Hadis Tentang Nur Muhammad Ialah Palsu

 OLEH: Ustaz Zulfadhli bin Mohd Razi

Beberapa minggu lepas, saya ada membuat sedikit kajian tentang kitab Al-Juz Al-Mafqud Min Musannaf 'Abd Al-Razzaq. Berbetulan, semalam tersebar video berkenaan kitab tersebut yang didakwa di dalamnya mengandungi hadis berkenaan Nur Muhammad.

Saya menahan diri untuk berkomentar kerana sibuk dengan beberapa urusan dan juga sudah banyak ulasan yang telah diberikan. Cuma, saya melihat ada beberapa perkara perlu diperhatikan, iaitu:

i - Penafian bahawa hadis tersebut tidak ada dalam tulisan 'Abd Al-Razzaq bukanlah rekayasa golongan yang dituduh sebagai "W", bahkan penafian tersebut turut disebutkan oleh tokoh hadis kontemporari dalam kalangan sufi sendiri. Al-Shaykh 'Abdullah Al-Ghumari menulis satu tulisan beliau berjudul Murshid Al-Ha'ir Li Bayan Wad' Hadith Jabir, pada hal. 2 ada menulis:

وعزوه إلى رواية عبد الرزاق خطأ، لأنه لا يوجد في مصنفه ولا جامعه ولا تفسيره.

"Penisbahan hadis tersebut kepada riwayat 'Abd Al-Razzaq adalah silap kerana ia tidak terdapat dalam Musannaf beliau, tidak juga dalam Jami' beliau dan tidak juga dalam Tafsir beliau".

Kenyataan Al-Shaykh 'Abdullah Al-Ghumari ini telah disokong oleh Al-Shaykh 'Abdullah Al-Harari dalam buku beliau berjudul Risalah Fi Butlan Da'wa Awwaliyyah Al-Nur Al-Muhammadi, hal. 33.

ii- Penilaian hadis tersebut sebagai palsu sebenarnya bukanlah hanya bersumberkan dari satu pihak yang dituduh "W", sebaliknya masyhur dalam kalangan tokoh-tokoh hadis kontemporari beraliran sufi sendiri tidak terkecuali menilainya sebagai palsu, antaranya:

1- Al-Shaykh 'Abdullah Al-Harari, pengasas gerakan Al-Ahbash melalui buku beliau Risalah Fi Butlan Da'wa Awwaliyyah Al-Nur, hal. 32.

2 - Al-Shaykh Ahmad Al-Ghumari, seorang tokoh hadis terkenal dari Maghribi turut menilai palsu hadis tersebut dalam Muqaddimah beliau bagi kitab Al-Mughir 'Ala Al-Ahadith Al-Mawdu'ah Fi Al-Jami' Al-Saghir, hal. 52.

iii- Berkait kitab yang diviralkan iaitu Al-Juz Al-Mafqud, Shaykh Mahmud Sa'id Mamduh tokoh hadis di Mesir yang beraliran sufi yang telah memberikan kata pengantar kepada kitab tersebut, beliau sendiri seawal tahun 2007 menarik balik pujian beliau terhadap kitab tersebut dan mengakui bahawa beliau tidak melakukan penelitian mendalam terhadap kitab tersebut ketika memberikan kata pengantar dan setelah dilakukan penelitian, terbukti kitab tersebut tidak boleh digunapakai sebagaimana artikel berjudul بيان من الشيخ محمود سعيد ممدوح حول ما طبع باسم ( الجزء المفقود من مصنف عبدالرزاق).



[Gerakan PENA Malaysia]

Dapatkan Himpunan Risalah Aqidah yang ditulis oleh Sheikh Muhammad bin Abdul Wahab. Risalah-risalah beliau dihimpun sebagai sebuah kitab dan diterjemahkan ke dalam Bahasa Melayu (Malaysia).
Boleh dapatkan  KLIK DI SINI

Comments