Bertanya Kepada Hizbut Tahrir

OLEH: Abu Amru Radzi Othman

Hizbut Tahrir telah menetapkan sumber aqidah umat Islam harus berpunca dari dalil yang qat’I ad dilalah (petunjuk makna) dan qat’I at tsubut (sumber). Hukum ini diwajibkan atas setiap kaum muslimin kerana pada pandangan Hizbut Tahrir, iman harus bersifat pasti, bukan sebuah prasangka. Lantas Hizbut tahrir menetapkan bahawa khabar ahad tidak membawa sebuah kepastian. Syeikh Taqiyuddin An-Nabhani berkata tentang iman yang bersumberkan khabar ahad:

“Jadi aqidah seorang muslim itu harus bersandar kepada akal atau pada sesuatu yang telah terbukti kebenaran dasarnya oleh akal. Seorang muslim wajib meyakini (menjadikan sebagai aqidah) segala sesuatu yang telah terbukti dengan akal atau yang datang dari sumber berita yang yakin dan pasti (Qath’i), iaitu apa-apa yang telah ditetapkan oleh al Qur’an dan hadis mutawatir. Apa saja yang tidak terbukti oleh kedua jalan tadi, iaitu akal serta nash al qur’an dan hadis mutawatir, HARAM baginya untuk mengimaninya (menjadikan sebagai aqidah)…..”. (Taqiyyuddin an Nabhani, Peraturan Hidup dalam Islam.  Judul asli: Nidzomul Islam, Penerjemah: Abu Amin dkk. Penerbit: Pustaka Thariqul ‘Izzah Indonesia, Cetakan II (revisi), April 1993)

Berdasarkan kenyataan dari pendiri Hizbut Tahrir iaitu Syeikh Taqiyuddin An-Nabhani, malah kitabnya itu menjadi salah satu kitab mutabannat, lalu timbul sekitar 10 persoalan yang menagih ulama Hizbut Tahrir menjelaskannya dengan gamblang:



KEMUSYKILAN PERTAMA (1)
Para ulama telah menyatakan bahawa salaf as soleh telah ber-ijma untuk beramal dengan hadis ahad dan hadis ahad menghasilkan keyakinan. Perkara ini dinyatakan antaranya Khatib Al Baghdadi dalam Al Kifayah, Ibnu Hajar dalam Fathul Bari serta Ibn Abd Barr dalam At Tamhid. Justeru apakah ada dalil yang menunjukkan sahabat, tabi’in dan tabi’ut-tabi’in hanya mengambil hadis mutawatir sebagai pegangan aqidah? Kalaulah Muaz ke Yaman lalu mengajar tauhid, Amr bin Al Ash ke Oman, al Ala bin Al Hadrami ke Bahrain, dan beberapa lagi sahabat lain yang diutus keluar Ibu Kota dengan misi mengemban dakwah tauhid, lalu kenapa tidak ada satu riwayatpun yang menceritakan tabiat para pemeluk Islam yang baharu untuk mencari sumber-sumber berita sehingga mereka meyakini sebagai mutawatir? Walhal jika perkara tersebut adalah kaedah dalam agama, pastilah wujud banyak riwayat yang menceritakannya. Begitu juga mengapa tidak ada satu riwayatpun, hatta yang dhaif, yang menunjukkan bahawa para gabenor ini menerangkan konsep keyakinan versi Hizbut Tahrir iaitu Khabar Tabligh dan Khabar Isbat.



KEMUSYKILAN KEDUA (2)
Mutawatir Al-Qur’an berbeza dari Mutawatir Hadis. Ini dinyatakan oleh Ibnul Jazari dalam Munjid Al Muqri’in, Ibnu Hazm dalam Al Ihkam dan Syeikh Abdussalam Muqbil Al Majidi dalam Idzhab al Hazan. Perbezaan ini tergambar dalam proses pembukuan Al Qur’an. Mutawatir Al Qur’an terbahagi kepada Mutawatir Qira’at dan Mutawatir Mushaf. Konsep mutawatir Qiraat dan Mutawatir Mushaf adalah “tidak boleh menyalahi”, sedangkan konsep mutawatir hadis adalah “jumlah jalan-jalan yang banyak”. Zaid telah menetapkan syarat untuk diterima sesuatu ayat al Qur’an semasa beliau ketuai panitia Pembukuan Al Qur’an. Syaratnya adalah penghafal perlu membawa sekuraangnya 2 orang saksi dan 1 tulisan. Jika ditinjau maka jumlah penghafal hanyalah 3 orang dan ini masih di kira ahad dalam ilmu hadis. Syarat terakhir ini membuatkan mutawatir al qur’an jelas-jelas berbeza iaitu wajib disertakan dengan bukti bertulis. Sedangkan mutawatir hadis dilihat pada sisi perawi semata-mata. Kemudian dalam bacaan Al Qur’an, makna Mutawatir Qiraat adalah 7 jenis qiraat.  Qira’at yang menyalahi salah satu dari 7 qira’at tersebut akan dikatakan sebagai Qira’ah ahad walaupun orang yang membacanya 10,000 orang! Manakala mutawatir Mushaf maknanya tulisan al qur’an yang berada dalam Mushaf Uthmani. Semua mushaf sahabi (primear) yang berjumlah sekitar 13 buah dan juga mushaf tabi’in (sekunder) yang jumlahnya juga sekitar 14 akan dianggap ahad sekiranya ia menyalahi apa-apa yang wujud dalam Mushaf Uthmani. Mushaf Uthmani pada satu sisi adalah tunggal (seperti khabar wahid) namun pada sisi keyakinan maka ia mutawatir.



KEMUSYKILAN KETIGA (3)
Ad Dahlawi berkata dalam Al Insaf fi Bayan Asbab Al ikhtilaf bahawa ukuran kepada mutawatir bukannya ‘jumlah perawi yang banyak’ tetapi parameternya adalah keyakinan yang muncul di dalam hati. Buktinya ada ulama hadis yang percaya kepada sesuatu berita apabila dia mendapatkan dari 4 sumber bebeza. Namun ada ulama hadis yang hanya akan percaya apabila dia meendapatkan keseragaman berita yang jumlahnya sangat banyak seperti 40 sumber berita. Hal ini dapat difahami dengan keadaan para Duta dan Gabenor yang Nabi utus untuk menyampaikan dakwah tauhid, walaupun datang berseorangan dengan membawa surat dari Nabi beserta cip mohor, keadaan itu sudah menjadikan mereka sebagai mutawatir. Hasil daripada itu para ulama’ hadis berbeza menetapkan jumlah yang akan menyebabkan hati mereka yakin. Ada yang menjadi yakin setelah mendapat 4 jalan sumber berita, ada yang 5, 10, 20, 40, 70, 200, dan 313 sumber berita. Natijahnya ulama’ akan mempunyai set hadis mutawatir yang berbeza antara satu sama lain, sekaligus jika keyakinan hanya diambil dari hadis mutawatir maka akan terhasil pelbagai set kepercayaan yang antara seorang ulama dengan ulama yang lain berbeza.



KEMUSYKILAN KEEMPAT (4)
Oleh sebab yang menjadi parameter untuk iman adalah berita yang bersifat pasti dimana kayu ukurnya adalah yakin bahawa sumber tersebut tulen dan tidak terkontaminasi. Sementara itu bagi memperoleh kepastian akan ketulenan dan kemurnian sebuah berita, ia memerlukan ilmu untuk menyelidiknya dan menguji keasliannya. Oleh itu Ahlul Sunnah wal Jamaah yang memiliki ilmu tentang hadis dan atsar akan percaya sebuah khabar yang dibawa oleh seorang yang terpercaya dari seorang yang terpercaya dari seorang yang tepercaya. Sebaliknya bagi orang yang kurang keilmuannya, terkadang dia meragui sesuatu berita. Lantas dia mencari pelbagai sumber lain agar hatinya kokoh. Justeru Ahlul Sunnah menetapkan sebuah khabar yang di bawa oleh seseorang, pada awalnya bersifat zann yang negative (meragukan) namun setelah khabar itu diteliti dengan ‘alat dan kaedah ilmiyah’ lalu mereka menjadi yakin lantas status khabar ahad tadi berubah menjadi zann yang positif (yakin).



KEMUSYKILAN KELIMA (5)
Penelitian terhadap sanad hanya bermula setelah terbunuhnya Uthman dan munculnya mazhab sesat Khawarij dan Syiah, sepertimana kenyataan Ibnu Sirin iaitu sekitar 30H. Ketika itu sanad dilihat pada sisi kualiti iaitu shahih, dhaif atau maudhu. Sedangkan penelitian sanad pada sisi jumlah ‘turuq’ hanya muncul pada penghujung kurun ke 2H. Al Asham dan muridnya Ibnu Aliyyah merupakan orang pertama mencipta konsep tersebut, kemudian dibantah oleh Imam Syafie dalam Ar Risalah. Sejarah ini saling menguatkan adanya ijma di kalangan sahabat dan tabi’in kerana mereka memang tidak pernah mengkaji jumlah ‘turuq’ bagi satu-satu hadis lantaran disiplin tersebut belom muncul di zaman mereka.



KEMUSYKILAN KEENAM (6)
Sebuah khabar dianggap mutawatir apabila jumlah perawi di setiap tingkatan adalah seimbang pada seluruh tingkatan yang ada, sampai kepada perawi terakhir. Contohnya Imam Suyuti telah mengumpulkan saluran berita bagi sebuah perkhabaran lalu mendapati ia mutawatir. Tadi kita telah katakana bahawa mutawatir di sini adalah satu jumlah yang dipercayai oleh hati Imam Suyuti sendiri. Dia mengatakan bahawa hadis tersebut mutawatir tetapi ada ulama yang menafikannya kerana hati ulama tersebut belom bulat keyakinannya. Bukan di sini permasalahnya sebab hal ini telah di singgung pada point ke tiga. Persoalannya adalah khabar yang di bawa oleh Imam Suyuti adalah ahad! Ketika seorang bernama fulan mendengar Imam Suyuti mengatakan “hadis ini mutawatir” maka dia hanya baru mendengar dari satu sumber! Lantas apakah dia boleh terus mempercayai apa yang dikatakan oleh Imam Suyuti walhal perkhabaran tersebut bersifat ahad. Bukankah setiap Muslim wajib mengimani hal-hal yang mutawatir sahaja lalu Imam Suyuti telah mencapai tahap yakin sebab dia telah meneliti banyak sumber berita, tetapi si fulan hanya mendapat sebuah berita!



KEMUSYKILAN KETUJUH (7)
Keadaan di atas menunjukkan bahawa hanya ulama ahlil hadis sahaja yang mampu untuk menilai sesuatu hadis itu memiliki banyak sumber berita atau bukan. Ini kerana bergabung dua proses kerja yang kedua-duanya sangat sukar iaitu (1) mencari sebanyak mungkin sumber berita dari segala kitab hadis yang wujud seperti jami’, mu’jam, sunan, musnad, mushannaf dan berbagai lagi. Kemudian (2) meneliti setiap sumber berita tersebut tulen dan tidak terkontaminasi. Oleh sebab itu, selain ahli hadis tidak akan mampu melakukannya. Lalu ketika Hizbut Tahrir menetapkan setiap umat islam wajib hanya menerima khabar mutawatir dan haramnya menerima khabar ahad, ia seperti mewajibkan setiap umat Islam menjadi ahlil hadis!



KEMUSYKILAN KELAPAN (8)
Mengkehendaki setiap umat islam perlu menjadi ahli hadis untuk memenuhi syarat ‘iman itu wajib bersumber dari khabar mutawatir bagi setiap orang’, adalah sebuah kemustahilan. Lalu apakah dibolehkan untuk seseorang beriman dengan bertaqlid atas kajian beberapa ulama ahli hadis tentang khabar-khabar mutawatir? Contohnya si Fulan bertaqlid kepada Imam Suyuti dalam penetapan hadis mutawatir. Tetapi taqlid dalam aqidah bukanlah sebuah perkara yang benar malah taqlid adalah kebodohan dan keraguan. Sekaligus ia menyalahi sebuah kepastian, kerana Hizbut Tahrir menetapkan kepastian hanya datang dari sumber yang qat’i dan haramnya taqlid.



KEMUSYKILAN KESEMBILAN (9)
Ketika sebuah perkara yang bersumberkan khabar ahad sampai kepada seorang muslim, mengikut kaedah Hizbut tahrir, dia tidak dibenarkan untuk mengimaninya. Kerana mengimani sesuatu yang tidak benar adalah perbuatan dosa dan kemungkinan untuk terpesong aqidah itu sangat besar. Hizbut Tahrir telah mentakrifkan iman atau aqidah atau tauhid adalah keyakinan yang kokoh kuat tersimpul dalam hati yang bersumberkan dua jalan iaitu aqal dan mutawatir (al qur’an dan hadis mutawatir). Maka perkara dari khabar ahad contohnya azab kubur menatijahkan tidak boleh diimani oleh seorang Muslim. Bahasa yang lebih jelas adalah Hizbut Tahrir tidak beriman adanya azab kubur. Tetapi Hizbut Tahrir memiliki satu istilah baharu iaitu khabar tabligh dan khabar isbat. Khabar tabligh adalah berita yang diterima namun tidak diimani. Ibaratnya seseorang bermonolog “azab kubur ini entahkan ada entahkan tiada, mungkin lah ada”. Sedangkan khabar isbat adalah sebuah berita yang diterima dan dipercayai dengan kokoh menjadi iman. Justeru siapakah yang mula-mula mewujudkan istilah ini? Dalam kitab mana ia tertulis? Dan apakah penjelasan yang ulama salaf as soleh ungkapkan tentang kedua-dua istilah ini? Atau istilah ini hanyalah ciptaan Hizbut Tahrir? Bukankah perasaan tidak pasti, teragak-agak, dan menyangka-nyangka; sebenarnya tidak mententeramkan hati dan sering buat manusia gelisah. Lalu apa manafaat menyimpan sebuah khabar yang tidak boleh diimani tetapi sekadar praduga kuat? Kemudian apakah ada perbezaan hukum apabila kita meragukan 2% dengan 20%? Antara 30% dengan 50% dan juga 70%?



KEMUSYKILAN KESEPULUH (10)
Jikalau Hizbut Tahrir menetapkan bahawa penolakan khabar ahad adalah tradisi dari zaman sahabat lagi, maka pastilah sangat mudah untuk menemukan takrifan khabar tabligh dan khabar isbat. Malah pastilah sangat mudah memperoleh kitab-kitab aqidah yang suci bersih dari menyebut aqidah yang dibina dari khabar ahad. Maksudnya adalah jika kalian benar maka silakan bahawa satu kitab aqidah dari para ulama salaf as soleh yang memuat hanya aqidah-aqidah bersumberkan khabar mutawatir. Contohnya Imam Ja’far At Thahawi menulis kitabnya dengan jodol Aqidah At Thahawiyah. Tetapi kenapa dalam kitabnya terpenuh pesanan untuk beriman kepada azab kubur, dajjal, telaga nabi dan banyak lagi perkara yg diambil dari khabar ahad? Walhal kitabnya diberi tajuk aqidah iaitu keyakinan yang pasti yang tidak boleh ada keraguan sedikitpun. Dan beliau tidak pernah menjelaskan khabar tabligh dan khabar isbat dari kulit hadapan sampailah kulit belakang. Juga para pensyarah kitab tersebut tidak pernah menjelaskannya. Maka sebagai membuktikan bahawa memang para ulama sejak dahulu menerima konsep Hizbut Tahrir dalam aqidah iaitu bersumberkan hadis mutawatir semata-mata, maka mohon Hizbut Tahrir bawakan satu sahaja kitab karangan ulama ahlul sunnah di zaman dahulu yang aqidahnya hanya dari hadis mutawatir.




Catatan:
Takrif Hadis Mutawatir oleh Syeikh Taqiyuddin dalam Syahksiyyah Islamiyyah jilid 3:"Atas  dasar itu khabar mutawattir adalah khabar yang diriwayatkan pada tiga masa oleh sekelompok orang, yang menutup kemungkinan dan  yang mustahil ada pada mereka kesepakatan untuk berdusta. Dan yang dimaksud dengan tiga masa adalah masa shahabat, tabi'in dan tabi'it-tabi'in"




___________________________
  Abu Amru Radzi Othman
   ~
Lajnah Makalah Agama
_____________________________

Comments