OLEH: Dr Idris Sulaiman
Tiada mana-mana pendirian manusia yang maksum sama ada dalam penetapan hukum ataupun dalam penerimaan atau penolakan seseorang tokoh.
Setiap seorang itu diterima dan ditolak pendapatnya kecuali Nabi ﷺ.
Maka setiap pendirian perlu dilihat pada dalil dan hujahnya, bukan sekadar pada orangnya.
Kerana kebenaran tidak diukur dengan orang.
Sebaliknya kebenaran ialah apa yang menepati dalil tanpa mengira berapa ramai yang menerima atau menolaknya.
Hanya kerana suatu pendapat atau seorang tokoh diterima atau ditolak oleh orang-orang tertentu, sedikit atau ramai, ia bukanlah dalil tanda kebenaran atau kebatilannya.
Maka segala perkataan dan pandangan manusia dalam apa yang berkait dengan syariat perlu dikembalikan kepada Al-Quran dan al-Sunah mengikut fahaman Salaf al-Soleh.
Dalam masa yang sama, maklum bahawa bukan semua berkeupayaan melaksanakannya kerana ia memerlukan kefakihan dan ilmu.
Kerana itu ilmuwan Salaf menekankan kepentingan Muslim mengambil kira daripada mana dia mengambil ilmu agamanya.
Kata Ibnu Sirin:
إِنَّ هَذَا الْعِلْمَ دِينٌ، فَانْظُرُوا عَمَّنْ تَأْخُذُونَ دِينَكُمْ.
“Sesungguhnya ilmu ini agama maka lihatlah daripada mana kamu mengambil agama kalian.”
[Sahih Muslim, 1/14]
Justeru sebarang perselisihan seharusnya diurus dengan sebaiknya, dengan jalan ilmu.
Firman Allah ﷻ:
فَإِن تَنَٰزَعۡتُمۡ فِي شَيۡءٖ فَرُدُّوهُ إِلَى ٱللَّهِ وَٱلرَّسُولِ إِن كُنتُمۡ تُؤۡمِنُونَ بِٱللَّهِ وَٱلۡيَوۡمِ ٱلۡأٓخِرِ.
“Jika kamu berselisihan dalam sesuatu perkara maka hendaklah kamu mengembalikannya kepada (Kitab) Allah (Al-Quran) dan (Sunah) RasulNya - jika kamu benar beriman kepada Allah dan Hari Akhirat.”
[Al-Quran, al-Nisa’, 4: 59]
Ini bererti setiap pihak perlu mengemukakan dalil dan hujah masing-masing.
Bukan dengan sindiran, celaan, maki hamun, menimbulkan andaian-andaian buruk.
Itu cara juhala.
Aib jika penuntut ilmu berbuat begitu.
Suburkan penuntutan ilmu dan perbahasannya.
Jangan ditutup kerana ia akan membuka pintu taasub dan taklid yang sememangnya buta.
Wallahulmuwaffiq.
[Gerakan PENA Malaysia]
Comments
Post a Comment