Salah Satu Tanda Untuk Mengecam Kepalsuan Hadis

 



Dalam 99 Usūl Dirāyah, disenaraikan salah satu tanda untuk mengecam kepalsuan hadis adalah dengan melihat kepada rakākah, iaitu kecanggungan lafaznya. Penyusunnya, Maulana Muhammad Asri Yusoff hafiza-hu Allah mencontohkan hadis berikut:

لولاك لما خلقت الأفلاك.

"Kalau bukan kerana engkau (Muhammad) tentu aku tidak menciptakan alam."

Hujahnya, penggunaan lawlā-ka tidak tepat – atau kurang fasih – dalam bahasa Arab. Yang tepat, menurutnya, adalah “lawlā anta” sebagaimana yang digunakan dalam ucapan para sahabat, “lawlā anta ma ihtaday-nā”. Sebenarnya, yang disebutkan oleh beliau ini asasnya pendapat al-Mubarrad (285 H), dan pendapat tersebut ditolak oleh jumhur ahli nahu. Antara mereka, Abū al-Barakāt al-Anbārī (577 H) yang mengatakan:

وأما مجيء الضمير المنفصل بعده نحو "لولا أنا ولولا أنت" كما قال تعالى: {لَوْلا أَنْتُمْ لَكُنَّا مُؤْمِنِينَ} [سبأ: 31] فلا خلاف أنه أكثر في كلامهم وأفصح، وعدم مجيء الضمير المتصل في التنزيل لا يدل على عدم جوازه، ألا ترى أنه لم يأتِ في التنزيل ترك عمل "ما" في المبتدأ والخبر نحو "ما زيد قائم، وما عمرو منطلق" وإن كانت لغة جائزة فصيحة، وهي لغة بني تميم.

“Adapun datangnya ḍamīr munfaṣil (kata nama secara terpisah) selepasnya seperti lawlā anā dan lawlā anta sebagaimana firman Allah taala, 'Lawlā antum sudah tentu kami semua sudah menjadi orang beriman,' maka tiada khilaf bahawa ini yang paling banyak dalam kata-kata mereka dan lebih fasih. Dan ketiadaannya dalam al-Quran tidak menunjukkan bahawa ia tidak harus. Kamu lihat tiada dalam al-Quran amal mā pada mubtada’ dan khabar seperti 'Mā Zayd qā’im' dan 'Mā ‘Amr munṭaliq' ditinggalkan meskipun ia adalah lughah yang harus lagi fasih, dan ia adalah lughah Banī Tamīm…”

Namun begitu, dalam sebuah artikel yang diterbitkan pada 2008 seorang pengkaji mendapati penggunaan lawlā-ka dan sebagainya hanyalah ḍarūrah shi’riyyah kerana lafaz sebegitu tidak pernah direkodkan dalam mana-mana nathr pada zaman iḥtijāj. Bentuk ini hanya wujud dalam beberapa syair pada zaman tersebut sebelum digunakan secara meluas oleh para penyair era berikut. Jika begitu, pendapat al-Mubarrad dan Maulana Asri lebih tepat. (Terdapat kajian lain terbit pada tahun 2003/2004 pula menyokong pendapat jumhur dengan alasan tarkib lawla dengan damir sangat popular dalam syair era zaman iḥtijāj dan muncul dalam riwayat sebuah hadis yang sahih sanadnya.)

Walau bagaimanapun, seandainya yang rajih adalah pendapat jumhur sekalipun, ini tidak bermakna hadis tadi tidak lagi boleh dihukum palsu. Hal ini kerana kepalsuannya sabit melalui kaedah-kaedah lain yang diguna pakai oleh ahli hadis yang mendorong al-Ṣaghānī, al-‘Ajlūnī, Mullā ‘Alī al-Qārī, dan lain-lain tanpa teragak-agak menghukumnya palsu atau setaraf dengannya. Kata Syeikh al-Laknawī:

فكم من أحاديث اشتهرت على ألسنة العامة أو سطرت في كتب المتفقهة ولا أصل لها في الشريعة – بل هي موضوعة أو ضعيفة ساقطة - كحديث (لولاك لما خلقت الأفلاك)...

“Berapa banyak hadis yang terkenal di lidah orang awam dan ditulis dalam kitab-kitab mutafaqqihah sedangkan ia tiada asalnya dalam syariat – bahkan palsu atau ḍa‘īf lagi sāqiṭ - seperti hadis 'Lawlā-ka la-mā khalaq-tu al-aflāk'...”

Namun, malangnya ungkapan ini diterima oleh ramai pihak baik selaku hadis atau sebagai sebuah ungkapan yang benar. Tok Guru Nik Abdul Aziz rahimahullah sendiri pernah mengatakan:

“...Sepertimana yang kita semua tau, di antara gelaran yang diberikan kepada Nabi kita Muhammad SAW ialah gelaran 'Nabi Lawlā-k', 'Nabi Lawlā-ka', iaitu putusan atau singkatan daripada perkataan 'lawlā-ka mā khalaq-tu al-aflāk' - kalau tidaklah keranamu wahai Muhammad, maka langit, bumi, seluruh itu tidak wujud di muka dunia. Langit dan bumi yang kita anggap besar dan berharga ini wujud, kerana Allah ada cadangan lahirkan Nabi Muhammad SAW sebagai nabi akhir zaman. Dengan erti kalau tidak adalah cadangan untuk melahirkan Nabi Muhammad, maka kita pun tak ada, langit-bumi sebagai tempat tinggal kita ni pun tidak wujud. Jadi oleh yang demikian, apa sahaja cakapan, apa saja perbahasan, apa saja kajian yang kita orang Islam buat, patutnya mesti berkisar dan berkerumun di keliling wujudnya Nabi Muhammad SAW di muka dunia. Kepada yang tidak sedar benda inilah, selalunya timbul dan menimbulkan masalah-masalah, yang satunya bercakap, berkira, bertindak, beralasan kepada wujudnya Nabi Muhammad, manakala yang satu puak lagi bercakap, berkira, bertindak, berdasar kepada wujudnya mereka masing-masing, wujudnya langit dan bumi dan mereka, tanpa mengira dan tanpa mengingati paksi sebenar langit dan bumi iaitu Nabi Muhammad SAW...”

Wallahualam.


- Ustaz Muhammad Izzat Al-Kutawi

Comments