OLEH: Ustaz Muhammad Izzat al-Kutawi
Setahun dua ini saya selalu memesan makanan menggunakan khidmat abang-abang Grabfood. Saya tidak kaya, tetapi diskaun 50% yang terhad lapan kali sebulan itu begitu menggoda. Walaupun begitu, kebahagiaan itu tidak berkekalan kerana Grab kemudiannya menarik balik promosi itu. Mereka menggantikannya dengan sesuatu yang bernama GrabUnlimited. Dengan GrabUnlimited, diskaun 50% bukan lagi ditawarkan untuk semua. Ia terhad untuk pelanggan yang membayar yuran sebanyak RM7.90 setiap bulan bermula dengan 99 sen untuk bulan pertama.
99 sen atau 9 sen sekalipun saya tidak akan melanggan GrabUnlimited. Ini bukan soal mampu atau tidak. Ini soal halal haram. Yang diperkenalkan oleh Grab sama dengan kad keahlian yang difatwakan haram oleh para ulama kontemporari kerana mengandungi unsur gharar dan qimār. Pelanggan membayar sejumlah wang demi mendapatkan sesuatu manfaat yang tidak pasti. Bayangkan seseorang menyertai GrabUnlimited dengan membayar RM7.90 sen, kemudian tidak membeli apa-apa di Grabfood, untuk apakah RM7.90 sen itu dibayar? Ya, walaupun berkemungkinan rugi RM7.90, namun dengan GrabUnlimited seseorang boleh menjana penjimatan sehingga ratusan ringgit. Sekejap, bukankah inilah yang dipanggil perjudian?!
GrabUnlimited untuk satu contoh daripada ratusan contoh benda haram yang berleluasa dalam muamalat hari ini. Foodpanda juga memperkenalkan benda yang sama, PandaPro. Zalora pula dengan Zalora Now. Dengan RM49.00 setahun, pelanggan Zalora tidak perlu membayar caj untuk “penghantaran keesokan hari” selama setahun. Baru-baru ini Airasia menawarkan penerbangan ke beberapa negara tanpa had selama setahun dengan bayaran serendah RM499.00. Semua ini salah di sisi syariat.
Ini tidak bermakna Islam tertutup atau jumud. Ada banyak tawaran menarik boleh diperkenalkan tanpa memerlukan pelanggan membayar yuran, tetapi masih menarik dan menghasilkan keuntungan yang serupa. Contohnya, GrabUnlimited, ia boleh digantikan dengan kaedah lain, misalnya diskaun 50% khusus untuk pelanggan yang memesan makanan dengan harga normal untuk pesanan pertama setiap bulan. Hukumnya harus, sama seperti baucer percuma untuk pelanggan yang membeli sesuatu barang atau melanggan sesuatu perkhidmatan. Dengan cara itu, tiada kerugian bagi pihak penjual kerana yuran tadi boleh diserap dalam keuntungan menjual pada harga normal dan tiada gharar yang terlarang bagi pihak pembeli kerana mereka membayar sesuatu yang memang pasti.
Saya pun boleh kembali menikmati diskaun 50% seperti sebelum-sebelum ini. Huhu.
Wallahualam.
[Gerakan PENA Malaysia]

Comments
Post a Comment