Niat Baik Tidak Menjadikan Maksiat Elok

 OLEH: Ustaz Idris Sulaiman


- Kedua-dua niat dan amalan perlu baik

Sering dalam perbahasan mengenai sesuatu amalan yang dilakukan oleh masyarakat kedengaran ada yang berkata: 

“Apa yang penting ialah niat!” 

“Yang penting niatnya baik!” 

Dan seumpamanya. 

Perlu ditegaskan bahawa kenyataan seperti di atas salah. 

Dalam Islam matlamat tidak menghalalkan cara manakala niat yang baik tidak menjadikan sesuatu yang menyalahi syarak elok. 

Oleh itu, tidak dinafikan bahawa niat baik itu penting tetapi sesuatu amalan itu juga perlu elok dan menepati syariat. 

Seperti mana jika niatnya buruk maka sesuatu amalan itu jadi buruk, begitu juga jika sesuatu amalan itu buruk dan tidak menepati syariat maka amalan itu akan jadi buruk sekalipun ia didasari niat yang baik. 

Firman Allah ﷻ:

فَمَن كَانَ يَرۡجُواْ لِقَآءَ رَبِّهِۦ فَلۡيَعۡمَلۡ عَمَلٗا صَٰلِحٗا وَلَا يُشۡرِكۡ بِعِبَادَةِ رَبِّهِۦٓ أَحَدَۢا.

“Oleh itu barang siapa berharap akan pertemuan dengan Tuhannya maka hendaklah dia mengerjakan amalan yang soleh dan janganlah dia mempersekutukan sesiapapun dalam ibadahnya kepada Tuhannya."

[Al-Quran, al-Kahfi, 18: 110]

Ayat di atas menunjukkan bahawa keimanan dan keikhlasan untuk bertemu Allah ﷻ tidak memadai sebaliknya hendaklah ia disusuli dengan amalan yang soleh di samping menjauhi perkara-perkara syirik. 

Sabda Nabi ﷺ: 

وأجْمِلُوا في الطَّلَبِ فإنَّ اللهَ لا يُنالُ ما عِندَه إلا بِطاعتِه .

“Gunakanlah cara yang baik dalam mencari rezeki kerana sesungguhnya (nikmat) yang ada di sisi Allah tidak akan dicapai kecuali dengan mentaatiNya.” 

Yakni nikmat syurga Allah ﷻ tidak mungkin dicapai melalui jalan yang buruk dengan bermaksiat kepadaNya. 

Antara beberapa peristiwa pada zaman Rasulullah ﷺ yang boleh dikaitkan dengan permasalahan ini ialah: 

1. Dalam sebuah peperangan, Usamah bin Zaid radiallahuanhu mengejar seorang lelaki daripada kalangan tentera musuh sehingga apabila menghampirinya lelaki itu mengucapkan “La ilaha illah Allah.” 

Walaupun mengucapkan kalimah syahadah tetapi Usamah bin Zaid tetap menusuknya dengan tombak lalu membunuhnya. 

Apabila perkara tersebut sampai kepada Nabi ﷺ baginda berkata: 

يَا أُسَامَةُ، ‌أَقَتَلْتَهُ ‌بَعْدَ مَا قَالَ: لَا إِلَهَ إِلَّا اللهُ؟

“Wahai Usamah, adakah engkau membunuhnya setelah dia mengucapkan La ialaha illah Allah?” 

Usamah membalas “Tetapi lelaki itu sekadar mahu menyelamatkan dirinya.” 

Nabi ﷺ terus mengulangi perkataannya sehingga Usamah merasa sangat menyesal dengan perbuatannya membunuh lelaki itu. 

[Sahih. Riwayat Bukhari, no. 4296 dan Muslim no. 96] 

2. Seorang lelaki datang kepada Rasulullah ﷺ membicarakan tentang sesuatu perkara kemudian dia berkata: 

مَا شَاءَ اللهُ وَشِئتَ.

“Apa yang diinginkan oleh Allah dan engkau!”

Mendengar perkataan lelaki itu Rasulullah ﷺ bersabda “Adakah engkau menjadikan aku sekutu dengan Allah? Katakanlah: Apa yang diinginkan oleh Allah semata-mata.” 

[Sahih. Riwayat al-Nasai dalam Amal al-Yawm Wa al-Lailah, no. 988]

Dalam kedua-dua peristiwa di atas,  jelasnya dua orang Sahabat Nabi ﷺ ini melakukan kesalahan tanpa sengaja dan kedua-dua mereka memang berniat baik. 

Sekalipun demikian Nabi ﷺ tetap mengkritik mereka dan memperbetulkan kesalahan yang mereka telah lakukan.  

Niat baik mereka itu tidak mengubah hakikat bahawa apa yang mereka telah lakukan itu salah. 

Contoh lain yang mungkin lebih mudah ialah membaca Al-Quran dalam tandas. 

Umat Islam semua sedia maklum bahawa ia tetap salah dan berdosa sekalipun orangnya mendakwa bahawa niatnya membacanya dalam tandas baik dan ikhlas kerana Allah ﷻ. 

Justeru apa yang dihukum salah dan maksiat di sisi syariat adalah haram buat semua manusia tanpa kecuali, dan alasan pelakunya berniat baik tidak akan mengubah hukum haram itu jadi harus. 



[Gerakan PENA Malaysia]


Dapatkan Himpunan Risalah Aqidah yang ditulis oleh Sheikh Muhammad bin Abdul Wahab. Risalah-risalah beliau dihimpun sebagai sebuah kitab dan diterjemahkan ke dalam Bahasa Melayu (Malaysia).
Boleh dapatkan  KLIK DI SINI

Comments