Anda Harapan Terakhir Kami?

 OLEH: Dr Idris Sulaiman




Muslim yakin dan beriman dengan Allah ﷻ selaku al-Khaliq dan al-Razzaq,  Yang Maha Perkasa lagi Maha Memberi. 

Segala sesuatu di bawah kuasa dan ketentuanNya.

Tidak ada yang dapat menghalang apa yang diizinkan oleh Allah ﷻ, dan tidak ada yang dapat memberi apa yang dihalangNya.

Allah ﷻ jualah yang memberi segala kurniaan.

Manusia disuruh berikhtiar dan berusaha tetapi dalam ruang lingkup yang dibenarkan syarak.

Jangan sampai diungkapkan perkataan-perkataan yang menyalahi ajaran agama.

Seperti: 

‘Andalah harapan terakhir kami!’

Perkataan ini tidak wajar diungkapkan oleh Muslim yang sentiasa bergantung dan berharap kepada  Allah ﷻ sebelum memulakan sesuatu, semasa dan selepasnya.

Manusia lain hanya menjadi asbab bagi memperoleh sesuatu tetapi Allah ﷻ jualah sebab utamanya.

Mintalah daripada Allah ﷻ dan berserahlah kepadaNya.

Firman Allah ﷻ:

وَعَلَى ٱللَّهِ فَلۡيَتَوَكَّلِ ٱلۡمُؤۡمِنُونَ .

“Dan kepada Allah sahajalah hendaknya orang-orang yang beriman itu berserah.”

[Al-Quran, Aali Imran, 3: 122]

Firman Allah ﷻ: 

وَمَن يَتَوَكَّلۡ عَلَى ٱللَّهِ فَهُوَ حَسۡبُهُۥٓۚ.

“Dan sesiapa berserah diri bulat-bulat kepada Allah maka cukuplah Dia baginya.”

[Al-Quran, al-Talaq, 65: 3]

Barangkali niat di sebalik suatu ungkapan itu baik tetapi perkataan yang digunakan juga seharusnya baik dan betul mengikut apa yang dibenarkan oleh syarak. 


MENJAGA TUTUR KATA

Usah dipandang remeh perkataan-perkataan yang digunakan kerana ia mempunyai makna dan kesannya. 

Nabi ﷺ bersabda: 

إِنَّ الْعَبْدَ لَيَتَكَلَّمُ بِالْكَلِمَةِ مِنْ سَخَطِ اللَّهِ عَزَّ وَجَلَّ، ‌لَا ‌يُلْقِي ‌لَهَا بَالًا يَهْوِي بِهَا فِي جَهَنَّمَ.

“Sesungguhnya seseorang itu barangkali mengucapkan satu kalimah yang dimurkai Allah ﷻ tanpa dia peduli lalu menyebabkan dia dihumban ke dalam Neraka Jahanam.”

[Sahih. Riwayat Bukhari] 

Daripada Allah jua kita memohon petunjuk dan kurniaan. 


[Gerakan PENA Malaysia]


Dapatkan Himpunan Risalah Aqidah yang ditulis oleh Sheikh Muhammad bin Abdul Wahab. Risalah-risalah beliau dihimpun sebagai sebuah kitab dan diterjemahkan ke dalam Bahasa Melayu (Malaysia).
Boleh dapatkan  KLIK DI SINI

Comments