Angkat Tangan, Sapu Muka Selepas Salam Dalam Solat



Ada tiga qawl dalam mazhab Shāfi‘ī tentang galakan mengangkat tangan dan menyapu muka semasa doa qunut. Pendapat yang paling kuat ialah sunat mengangkat tangan dan tidak menyapu muka seperti yang diamalkan hari ini. Pendapat kedua, sunat mengangkat dan menyapu muka. Pendapat ketiga, kedua-duanya tidak sunat. 

Pendapat ketiga ini dipilih oleh imam ahli hadis, Abū Ḥātim al-Rāzī (m. 277 H) sebagaimana yang terpapar dalam perbualan yang diriwayatkan oleh Khatib al-Baghdādī dengan sanad yang hasan atau sahih daripada al-Qāsim b. Abū Ṣāliḥ:

Abū Zur‘ah: Adakah tuan mengangkat tangan semasa qunut?

Abū Ḥātim: Tidak. Jadi, kamu angkat?

Abū Zur‘ah: Ya. 

Abū Ḥatim: Apakah dalil kamu?

Abū Zur‘ah: Hadis Ibnu Mas‘ūd.

Abū Ḥātim: Hadis itu diriwayatkan oleh Layth b. Abū Sulaym.

Abū Zur‘ah: Hadis Abū Hurayrah?

Abū Ḥātim: Hadis itu diriwayatkan oleh Ibnu Lahī‘ah.

Abū Zur‘ah: Hadis Ibnu ‘Abbās?

Abū Ḥātim: Hadis itu diriwayatkan oleh ‘Awf.

Abū Zur‘ah: Jadi, apakah dalil tuan tidak melakukannya?

Abū Ḥātim: Hadis Anas bahawa Rasulullah SAW tidak mengangkat tangan dalam mana-mana doa kecuali istisqā’.

Abū Zur‘ah: (Terdiam).

Maksud Abū Ḥātim, hadis-hadis yang menunjukkan tangan sunat diangkat semasa doa qunut semuanya tidak thābit, dan ia bertentangan dengan keumuman hadis yang mengatakan Rasulullah SAW tidak mengangkat tangan semasa berdoa kecuali semasa berdoa meminta hujan. 

Tidak dapat dipastikan hadis-hadis yang dimaksudkan oleh mereka dan diyakini bahawa hadis Anas tidaklah seumum itu (sila baca: Aḥāḍith wa-Āthār fī Raf‘ al-Yadayn fi al-Duā‘ oleh Dr. ‘Abd al-Ghaffār b. Muḥammad b. Ḥamīduh [?] untuk mengetahui tempat-tempat lain Rasulullah SAW berdoa sambil mengangkat tangan), namun disimpulkan bahawa hadis ḍa‘īf tidak boleh dijadikan hujah untuk mensunatkan sesuatu amalan di sisi Abū Ḥātim. Ini bermakna dakwaan ramai termasuk Imam al-Nawawī bahawa ulama bersepakat membolehkan atau menggalakkan beramal dengan hadis ḍa‘īf dalam perkara sunat adalah tidak benar.

Sebagai tambahan, perbuatan menyapu dada dan ke bawah selepas doa qunut yang dilakukan oleh sesetengah orang tidak disyariatkan di sisi mazhab sama sekali. Kata Imam al-Nawawī:

وَأَمَّا غَيْرُ الْوَجْهِ مِنْ الصَّدْرِ وَغَيْرِهِ فَاتَّفَقَ أَصْحَابُنَا عَلَى أَنَّهُ لَا يُسْتَحَبُّ بَلْ قَالَ ابْنُ الصَّبَّاغِ وَغَيْرُهُ هُوَ مَكْرُوهٌ وَاَللَّهُ أَعْلَمُ

“Adapun selain muka berupa dada dan sebagainya, ulama-ulama kita bersepakat mengatakan ia tidak digalakkan, bahkan kata Ibnu al-Ṣabbāgh dan selainnya, perbuatan itu makruh. Wallahualam.”


- Ustaz Muhammad Izzat Al-Kutawi

Comments