OLEH: Dr Idris Sulaiman
- Teguran terbuka / tertutup
- Nasihat & Celaan
Tidak dinafikan bahawa nasihat disyariatkan dalam agama.
Sabda Nabi ﷺ:
الدِّينُ النَّصِيحَةِ.
“Agama itu nasihat.”
[Sahih. Riwayat Muslim]
Hanya sahaja nasihat yang disampaikan perlu mematuhi garis-garis panduan yang ditetapkan oleh syariat.
Antaranya:
Nasihat kepada individu perlulah disampaikan secara tertutup dan secara sembunyi-sembunyi.
Kata Imam al-Syafie:
مَنْ وَعَظَ أخَاهُ سِرًّا فَقَدْ نَصَحَهُ وَزَانَهُ، وَمَنْ وَعَظَهُ عَلانِيَةً فَقَدْ فَضَحَهُ وَشَانَهُ.
“Barang siapa mengingatkan saudaranya secara sembunyi-sembunyi maka dia telah menasihatinya secara baik, sedangkan jika dia mengingatkannya di hadapan khalayak maka dia telah membuka aib saudaranya itu serta mencelanya.”
[Hilyah al-Awliya oleh Abu Nuaim, 9/140]
Jelasnya Imam al-Syafie membezakan antara teguran yang dilakukan secara tertutup dengan teguran yang disampaikan secara terbuka.
Beliau membezakan antara nasihat serta celaan, teguran serta kecaman, orang yang jujur menjaga kehormatan saudaranya dengan orang yang khianat membuka aib saudaranya.
Orang yang jujur memberi nasihat akan menyampaikan nasihatnya itu dengan penuh hemah dan rasa simpati malah akan bersabar dengan kerenah buruk orang yang dinasihatinya itu.
Sama seperti doktor di hospital yang merawat pesakitnya dengan lemah lembut demi memastikan ubat sampai kepada pesakit.
Ini berbeza dengan celaan di mana ia lebih tertumpu kepada menghina dan mengejek serta merendah-rendahkan orangnya sekalipun barangkali dilakukan atas nama nasihat.
Justeru antara apa yang membezakan antara orang yang memberi nasihat dengan orang yang mencela ialah orang yang memberi nasihat tidak akan bermusuhan sekiranya nasihatnya tidak diterima.
Ini kerana apa yang penting baginya ialah melaksanakan tanggungjawab menyampaikan nasihat tidak kira sama nasihat itu diterima atau tidak.
Malah dia akan mendoakan pihak yang dinasihatinya itu dan tidak akan membuka aibnya.
Adapun orang yang mencela adalah sebaliknya.
Khususnya jika dilakukan di hadapan khalayak sekalipun atas nama nasihat.
Comments
Post a Comment