Ucapan Kufur: Anak-Anak Tak Minta Dilahirkan

 OLEH: Dr Idris Sulaiman


“Anak-anak tak minta dilahirkan. Ibu dan ayahlah yang memilih untuk melahirkan mereka. Jadi jangan nak ungkit tentang penat lelah mengandung dan sakit payah melahirkan.”

Demikian kenyataan tular di media sosial daripada sebahagian pihak yang meluahkan perasaan tentang masalah keluarga yang dihadapi.

Perlu ditegaskan bahawa perkataan sebegini tidak wajar kerana bertentangan dengan ajaran Islam.

Antara rukun iman yang wajib diimani oleh setiap Muslim adalah percaya kepada takdir baik dan buruk.

Rukun keenam ini mewajibkan supaya Muslim meyakini bahawa setiap kejadian telah pun ditetapkan dalam suratan takdir Lohmahfuz.

Sebagaimana sabda Nabi ﷺ:

إِنَّ اللَّهَ ‌كَتَبَ ‌مَقَادِيرَ الْخَلَائِقِ قَبْلَ أَنْ يَخْلُقَ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضَ بِخَمْسِينَ أَلْفَ سَنَةٍ.

“Sesungguhnya Allah telah menetapkan takdir sekalian makhluk lima puluh ribu tahun sebelum diciptakan langit-langit dan bumi.”

[Sahih. Riwayat Muslim]

Justeru Muslim tidak boleh mempersoalkan takdir yang berlaku atas sebab tidak setuju atau tidak senang dengannya kerana yang demikian bererti mempersoalkan sesuatu yang telah ditetapkan oleh Allah ﷻ.

Tidak menerima takdir akan membawa kepada kufur, tergelincir daripada Islam.

Sedangkan Allah ﷻ berfirman:

لَا يُسۡـألُ عَمَّا يَفۡعَلُ وَهُمۡ يُسۡلُونَ

“Dia (Allah) tidak boleh ditanya tentang apa yang Dia lakukan sedang merekalah (manusia) yang akan ditanya kelak.”

[Al-Quran, al-Anbiyaa, 21:23]

Apa yang pasti, setiap sesuatu kejadian ada hikmah.

Hanya sahaja sama ada manusia memahaminya atau tidak.

Walau apa pun, menjadi kewajipan atas setiap anak hormat dan taat kepada ibu bapa walau dalam apa keadaan sekalipun selagi mana ibu bapa tidak menyuruh kepada maksiat kepada Allah ﷻ.

Sebagaimana firman Allah ﷻ:

وَقَضَىٰ رَبُّكَ أَلَّا تَعۡبُدُوٓاْ إِلَّآ إِيَّاهُ وَبِٱلۡوَٰلِدَيۡنِ إِحۡسَٰنًاۚ إِمَّا يَبۡلُغَنَّ عِندَكَ ٱلۡكِبَرَ أَحَدُهُمَآ أَوۡ كِلَاهُمَا فَلَا تَقُل لَّهُمَآ أُفّٖ وَلَا تَنۡهَرۡهُمَا وَقُل لَّهُمَا قَوۡلٗا كَرِيمٗا

“Dan Tuhanmu menitahkan supaya engkau tidak menyembah melainkan kepadaNya semata-mata, dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibu bapa. Jika salah seorang dari keduanya, atau kedua-duanya sekali mencapai umur tua dalam jagaan dan peliharaanmu maka janganlah engkau berkata kepada mereka (sebarang perkataan kasar) sekalipun perkataan ‘Ha’ dan janganlah engkau menengking menyergah mereka sebaliknya katakanlah kepada mereka dengan perkataan yang bersopan santun.”

[Al-Quran, al-Israa, 17:23]

Ibu bapa pula haruslah sabar dalam menggalas tanggungjawab mendidik anak-anak yang merupakan aset-aset yang dapat menjana pahala untuk dibawa ke akhirat.

Daripada Allah jua kita memohon petunjuk


[Gerakan PENA Malaysia]
Dapatkan Himpunan Risalah Aqidah yang ditulis oleh Sheikh Muhammad bin Abdul Wahab. Risalah-risalah beliau dihimpun sebagai sebuah kitab dan diterjemahkan ke dalam Bahasa Melayu (Malaysia).
Boleh dapatkan  KLIK DI SINI

Comments