Larangan Tunduk Rukuk Apabila Berjabat Tangan

 OLEH: Dr Ustaz Idris Sulaiman





- Cara betul berjabat tangan
Dalam sebuah video yang tular kelihatan seorang syeikh Arab menegur murid-murid yang tunduk apabila berjabat tangan dengan beliau. 

Syeikh itu dengan tegas berkata “Jangan begitu! Tunduk hanya kepada Allah semata-mata.” 
Beliau kemudian menunjukkan cara yang betul berjabat tangan seraya menambah “Hormat itu satu perkara manakala tunduk (ialah satu perkara yang lain).” 

Apa yang beliau nyatakan ini benar sejajar dengan hadis riwayat Anas bin Malik yang berkata: 
قَالَ رَجُلٌ: يَا رَسُولَ اللَّهِ الرَّجُلُ مِنَّا يَلْقَى أَخَاهُ أَوْ صَدِيقَهُ أَيَنْحَنِي لَهُ؟ قَالَ: «لَا». قَالَ: أَفَيَلْتَزِمُهُ وَيُقَبِّلُهُ؟ قَالَ: «لَا». قَالَ: أَفَيَأْخُذُ بِيَدِهِ وَيُصَافِحُهُ؟ قَالَ: «نَعَمْ».
Seorang lelaki berkata: Wahai Rasulullah! Sekiranya salah seorang daripada kami bertemu saudaranya atau rakannya, adakah dia tunduk kepadanya? Jawab Nabi ﷺ “Tidak.” Dia berkata: Adakah dia memeluknya dan menciumnya? Jawab Nabi ﷺ “Tidak.” Dia bertanya lagi: Adakah dia mengambil tangannya dan menjabatnya? Jawab Nabi ﷺ “Ya.” 
[Sahih. Riwayat Tirmizi]

Nabi ﷺ dalam hadis di atas secara tegas melarang perbuatan tunduk kepada sesama manusia. 
Tiada sebarang pengecualian yang diberikan oleh baginda ﷺ dalam hal ini. 
Sebaliknya baginda ﷺ menganjurkan supaya Muslim saling berjabat tangan (dengan sebelah tangan) apabila bertemu. 



MENCIUM TANGAN GURU / ULAMA
Terdapat banyak hadis dan athar yang menunjukkan bahawa para Sahabat ada mencium tangan Nabi ﷺ. 

Maka dibolehkan mencium tangan guru / ulama dengan syarat-syarat berikut: 

1. Ia tidak boleh dijadikan sebagai kebiasaan; di mana si guru langsung menghulurkan tangannya apabila bertemu muridnya manakala si murid beria-ria mencium tangan si guru atas alasan mengambil berkat dan seumpamanya. Tiada hal seperti ini dalam syarak.  
Ini kerana walaupun para Sahabat ada mencium tangan Nabi ﷺ tetapi ini bukanlah kebiasaan mereka setiap kali apabila bertemu baginda ﷺ. 
Maka sesuatu yang jarang dilakukan oleh Nabi ﷺ tidak boleh dijadikan sebagai suatu amalan kebiasaan yang dilakukan secara berterusan.  

2. Hendaklah perbuatan tersebut tidak mendorong si guru merasa takabur dan memandang rendah orang lain seperti mana keadaan sebahagian guru pada hari ini.

3. Hendaklah amalan mencium tangan tidak sampai memansuhkan amalan berjabat tangan yang ditetapkan oleh syarak dan disyariatkan dengan perbuatan dan kata-kata Nabi ﷺ.   
Justeru berjabat tangan dianjurkan tetapi hendaklah jangan dengan cara tunduk di hadapan orangnya kerana ia dilarang agama.

Daripada Allah jua kita memohon petunjuk. 

[Gerakan PENA Malaysia]

Dapatkan Himpunan Risalah Aqidah yang ditulis oleh Sheikh Muhammad bin Abdul Wahab. Risalah-risalah beliau dihimpun sebagai sebuah kitab dan diterjemahkan ke dalam Bahasa Melayu (Malaysia).
Boleh dapatkan  KLIK DI SINI

Comments