OLEH: Zulfikar Egar
Kisah silam yang ada tercatat dalam al-Quran di surah al-Naml, yang bermula dengan burung hud-hud pulang membawa berita daripada sebuah negeri Saba' lalu menghadap Nabi Sulaiman A.S.
Diceritakan kepada Nabi Sulaiman A.S akan kemewahan negeri Saba' yang mempunyai ketenteraan yang lengkap diperintah oleh seorang ratu yang menyembah matahari serta memiliki singgahsana yang besar.
Lalu berlakunya kiriman surat daripada Nabi Sulaiman A.S kepada Ratu Balqis hingga membawa bersidangnya ratu tersebut dengan jemaah menterinya.
Tidak mahu berlaku ketegangan dengan kerajaan Nabi Sulaiman A.S lantas Ratu Balqis telah membalas surat itu dengan mengirim hadiah kepada Nabi Sulaiman A.S dan hajat untuk menziarahi baginda A.S.
Sementara menunggu ketibaan Ratu Balqis, disebutkan juga dalam surah al-Naml akan kisah persaingan untuk membawa singgahsana Ratu Balqis ke istana baginda Nabi Sulaiman A.S.
Persaingan di antara seorang manusia yang alim berjaya mengalahkan jin ifrit yang kuat untuk memindahkan singgahsana Ratu Saba’ dalam sekelip mata tanpa sempat Nabi Sulaiman A.S berkedip matanya.
Dan akhirnya kisah tersebut, selepas teruja melihat istana Nabi Sulaiman A.S dan singgahsananya sendiri yang berada di hadapan matanya, Ratu Saba' itu kemudiannya memeluk Islam.
Kisah antara Nabi Sulaiman A.S dengan Ratu Balqis sebenarnya terhenti setakat itu sahaja di dalam al-Quran.
JIka ditelitu kisah pertemuan Nabi Sulaiman A.S dan Ratu Balqis dalam ayat-ayat surah Al-Naml. Tidak dinyatakan perkahwinan antara mereka berdua sebagaimana yang dipercayai oleh ramai orang sehingga ia menjadi popular dan doa dalam majlis perkahwinan.
Pengakhiran bahagia kisah mereka berdua adalah dengan Islamnya Ratu Balqis bukannya berakhir dengan perkahwinan.
Sebab, dikatakan selepas itu kononnya Nabi Sulaiman A.S. dengan Ratu Saba' yakni Ratu Balqis itu berkahwin dan dikurniakan seorang putera.
Daripada putera itu pula lahirlah keturunan raja-raja mahupun kaisar di negeri-negeri-negeri Ethophia dan 'Abessinia.
Persoalannya, benarkah Nabi Sulaiman A.S. dengan Ratu Balqis itu berkahwin?
Menurut Imam al-Razi, kisah perkahwinan itu tidak terdapat di dalam al-Quran atau riwayat hadit yang sahih.
Maksudnya, tiada satu pun ayat al-Quran atau hadith yang sahih pun merekodkan perkahwinan mereka berdua.
Jika ada pun ia tergolong dalam dakwaan Israeiliyyat yang masih samar-samar kesahihannya. Itulah huraian Imam al-Razi dalam Tafsirnya.
Tambah menarik, menurut Imam al-Razi dalam Tafsir al-Razi, ada sebuah riwayat yang mengatakan bahawa Nabi Sulaiman A.S tidak berkahwin dengan Ratu Balqis, sebaliknya mengahwinkan Ratu Saba’ tersebut dengan pemerintah Negara Hamadan.
Wallahualam.
*Rujukan:
- "Happy Ending" Sebenar Dalam Kisah Sulayman Dan Balqis (Abdullah Bukhari bin Abdul Rahim).
- Wacana Kisah Al-Kahfi : Himpunan Riwayat Para Nabi Dalam Al-Quran (Dr. Ahmad Fikri Hj. Husin)
___________________________
~ Zulfikar Egar ~
Lajnah Agama
Telegram: https://t.me/gerakanpenamy
Instagram: https://www.instagram.com/gerakanpenamy
_____________________________
Comments
Post a Comment