Awas Pembatal-Pembatal Agama

 OLEH: Dr Idris Sulaiman




- Syarat-syarat kalimah syahadah
Islam bukan sekadar mengucap ‘Lailahaillallah’. 
Sebaliknya setiap Muslim perlu tahu dan faham isi makna kalimah syahadah itu, meyakininya, ikhlas mengucapkannya di samping tunduk dan patuh menerima tuntutan-tuntutan serta larangan-larangannya.

Jika tidak maka orang-orang munafik pun mengucapkan kalimah syahadah sedangkan Allah ﷻ mengancam mereka dengan azab kerak api neraka. 
[Al-Quran, al-Nisa’, 4:145]

Maka setiap Muslim wajib kufur dan berlepas diri daripada segala kepercayaan dan sembahan kepada selain Allah ﷻ. 
Ini sebagaimana yang dilakukan oleh Nabi Ibrahim a.s. yang berkata kepada bapa dan kaumnya: 
إِنَّنِي بَرَآءٞ مِّمَّا تَعۡبُدُونَ إِلَّا ٱلَّذِي فَطَرَنِيِ.  
“Sesungguhnya aku berlepas diri daripada apa yang kamu sembah. Yang lain daripada Tuhan yang menciptakan daku."
[Al-Quran, al-Zukhruf, 43:26-27]

Ada pula dalam hadis, Nabi ﷺ bersabda:
مَنْ قَالَ: لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ، ‌وَكَفَرَ ‌بِمَا ‌يُعْبَدُ مِنْ دُونِ اللَّهِ، حَرُمَ مَالُهُ وَدَمُهُ. وَحِسَابُهُ على الله.
“Barang siapa mengucap ‘Lailahaillallah’ dan kufur dengan apa yang disembah selain Allah maka terpeliharalah harta dan darahnya manakala urusan hisabnya terserah kepada Allah.” 
[Sahih. Riwayat Muslim]

Jelas dalam hadis di atas Nabi ﷺ tidak hanya mewajibkan ucapan ‘Lailahaillallah’ sebaliknya menambah syarat perlu kufur dengan segala apa yang disembah selain Allah ﷻ. 
Ingatlah, segala apa yang diseru dan dipanggil di alam ghaib selain Allah ﷻ adalah batil semata-mata. 
Firman Allah ﷻ: 
ذَٰلِكَ بِأَنَّ ٱللَّهَ هُوَ ٱلۡحَقُّ وَأَنَّ مَا يَدۡعُونَ مِن دُونِهِۦ هُوَ ٱلۡبَٰطِلُ.
“Allah, Dia lah sahaja Tuhan Yang Sebenar-benarnya, dan bahawa segala yang diseru selain Allah itulah yang nyata palsunya.”
[Al-Quran, al-Haj, 22: 62] 

Sedangkan kesyirikan dan kekufuran akan membatalkan segala amalan manakala di akhirat kelak orangnya mendapat kerugian. 
Firman Allah ﷻ: 
لَئِنۡ أَشۡرَكۡتَ لَيَحۡبَطَنَّ عَمَلُكَ وَلَتَكُونَنَّ مِنَ ٱلۡخَٰسِرِينَ.
“Demi sesungguhnya jika engkau berbuat syirik maka akan gugurlah amalanmu, dan kelak engkau akan terdiri dalam kalangan orang-orang yang rugi.”
[Al-Quran, al-Zumar, 39:65]

Justeru setiap Muslim dan Muslimah wajib tahu dan berwaspada dengan perbuatan-perbuatan yang boleh membatalkan kalimah syahadah ‘Lailahaillallah’ tidak kira sama secara sedar atau tidak.
Daripada Allah jua kita memohon petunjuk dan keselamatan.

[Gerakan PENA Malaysia]


Dapatkan Himpunan Risalah Aqidah yang ditulis oleh Sheikh Muhammad bin Abdul Wahab. Risalah-risalah beliau dihimpun sebagai sebuah kitab dan diterjemahkan ke dalam Bahasa Melayu (Malaysia).
Boleh dapatkan  KLIK DI SINI

Comments