OLEH: Dr Idris Sulaiman
- Allamazhabiyyah
- Mazhab Salaf al-Soleh
Khatib dalam khutbah Jumaat semalam membuat analogi menyamakan antara golongan liberal sesat dengan golongan yang dinamakan sebagai golongan ‘mazhab tidak bermazhab’ atau Allamazhabiyyah kerana menurutnya kedua-dua modusnya dikatakan menjatuhkan kredibiliti dan autoriti ulama-ulama silam.
Tidak dinyatakan siapa golongan Allamazhabiyyah ini secara spesifik.
Apa yang perlu ditegaskan ialah bahawa kedudukan mazhab-mazhab fikah seperti Hanafi, Maliki, Syafie dan Hanbali diakui menjadi jambatan bagi memahami Al-Quran dan al-Sunah.
Dalam masa yang sama, maklum akan wujudnya perselisihan dan perbezaan pendapat yang bertembungan antara mazhab-mazhab fikah ini.
Bagaimana sikap Musim menanganinya dan apa kaedah penyelesaiannya?
Perlu ditegaskan bahawa mengandaikan bahawa semua pendapat mazhab yang bercanggahan antara satu sama lain ini benar-benar belaka adalah batil.
Begitu juga mengandaikan bahawa hanya satu mazhab sahaja yang benar manakala yang lain salah juga batil.
Tidak seperti apa yang dikatakan oleh sebahagian pentaasub mazhab:
“Mazhab aku semuanya benar dan mazhab engkau semuanya salah.”
Bagaimana pula jika seseorang itu memilih salah satu daripada pendapat-pendapat mazhab ini mengikut seleranya, tanpa mengambil kira dalilnya?
Pendekatan ini sekurang-kurangnya dinamakan taklid.
Dan taklid sememangnya buta kerana ia berdiri atas kejahilan dan ketidaktahuan tentang dalil.
Pendekatan ini tidak seharusnya menjadi keutamaan apatah lagi diwajibkan atas seluruh kaum Muslimin untuk mengikuti satu mazhab fikah tertentu.
Ini kerana ia seolah-olah menetapkan bahawa semua pendapat mazhab yang dipilih itu adalah benar-benar belaka sedangkan realitinya tidak begitu.
Ada kalanya dalam sesuatu permasalahan di mana pendapat mazhab Hanafi lebih kuat, dalam permasalahan lain pula pendapat mazhab Maliki, Syafie atau Hanbali yang lebih kuat dan seterusnya.
Apa yang pasti, kebenaran tetap berada dalam salah satu pendapat-pendapat mazhab ini kerana ia merupakan jaminan Nabi ﷺ sebagaimana dalam sabdanya “Umatku tidak akan sepakat dalam kesesatan.”
Maka pendapat-pendapat mazhab fikah seharusnya disaring dan dinilai bagi menentukan pendapat mana yang paling hampir dengan dalil Al-Quran dan al-Sunah.
Ini kerana Muslim diperintahkan supaya mengikuti Al-Quran dan al-Sunah, bukan mana-mana mazhab tertentu.
Dengan kata lain, Al-Quran dan al-Sunah itulah yang seharusnya menjadi mazhab setiap Muslim sebagaimana yang dinukilkan daripada Imam al-Syafie yang berkata:
إذَا صَحَّ الحَدِيثُ فَهُوَ مَذْهَبِي.
“Jika hadisnya sahih maka itulah mazhabku.”
[al-Nawawi, al-Majmuk]
Oleh itu dalam apa jua permasalahan, pendapat yang dinilai paling hampir dengan dalil Al-Quran dan al-Sunah perlu dipilih tidak kira daripada mana-mana mazhab pun.
Bertepatan dengan firman Allah ﷻ :
فَإِن تَنَٰزَعۡتُمۡ فِي شَيۡء فَرُدُّوهُ إِلَى ٱللَّهِ وَٱلرَّسُولِ.
“Jika kamu berselisih dalam apa jua perkara maka hendaklah kamu mengembalikannya kepada Allah (Al-Quran) dan RasulNya (al-Sunah). "
[Al-Quran, al-Nisaa’, 4:59]
Memang diakui bahawa bukan semua mampu melakukan saringan dan penilaian ini tetapi paling tidaknya inilah cara dan pendekatan yang benar yang harus disetujui.
Taklid pula tidak dilarang malah diharuskan jika ada keterpaksaan khususnya bagi mereka yang tidak berkeupayaan untuk mengkaji dan menilai dalil-dalil sama ada secara umum atau dalam permasalahan-permasalahan tertentu.
Inilah pendirian dan pegangan ulama Salaf al-Soleh zaman berzaman.
Justeru jika dinisbahkan gelaran Allamazhabiyyah ini kepada mazhab Salaf maka paling tidaknya ia mengelirukan.
Adakah pendekatan ini tidak menghormati kedudukan mazhab dan para ulama?
Sama sekali tidak.
Kedudukan semua mazhab diakui manakala para ulama wajib dihormati dan dimuliakan.
Tetapi mengikut kadar yang dibenarkan oleh agama, tidak sampai mengatasi kedudukan Al-Quran dan al-Sunah.
Mendahulukan mana-mana pendapat atas dalil Al-Quran dan al-Sunah bukan sahaja menyalahi begitu banyak nas dalil malah bertentangan dengan pendirian tokoh-tokoh mazhab itu sendiri.
Kata Imam Abu Hanifah:
لا يَحِلُّ لِأحَدٍ أنْ يَأخُذَ بِقَوْلِنَا مَا لَم يَعْلَمْ مِنْ أيْنَ أخَذْنَاهُ.
"Tidak boleh bagi seseorang itu berpegang kepada kata-kataku selagi mana dia tidak tahu daripada mana aku mengambilnya."
[Ibnu Abidin, Rad al-Muhtar]
Kata Imam Malik:
لَيْسَ أَحَدٌ بَعْدَ النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِلَّا يُؤْخَذُ مِنْ قَوْلِهِ وَيُتْرَكُ إِلَّا النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ.
“Tiada sesiapapun sesudah Nabi ﷺ melainkan kata-katanya boleh diterima dan ditolak melainkan Nabi ﷺ.”
Kata beliau lagi:
"Sesungguhnya aku manusia biasa, boleh jadi kata-kataku benar dan boleh jadi salah. Lihatlah pendapatku dan ambillah mana yang menepati Al-Quran dan hadis manakala yang menyalahinya tinggalkan."
[Ibnu Abdul Bar, Jamie Bayan al-Ilm]
Kata Imam al-Syafie:
وَأَنَّهُ لَا يَلْزَمُ قَوْلٌ بِكُلِّ حَالٍ إلَّا بِكِتَابِ اللهِ أوْ سُنَّةَ رَسُولِهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَأَنَّ مَا سِوَاهُمَا تَبَعٌ لَهُمَا.
“Dan sesungguhnya tiada kata-kata yang wajib dalam apa jua keadaan melainkan Kitab Allah atau Sunah RasulNya ﷺ dan bahawasanya apa yang selainnya kembali kepada kedua-duanya.”
Tambah beliau:
"Umat Islam telah sepakat bahawa barang siapa sudah terjelas kepadanya
Sunah Rasulullah ﷺ maka tidak halal baginya untuk meninggalkannya kerana mengambil pendapat orang lain."
[Ibnu al-Qayyim, I’lam al-Muwaqqi’in]
Atas dasar ini kata Imam Ahmad:
لا تُقَلِّدُنِي وَلا تُقَلِّدْ مَالِكًا وَلا الشَّافِعِيُّ وَلا الأوْزَاعِي وَلا الثَّوْرِي وَخُذْ مِنْ حَيْثُ أخَذُوا.
"Jangan kamu bertaklid kepadaku dan jangan bertaklid kepada Malik, Syafie, al-Awza'i dan al-Thauri. Sebaliknya ambillah dari mana mereka ambil."
[Ibnu al-Qayyim, I’lam al-Muwaqqi’in]
Yakni Al-Quran dan al-Sunah.
Allah ﷻ jua pemberi taufik.
Comments
Post a Comment