Keistimewaan Kepada Gambar Ulama / Wali

OLEH: Taufiq Tuah

Ulama pewaris para nabi. Namun, apakah sebenarnya yang diwarisi oleh mereka daripada nabi? Mereka sebenarnya mewarisi tugas penyampai risalah Allah. Mereka bertanggungjawab untuk menyampaikan agama Allah ini kepada sekalian manusia kerana ilmu mereka. Itu lah makna disebalik frasa  kata 'pewaris' di dalam slogan tersebut.


Namun tidak bermakna ulama itu akan maksum. Mana-mana ulama ialah bukan maksum kerana yang maksum hanyalah Rasulullah SAW. Oleh itu, setiap apa yang dilakukan oleh seseorang ulama, boleh dipertikaikan jika tidak ada dalil sahih yang menyokongnya.

Dini hari, ramai umat Islam yang rajin belajar agama dari asatizah kesukaan mereka. Ada yang suka kerana cara penyampaiannya yang kelakar, ada yang suka kerana mereka dari jemaah yang sama, ada yang suka kerana terikut-ikut orang terdekatnya dan ada juga yang suka kerana benar ilmu diminta.

Perkataan ulama akhirnya menjadi murah kerana begitu mudah seseorang meletakkan 'taraf' ulama kepada asatizah yang disukai. Misal, asatizah yang sering mengikuti majlis-majlis menyanyikan syair qasidah dan sering membuat ritual di kubur. Asatizah jenis ini sangat mudah mendapat taraf 'Ulama' di kalangan muridnya. Sedangkan taraf tersebut bukanlah sewenang-wenangnya boleh diberi begitu sahaja.

Maka wujudlah komuniti pecinta ulama yang berkenaan sehingga wujudnya ghuluw di dalam kelompok tersebut. Mereka memuja ulama kesukaannya dengan berlebih-lebihan dan ulama idola mereka tidak pun menegah pemgikutnya berbuat hal demikian. Gambar-gambar ulama di tampal di rumah-rumah dan gerai makan dengan harapan mendapat berkat dan kerahmatan. Akhirnya menjadi perniagaan bagi sesiapa yang menjual gambar-gambar ulama ini dengan bermodalkan "tampal nanti dapat berkat", "ni gambar ulama ni, jangan main2".

Apakah boleh kita berbuat hal demikian?

1. GHULUW
★Sememangnya salah di sisi Islam. Hal  ini pernah dibincangkan di dalam artikel sebelum ini.


2. LARANGAN MENGGANTUNG GAMBAR DI RUMAH
★ “Malaikat tidak masuk ke dalam rumah yang di dalamnya ada anjing atau gambar.” Yang dia maksudkan adalah gambar yang menyerupai makhluk bernyawa.”
 (Hadis Riwayat Bukhari)


3. LARANGAN MELUKIS GAMBAR ORANG SOLEH
★Dari Ibnu Abbas RA bahawa beliau menceritakan: "Berhala-berhala yang dahulu ada di kalangan umat Nabi Nuh, akhirnya berpindah ke negeri Arab pada masa selanjutnya. Adapun berhala Wudd, ada di Daumatul Jandal. Berhala Suwaa', ada di kalangan Bani Hudzail. Sementara Yaghuts ada di kalangan Bani Ghatthaf di daerah Jauf di Saba. Ya'uq adalah milik Bani Hamdaan. Sementara berhala Nashr menjadi milik Humair, dari keluarga Dzil Kilaa'. Mereka pada asalnya adalah orang-orang soleh dari umat Nabi Nuh. Setelah mereka meninggal dunia, syaitan membisikkan kepada kaumnya agar membuat patung mereka di majlis-majlis yang biasa mereka hadiri, menamakan patung-patung itu dengan nama mereka. Mereka pun mengerjakan apa yang dibisikkan oleh syaitan tersebut. Pada awalnya, patung-patung itu tidaklah disembah. Tetapi setelah mereka meninggal dunia pula, ilmu tentang perkara itupun sudah tidak diketahui lagi, akhirnya patung-patung itupun disembah. (HR. Al-Bukhari 4636)

Hadis ini mengisyaratkan kita bahawa dilarang untuk melukis dan mengukir gambar orang-orang soleh. Situasi yang sama juga bakal berlaku kepada yang melukis gambar orang soleh pada hari ini. Lihat, mereka menganggap menggantung ganbar ulama sebagai berkat. Malah menjadi takal menghalau hantu. Walaupun tidak memyembah gambar tersebut, tetapi telah muncul bibit-bibit syirik di kalangan mereka.

4. SYIRIK
Dengan mengharapkan sesuatu daripada selain Allah SWT. Menggantungkan gambar ulama untuk keberkatan merupakan bukti kita mengharapkan gambar itu menarik keberkatan.

Ada yang memberi alasan, menggantung itu 'ikhtiar' nya. Sedangkan usaha mendapat rahmat Allah SWT itu dengan ibadah yang istiqamah dan tidak melakukan perkara yang tidak disukaiNya. Bukannya dengan menggantung bingkai gambar itu kemudian kita dengan mudah berkata "Aku berusaha untuk rahmat Allah".

Kesimpulan:
Perbuatan menggantung gambar ulama di dalam rumah seperti dinyatakan di atas ialah perbuatan Syirik dan Munkar termasuk di dalam dosa-dosa besar. Haram hukumnya melakukan hal demikian dan bagi yang telah terlanjur melakukannya, sesungguhnya Allah maha penerima taubat.

Wallahualam
___________________________
  Taufiq Tuah
  ~
Lajnah Makalah Agama
_____________________________

Comments