Syaikh Muhammad Abdul Wahhab Dan Sikapnya Dalam Ilmu Hadith

OLEH : Ustaz Muhammad Izzat Al-Kutawi

Saya sudah menyemak satu-persatu hadis-hadis dalam kitab al-Tawhid sepintas lalu, jelaslah keahlian Syeikh Ibnu 'Abd al-Wahhab dalam ilmu hadis, dan riwayat-riwayat yang lemah - jikalau benar-benar lemah sekalipun - tidak seteruk dan sedahsyat yang cuba digambarkan.

Tidak seperti kebanyakan kitab akidah mereka, sina'ah hadithiyyah dalam kitab al-Tawhid amat jelas. Syeikh menukilkan banyak sekali hadis mengikut manhaj muhaddithin muta'akhkhirin yang tidak secara semborono memungut hadis dari sana sini seperti hatib al-layl lalu mencantumkannya ke dalam kitab, bahkan, beliau menyebutkan sumbernya dan kadang-kadang statusnya sekali. Sebagai misal, katanya: "Dikeluarkan oleh Abu Dawud dan lain-lain" dan "Diriwayatkan oleh al-Nasa'i dengan sanad yang jayyid" - sesuatu yang tidak mungkin dilakukan oleh orang yang tidak cakna tentang kesahihan hadis.
Dalam kes hadis yang diperselisihkan, sama ada berstatus marfu' atau mawquf, beliau boleh sahaja mengutip hadis itu secara marfu' sahaja - kerana marfu' lebih tinggi daripada mawquf - kemudian diam tanpa menjelaskan hakikatnya. Namun, tidak, beliau menyebutkan hadis secara marfu' lalu menyebutkan nukilan bahawa yang sahihnya adalah mawquf. Seni menukilkan riwayat seperti ini hanya dikuasai oleh ulama-ulama yang alim dalam ilmu hadis.
Syeikh manusia biasa, namun janganlah kita menghukum seseorang melebihi kesalahannya. Jika telusuri dengan jiwa yang lapang, kesilapan syeikh umumnya berlaku disebabkan beliau merujuk ulama-ulama hadis terdahulu, bukan kerana memandai-mandai, cuai, atau jahil. Contohnya, beliau memarfu'kan hadis دخل الجنة رجل في ذباب dan menyandarkannya kepada Imam Ahmad, sedangkan hadis tersebut diriwayatkan oleh Imam Ahmad dalam al-Zuhd sebagai mawquf kepada Salman al-Farisi RA. Puncanya, beliau merujuk Ibnu al-Qayyim yang menyatakan begitu.
Contoh lain, beliau menukilkan hadis قال موسى يا رب علمني شيئًا أذكرك yang lemah dan mengatakan, "Diriwayatkan oleh Ibnu Hibban dan al-Hakim; dan beliau mensahihkannya." Hadis ini diriwayatkan oleh Ibnu Hibban dalam Sahihnya dan sebagaimana yang dinukilkannya, disahihkan juga oleh al-Hakim tanpa dibantah oleh al-Dhahabi. Jadi, punca kesilapan ini jelas iaitu beliau merujuk tashih imam-imam hadis tersebut.
Dan adakalanya kerana terlampau cermat, beliau menukilkannya secara terus daripada ulama berkenaan. Sebagai contoh, beliau menyebutkan hadis لا يؤمن أحدكم حتى يكون هواه تبعًا لما جئت به dan kemudiannya menukilkan kalam Imam al-Nawawi yang mensahihkannya.
Sebenarnya, ceritanya begini: Hadis-hadis yang dikatakan bermasalah itu sebenarnya disahihkan oleh ulama-ulama muktabar di sisi sufi-Asha'irah sendiri dan perkara ini boleh dilihat dalam tahqiq al-Luhaydan dan lain-lain.
Akan tetapi, kerana kebencian yang meluap-luap kepada Wahabi, mereka tidak memakai penilaian ulama sendiri dan memuktamadkan penilaian al-Rayyashi yang jelas ketat. Tujuannya tidak lain, untuk menampakkan betapa banyaknya hadis lemah dalam kitab al-Tawhid yang menjadi rujukan Salafi.
Contohnya, hadis tadi, لا يؤمن أحدكم حتى يكون هواه تبعًا لما جئت به, disahihkan oleh Imam al-Nawawi dan termasuk dalam hadis 40. Saya pasti mereka juga berpendapat hadis itu sahih. Tetapi, demi memburukkan syeikh, kitab al-Tawhid, dan Salafi, mereka menggunakan penilaian al-Rayyashi yang mengatakannya munkar!
Alangkah jijiknya perbuatan mereka.
(Pendek kata, hadis-hadis dalam kitab mereka tidak palsu melainkan jika ulama bersepakat menghukumnya palsu. Tetapi hadis-hadis dalam kitab Salafi boleh dihukum lemah, munkar, dan palsu walaupun ulama mereka sendiri mensahihkannya.)
Jika berani, bandingkan manhaj hadis Syeikh Ibnu 'Abd al-Wahhab dengan ulama-ulama utama Asha'irah yang lain dalam kitab akidah yang mengandungi bilangan hadis yang sama, baru buku bertemu ruas, kepala ke kepala, dan epal dengan epal. (Saya asalnya ingin membandingkan kitab al-Tawhid dengan hasyiah syarah Jawharah al-Tawhid, tapi tidak sepadan. Walaupun "Ahli Sunnah", sedikit sekali hadis yang disebutkan.) Kita lihat siapakah sebenarnya yang jahil ilmu hadis.

Comments