OLEH: Taufiq Tuah
Azimat ialah sesuatu kemampuan yang boleh membawa kepada perkara luar biasa. Cerita azimat-azimat ini memang sangat-sangat masyhur dikalangan orang-orang Nusantara. Azimat-azimat ini juga banyak diceritakan di dalam cerita-cerita barat.
Nusantara pula terkenal dengan azimat seperti kebalnya Keris Tamingsari dan hebatnya muntah raksasa Si Badang. Orang-orang kita juga telah pun sebati dengan adat bertakal dan berazimat. Hal-hal seperti ini seperti yang kita tahu menyanggahi dari Islam dan boleh membawa Syirik.
Masalah BESAR kita hari ini ialah apabila ada golongan-golongan yang membawa takal-takal di dalam masyarakat atas nama Islam.
Mereka mengatakan bahawa kononnya bentuk capal Rasulullah SAW boleh membawa kepada kebaikan dan fadhilat-fadhilat tertentu. Sehinggakan mereka membuat 'graf' capal ini dengan bacaan dan doa-doa tertentu. Kononnya ia akan membawa banyak kebaikan dalam kehidupan.
Lebih mudharat apabila ada di antara mereka yang sangat taksub akan bentuk capal ini. Mereka meletakkan bentuk capal ini di serata tempat kerana percaya kepada fadhilat dan azimat yang ada padanya.
Apakah benar bentuk ini membawa banyak fadhilat dan ada azimat?
Sebenarnya, orang yang waras pun mengetahui bahawa tiada sebarang fadhilat mengagungkan bentuk ini. Adapun mereka yang mengatakan bahawa bentuk ini akan membawa kepada kebaikan dan fadhilat hanyalah ungkapan dusta. Dusta sedusta dustanya. Tidak ada di dalam Al-Quran dan Hadis sahih yang mengatakan bahawa bentuk capal ini akan membawa kepada sekian sekian.
Maka TIDAK PERLU taksub kepada bentuk capal tersebut. Sama sahaja bentuk capal itu dengan bentuk capal-capal yang lain, tiada kebaikan bentuk itu melibihi bentuk-bentuk lain.
Kayu Koka pula semakin menjadi ikutan apabila cerita-cerita kebaikan kayu koka ini tersebar. Ada juga yang menceritakan sejarah bagi kayu koka ini. Kononnya kayu koka ialah kayu yang digunakan untuk membuat bahtera Nabi Nuh A.S. (Ada juga kaki merepek yang kata bahtera Nabi Nuh A.S dapat kayu dari Kedah). Mereka juga mengatakan bahawa kayu koka ialah bahan yang sama untuk membuat tongkat Nabi Musa A.S.
Malangnya, tiada satupun ayat Al-Quran atau hadis sahih yang memberitahu bahan kayu yang membuat bahtera dan tongkat tersebut. Juga tiada sebarang bukti tentang fadhilat dan kebaikan yang boleh diperoleh daripada kayu itu.
Malangnya, orang kita menggunakan kayu koka sebagai pelbagai guna atas dasar fadhilat tersebut.
Orang nusantara tersilap dalam memahami Sunnah. Rasulullah SAW mengajarkan kita bahawa sunnah untuk memakai alas di tapak kaki. Malangnya orang nusantara mengambil bentuk alas kaki itu dan diletakkan di kepala. Adakah benar sunnah yang dipratikkan?
Orang nusantara silap dalam mendalami kisah-kisah para anbiya'. Sepatutnya kisah bahtera Nabi Nuh A.S dan kisah tongkat Nabi Musa A.S menjadi iktibar kepada kita supaya tidak mengingkari perintah Allah SWT. Malangnya, orang nusantara memilih untuk mencari bahan dalam membuat bahtera dan tongkat itu dan melupakan sahaja iktibarnya. Malah, orang nusantara juga membuat cerita dongeng pula bersandarkan kisah-kisah anbiya' ini.
Nauzubillah minzalik.
Sebagai orang yang sedar, sudah menjadi tanggungjawab kita dalam menanggani masalah pemahaman agama ini. Sedarkan sahabat-sahabat dan keluarga kita tentang Islam yang sebenar dan jauhkan mereka daripada kesyirikan dan kemungkaran.
Wallahualam
___________________________
~
Taufiq Tuah
~
Lajnah Makalah Agama
Telegram: https://t.me/gerakanpenamy
Instagram: https://www.instagram.com/gerakanpenamy
_____________________________
Comments
Post a Comment