OLEH: Ustaz Muhammad Izzat Al-Kutawi
Anak zina memang tidak bernasib baik seperti orang lain yang mempunyai bapa hasil perkahwinan yang diiktiraf syarak. Mereka asalnya dinasabkan kepada ibu dan tidak boleh dinasabkan kepada penzina dalam apa jua keadaan mengikut jumhur. Ada khilaf tentang kesaksian mereka. Sebahagian ulama memakruhkan berimamsolatkan mereka. Namun begitu, menuduh Islam tidak mempunyai simpati kepada anak zina adalah keterlaluan.
Banyak riwayat daripada salaf, generasi Muslim yang paling kuat pegangan agamanya menunjukkan anak zina mulia di sisi mereka, seperti orang lain juga. Jika jumhur fuqaha – seperti yang disebutkan dalam al-Mawsū‘ah al-Fiqhiyyah – selepas mereka mengatakan makruh berimamkan anak zina, sebahagian anak zina telah pun diangkat menjadi imam dalam kalangan mereka. Kata al-Sha‘bī tentang hal ini:
إِنَّ لَنَا إِمَامًا مَا يُعْرَفُ لَهُ أَبٌ.
“Kami ada imam yang tidak diketahui mempunyai bapa.”
Bahkan, Wakī‘ī meriwayatkan bahawa Abū Ḥanīfah bertanya ‘Aṭā’, “adakah anak zina boleh mengimamkan orang ramai?” Jawabnya:
لاَ بَأْسَ بِهِ ، أَلَيْسَ مِنْهُمْ مَنْ هُوَ أَكْثَرُ صَوْمًا وَصَلاَةً مِنَّا.
“Tidak mengapa. Bukankah ada antara mereka yang lebih banyak berpuasa dan solat daripada kita?”
Kata ‘Ā’ishah RA tentang anak zina yang Islam dikatakan tidak mempunyai ihsan kepada mereka:
لَيْسَ عَلَيْهِ مِنْ خَطِيئَةِ أَبَوَيْهِ شَيْءٌ ، لاَ تَزِرُ وَازِرَةٌ وِزْرَ أُخْرَى.
“Dia tidak menanggung dosa orang tuanya sama sekali. Seseorang tidak memikul dosa orang lain.”
Tentang persoalan mengapa anak zina tidak boleh dinasabkan kepada penzina, tidak dapat mewarisi harta penzina, tidak boleh itu tidak boleh ini, jawapannya, jika kita melihat Islam dengan kaca mata penuh insaf dan adil, jelas bahawa ini sebenarnya hukuman ke atas penzina. Memang anak zina tidak boleh mewarisi harta penzina, tetapi yang lebih penting penzina juga tidak boleh menuntut apa-apa daripada anak zina. Pada masa yang sama, oleh sebab anak zina dan penzina tidak mempunyai hubungan, anak zina tidak perlu taat dan berkhidmat kepada penzina sebagaimana orang lain perlu menjaga bapanya.
Ingat, jika anak zina dinasabkan dan mewarisi penzina, anak zina juga boleh dinasabkan kepada perogol dan perogol boleh mewarisi anak hasil perbuatan rogolnya. Begitukah yang kita mahu? Kemudian, jika Islam meminta penzina bertanggungjawab menyara anak zina, sekali gus mengiktirafnya sebagai anak penzina, perempuan tidak perlu risau lagi untuk berzina dengan sesiapa sahaja kerana anaknya akan disara oleh penzina. (Lelaki kaya pasti tersenyum.) Dan, makin banyaklah perzinaan dan kecurangan yang berlaku. Perkahwinan makin tidak bererti.
Oleh itu, “bersangka buruklah kepada pandangan akal kamu terhadap agama kamu.” Bukan Islam yang zalim, kejam, dan keterlaluan, tetapi kita yang tidak memahami hikmah di sebalik setiap pensyariatan.
Comments
Post a Comment