Hukum Boikot Barangan Orang Kafir

 OLEH: Dr Idris Sulaiman


Ada dua keadaan:

Keadaan Pertama:

Jika Diarah oleh Pemerintah

Jika pemerintah sesebuah negara Islam memerintahkan supaya barangan tertentu atau barangan negara-negara tertentu diboikot maka rakyat negara tersebut wajib mentaati arahan itu.

Selari dengan firman Allah ﷻ:

يَاأَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا أَطِيعُوا اللَّهَ وَأَطِيعُوا الرَّسُولَ وَأُولِي الْأَمْرِ مِنْكُمْ

“Wahai orang-orang yang beriman, taatilah Allah, taatilah RasulNya dan para pemerintah daripada kalangan kamu.”

[Al-Quran, al-Nisaa, 04:59]

Kisah Kaab bin Malik RA yang diboikot dan dipulaukan oleh penduduk Madinah atas arahan Nabi ﷺ menjadi hujah dalam hal ini.


Keadaan Kedua:

Sekiranya Tiada Arahan Pemerintah

Terbahagi kepada dua situasi:

i . Diketahui secara pasti bahawa barangan yang dibeli itu akan membantu orang kafir memerangi Islam.

Maka haram membeli barangan tersebut kerana ia jelas membantu dalam perkara dosa dan permusuhan di samping ia bertepatan dengan kaedah usul fikah ‘sadd al-zariah’ (menutup pintu-pintu kerosakan).

Sebagaimana syariat melarang jualan anggur kepada pembuat arak dan menjual senjata kepada pihak-pihak bertelagah dalam kalangan komuniti Islam.

ii. Tidak diketahui secara pasti sama ada barangan yang dibeli itu akan menjurus kepada yang haram atau tidak.

Secara prinsipnya syariat membolehkan orang Islam berdagang dengan orang kafir walaupun kafir harbi yang diperangi.

Perlu diimbangi kebaikan dan keburukan (maslahat dan mudarat) kesan daripada boikot itu.

Boikot hanya dibolehkan sekiranya kebaikan dan maslahatnya mengatasi keburukan dan mudaratnya.

Sekiranya diboikot barangan orang kafir yang dijual oleh agen jualan Muslim atau barangan francais orang kafir yang kilang atau kedainya dimiliki oleh Muslim maka ia lebih memudaratkan peniaga Muslim berbanding pemilik kafirnya.

Tidak dinafikan bahawa kemungkinannya syarikat induk kafir akan turut terkesan sedikit sebanyak.

Tetapi perlu dilihat kesan mudarat boikot yang akan dirasai oleh peniaga Muslim secara langsung dan secara pasti berbanding syarikat induk kafir.

Kerana ada kemungkinan syarikat induk kafir akan terkesan dan ada kemungkinannya tidak.

Oleh itu perkara yang yakin dan pasti perlu didahulukan berbanding apa yang tidak pasti.

Dalam keadaan boikot lebih memudaratkan Islam berbanding kafir maka boikot sedemikian tidak wajar dilakukan.


[Gerakan PENA Malaysia]
Dapatkan Himpunan Risalah Aqidah yang ditulis oleh Sheikh Muhammad bin Abdul Wahab. Risalah-risalah beliau dihimpun sebagai sebuah kitab dan diterjemahkan ke dalam Bahasa Melayu (Malaysia).
Boleh dapatkan  KLIK DI SINI

Comments