad Fahmi Rusli


1- Dalam mazhab Al-Imam Al-Syafi’e, solat hari raya boleh untuk dilakukan di rumah sama ada secara berjemaah mahupun bersendirian.

Kata Al-Imam Al-Nawawi :

أنَّ صَلَاةَ العِيدِ تُشْرَعُ لِلْمُنْفَرِدِ فِي بَيتِهِ أَوْ غَيرِهِ

Maksudnya : Sesungguhnya solat hari raya itu turut disyariatkan kepada orang yang bersendirian (untuk dilakukan) di rumahnya atau di tempat selainnya.

Rujuk Raudah Al Talibin, Al Nawawi (2/70)

2- Jika seseorang melakukan solat hari raya secara seorang diri, adakah perlu untuk dia membaca khutbah sesudah solat raya ?

Jawapannya : Tidak perlu. Jika solat hari raya berjemaah baru perlu kepada khutbah selepas solat raya.

Kata Al-Imam Al-Nawawi :

فَصَلَّاهَا المُنْفَرِدُ لَمْ يَخْطُبْ عَلَى الصَّحِيحِ

Maksudnya : Sekiranya seseorang melakukan solat hari raya secara bersendirian, maka dia tidak perlu berkhutbah mengikut pendapat yang sahih (dalam mazhab).

Rujuk Raudah Al Talibin, Al Nawawi (2/70)

3- Adapun jika solat hari raya itu dilakukan secara berjemaah di rumah, maka disunatkan untuk imam solat membaca khutbah sesudahnya.

Kata Al Imam Al Khatib Al-Syirbini :

وَيخطب بَعْدَهُمَا أَي الرَّكعَتَينِ خُطْبَتَين لجماعة لَا لِمُنْفَرِد

Maksudnya : Dan dibacakan khutbah sesudahnya - iaitu usai dua rakaat solat raya - sebanyak dua khutbah bagi yang solat raya secara berjemaah, tidak bagi yang mengerjakannya secara bersendirian.

Rujuk Al-Iqna’, Al Khatib (1/187)



[Gerakan PENA Malaysia]


Dapatkan Himpunan Risalah Aqidah yang ditulis oleh Sheikh Muhammad bin Abdul Wahab. Risalah-risalah beliau dihimpun sebagai sebuah kitab dan diterjemahkan ke dalam Bahasa Melayu (Malaysia).
Boleh dapatkan  KLIK DI SINI



Comments