Adakah kaum musyrikin penyembah berhala yang disebutkan dalam al-Quran percaya bahawa yang diseru dan dipuja oleh mereka berkuasa untuk mengabulkan permintaan dan menunaikan hajat, serta benar-benar memiliki sifat-sifat ketuhanan?



Adakah kaum musyrikin penyembah berhala yang disebutkan dalam al-Quran percaya bahawa yang diseru dan dipuja oleh mereka berkuasa untuk mengabulkan permintaan dan menunaikan hajat, serta benar-benar memiliki sifat-sifat ketuhanan? Imam dan pengasas aliran Māturīdiyyaḧ yang disebut-sebut dalam khutbah Jumaat kita, Abū Manṣūr al-Māturīdĭ (m. 333 H) dalam tafsirnya yang entah bagaimana kurang diteliti orang, Ta’wīlāt Ahl al-Sunnaḧ ketika menafsirkan maksud وَجَعَلُوا لِلَّهِ شُرَكَاءَ dalam ayat 33, surah al-Ra‘d menyebutkan:

يبين سفههم في جعلهم هذه الأصنام والأوثان شركاء لله في العبادة؛ وتسميتهم آلهة؛ مع علمهم أنهم لا يقدرون ‌ولا ‌يملكون ‌شيئًا ‌من ‌ذلك.

“Dia menjelaskan kebodohan mereka dalam menjadikan patung dan berhala sebagai sekutu Allah dalam ibadat, serta memanggilnya tuhan, dalam keadaan mereka tahu bahawa mereka tidak berkuasa dan tidak memiliki sesuatu pun daripadanya.”

Kemudian ketika menafsirkan maksud قُلْ سَمُّوهُمْ katanya:

يقول — واللَّه أعلم — إذ سميتم هذه الأصنام آلهة ومعبودًا، سموهم أيضًا: خالقًا ورازقا ورحمانا ورحيمًا، وهم يعلمون أنها ليست كذلك. واللَّه أعلم.

“Kata-Nya, wallahualam, jika kamu memanggil berhala-berhala ini tuhan dan sembahan, maka panggil juga mereka pencipta, pemberi rezeki, yang pemurah, dan yang mengasihani; sedangkan mereka tahu bahawa semua itu tidaklah bersifat begitu, wallahualam.”

Dalam mentafsirkan ayat 97, surah al-An‘ām pula, katanya:

... مع علمهم أن الأصنام التي يعبدونها وأشركوها في عبادته لا يقدرون على ذلك، لكنهم يعبدونها ويشركونها في ‌ألوهيته سفهًا منهم وعنادًا...

“… dalam keadaan mereka tahu bahawa berhala yang disembah dan dipersekutukan dalam menyembah-Nya tidak berkuasa melakukannya (mentadbir alam), akan tetapi mereka menyembah dan mempersekutukan dalam ketuhanan-Nya kerana bodoh dan degil…”

Di tempat lain, iaitu ketika mentafsirkan ayat 3, surah al-Zumar, diulangi sekali lagi:

وقالوا في موضع آخر: (هَؤُلَاءِ شُفَعَاؤُنَا عِنْدَ اللَّهِ)، عرفوا أن ما كانوا يعبدون من الأوثان وغيرها ليسوا بآلهة في الحقيقة ولا لهم الألوهية حقيقة، وأن حقيقة الألوهية لله، لكنهم سموها: آلهة؛ لأنهم كانوا يعبدونها، وكل معبود عند العرب إله؛ لأن الإله هو المعبود...

“Dan mereka mengatakan di tempat lain, ‘Mereka ialah pemberi-pemberi syafaat kepada kami di sisi Allah’ Mereka tahu bahawa patung dan lain-lain yang disembah oleh mereka itu bukannya tuhan pada hakikatnya, tidak mempunyai sifat ketuhanan yang sebenar, dan bahawa hakikat ketuhanan (ulūhiyyaḧ) itu hanya milik Allah, akan tetapi mereka memanggilnya tuhan kerana mereka menyembahnya, dan setiap sembahan di sisi orang Arab adalah tuhan, kerana ilāh adalah sembahan…”

Perhatikan katanya, “Mereka tahu… bahawa hakikat ketuhanan (ulūhiyyaḧ) itu hanya milik Allah.” 

Jika begitu, mengapa mereka menyembah selain Allah? Abū Manṣūr menyebutkan dua sebab, yang kedua adalah taqlīd nenek moyang, dan:

أحدهما: لما لم يروا أنفسهم تصلح لعبادة الإله العظيم أو تقدر على القيام بخدمته، فعبدوا هذه الأشياء رجاء أن تقربهم عبادة هَؤُلَاءِ إلى اللَّه زلفى، وأن هَؤُلَاءِ شفعاؤهم عنده، وذلك لما رأوا في ملوك الدنيا أن كل أحد لا يجد السبيل إلى خدمة ملوكها، أو لا يقدر على القيام بين يديه والخدمة له، فيخدم من اتصل بالملك ومن عظم قدره ومنزلته عند الملك؛ ليقربه ذلك المخدوم له إلى الملك إذا بدت له الحاجة أو الشفاعة...

“Satunya, oleh sebab mereka menyangka mereka tidak layak untuk menyembah Tuhan Yang Maha Agung atau mampu untuk mengkhidmatinya, mereka pun menyembah benda-benda ini dengan harapan penyembahan mereka akan benda-benda itu akan mendekatkan mereka kepada Allah sedekat-dekatnya, dan bahawa mereka adalah pemberi syafaat kepada mereka di sisi-Nya. Yang demikian kerana mereka mendapati tidak semua orang berpeluang untuk berkhidmat kepada raja-raja atau tidak mampu untuk berada di hadapan dan berkhidmat kepada mereka. Jadi, mereka berkhidmat kepada yang ada hubungan dengan raja dan yang ada kedudukan dan martabat yang tinggi di sisi raja supaya orang-orang itu akan mendekatkan mereka kepada sang raja jika ada keperluan atau pertolongan.”

(Yang disebutkan oleh beliau sangat biasa kita dengar, dan merupakan ajaran sesat yang cuba diseludup ke dalam agama Islam oleh golongan Ikhwān al-Ṣafā. Kata mereka dalam Surat 1, Fasal 33:

اعلم يا أخي! أن من الناس من يتقرب إلى الله بأنبيائه ورسله، وبأئمتهم وأوصيائهم، أو بأولياء الله وعباده الصالحين، أو بملائكة الله المقربين والتعظيم لهم ومساجدهم والاقتداء بهم وبأفعالهم، والعمل بوصاياهم وسننهم على ذلك بحسب ما يمكنهم ويتأتى لهم، ويتحقق في نفوسهم ويؤدي إليه اجتهادهم. فأما من يعرف الله حق معرفته فهو لا يتوسل إليه بأحد غيره، وهذه مرتبة أهل المعارف الذين هم أولياء الله.

وأما من قصر فهمه ومعرفته وحقيقته فليس له طريق إلى الله تعالى إلا بأنبيائه، ومن قصر فهمه معرفته فليس له طريق إلى الله تعالى إلا بالأئمة من خلفائهم وأوصيائهم وعباده الصالحين.

فإن قصر فهمه ومعرفته بهم فليس له طريق إلا اتباع آثارهم، والعمل بوصاياهم والتعلق بسننهم، والذهاب إلى مساجدهم ومشاهدهم، والدعاء والصلاة والصيام والاستغفار وطلب الغفران والرحمة عند قبورهم، وعند تماثيلهم المصورة على أشكالهم، لتذكار آياتهم، وتعرف أحوالهم من الأصنام والأوثان وما يشاكل ذلك طلباً للقربة إلى الله والزلفى لديه.

ثم اعلم! أنه على كل حال من يعبد شيئا من الأشياء، ويتقرب إلى الله تعالى بأحد فهو أصلح حالا ممن لا يدين شيئا ولا يتقرب إلى الله البتة.

“Ketahuilah, wahai saudaraku, bahawa ada manusia yang mendekatkan diri kepada Allah dengan bertawassul dengan para nabi dan rasul-Nya dan dengan imam-imam dan wasi-wasi mereka – atau dengan wali-wali Allah dan hamba-hamba-Nya yang soleh mahupun dengan para malaikat Allah yang hampir dengan-Nya –, mengagungkan mereka dan tempat-tempat mereka beribadat, mengikut diri dan perbuatan-perbuatan mereka, serta mengamalkan pesanan dan amalan-amalan mereka mengikut kadar kemampuan dan kemampuan mereka, sebatas yang terdetik di benak dan didorong oleh akal fikiran mereka. Adapun orang yang benar-benar mengenali Allah itu tidak bertawassul dengan sesiapa selain-Nya. Orang yang cetek kefahaman dan pengetahuannya tentang Dia dan hakikat-Nya pula tidak mempunyai jalan untuk menuju Allah taala kecuali melalui perantaraan nabi-nabi-Nya; dan orang-orang yang lebih cetek kefahaman dan pengetahuannya pula tidak mempunyai jalan untuk menuju Allah taala kecuali melalui perantaraan para imam daripada kalangan para pengganti dan wasi serta hamba-hamba-Nya yang soleh. Sekiranya cetek kefahaman dan pengetahuannya tentang mereka pula, maka tiada jalan selain mengikut jejak langkah, melaksanakan pesanan, melazimi amalan, dan pergi ke masjid dan makam mereka serta berdoa, bersolat, berpuasa, beristighfar, dan meminta keampunan dan rahmat di sisi kubur mereka dan patung yang dibuat menyerupai mereka untuk memperingati tanda-tanda keagungan mereka. Diketahui hal-ehwal mereka daripada berhala dan sembahan serta yang seumpamanya dengan tujuan mendekatkan diri kepada Allah dan mencapai kedudukan di sisi-Nya. Kemudian, ketahuilah bahawa dalam apa jua keadaan, orang yang menyembah dan mendekatkan diri kepada Allah dengan sesuatu lebih baik keadaannya daripada orang yang tidak menyembah sesuatu dan tidak mendekatkan diri kepada Allah sama sekali.”

Perhatikan ayat terakhir, kerana sangat mirip dengan anggapan sesetengah orang bahawa lebih baik melakukan amalan bidaah daripada tidak berbuat apa-apa.)

Berkenaan dengan lima nama sembahan musyrikin iaitu Wadd, Suwā‘, Yaghūth, Ya‘ūq, dan Nasr, beliau mengatakan:

هي أسماء الأصنام التي كانوا يعبدونها. ثم يحتمل أن يكون الذي بعثهم على عبادة الأصنام ما ذكره أهل التفسير: أن قوم نوح — عليه السلام — اتخذوا هذه الأصنام أول ما اتخذوها على صورة رجال عباد كانت هذه الأسماء أسماءهم، فسموا الأصنام بأسماء العباد؛ ليعتبروا بها، ويجتهدوا في العبادة إذا نظروا إليها، فلما مضى ذلك القرن الذين اتخذوها عبرة وخلفهم قرن بعدهم، قال لهم الشيطان: إن الذين من قبلكم كانوا يعبدون هذه الأصنام، فعبدوها.

“Itu adalah nama-nama berhala yang disembah oleh mereka. Kemudian, ada kemungkinan bahawa yang mendorong mereka menyembah berhala adalah yang disebutkan oleh ahli tafsir bahawa kaum Nūḥ AS mula-mula mengambil berhala-berhala ini dengan rupa lelaki-lelaki abid yang ini adalah nama-nama mereka, lantas mereka menamakan berhala-berhala tersebut dengan nama-nama para abid ini untuk bertafakur dan bersungguh-sungguh dalam beribadat ketika memandangnya. Setelah berlalu zaman mereka bertafakur dan datang zaman yang lain selepas itu, syaitan berkata kepada mereka, ‘Orang-orang sebelum kalian menyembah berhala-berhala ini,’ lalu mereka pun menyembah berhala-berhala itu.”

Kemudian beliau membawakan riwayat lain daripada sebahagian mereka tentang Iblīs laknat mengadakan berhala dengan rupa Nabi Ādam AS. Selepas itu, beliau mengulangi kata-kata tentang raja dan rakyat biasa tadi:

ويحتمل أن يكون الذي بعثهم على ذلك هو أنهم لم يروا أنفسهم تصلح لعبادة رب العالمين، كما يرى هَؤُلَاءِ الذين يخدمون الأجلة في الشاهد لا يطمع كل واحد منهم في خدمة الملوك، ولا يرى نفسه أهلا لخدمتهم، بل يشتغل بخدمة من دونه أولاً؛ على رجاء أن يقربه إلى الملك، فكذلك هَؤُلَاءِ حسبوا أنهم لا يصلحون لخدمة رب العالمين...

“Dan berkemungkinan bahawa yang mendorong mereka berbuat begitu adalah bahawa mereka merasakan diri mereka tidak layak untuk menyembah Rabbulalamin sebagaimana mereka melihat semua yang berkhidmat kepada orang-orang besar pada realitinya tidak berkeinginan pun untuk berkhidmat kepada para raja, dan tidak juga merasakan diri mereka layak untuk melakukannya, sebaliknya mereka sibuk dengan berkhidmat kepada yang lebih rendah daripadanya dahulu dengan harapan dapat mendekatkan diri kepada kepada raja. Begitu jugalah mereka fikir bahawa mereka tidak layak untuk berkhidmat kepada Rabbulalamin…”

(Terdapat nas dalam kitab ini yang mengatakan musyrikin Arab mengingkari ulūhiyyaḧ Allah, tetapi ini dianggap sabq qalam beliau sendiri atau penyalin, kerana bercanggah dengan banyak nas di tempat lain; pada masa yang sama, dalam perenggan yang sama dinyatakan Dahriyyaḧ mengakui ulūhiyyaḧ Allah, sedangkan makruf bahawa Dahriyyaḧ tidak mempercayai kewujudan Tuhan sebagaimana yang disebutkan oleh beliau sendiri di tempat lain.)

Tentang soalan di awal tadi, jawapannya sangat jelas dan tidak berhajat kepada ta‘līq. 

Wallahualam.


- Ustaz Muhammad Izzat Al-Kutawi

Comments