OLEH: Ustaz Muhammad Izzat Al-Kutawi
Ramai orang yang menyesal dan ingin bertaubat daripada zina, namun kebimbangan tentang kesan-kesan buruk perzinaan terhadap calon pasangan, rumah tangga, dan zuriat keturunan menyukarkannya. Meskipun sudah bertaubat dengan taubat nasuha, hidup mereka terus-menerus dihantui rasa bersalah dan gelisah. Dalam hati mereka tertanya-tanya, perlukah aku berterus terang kepada pasangan?
Pada asasnya, sebagai satu dosa dan aib, zina sepatutnya disembunyikan. Islam tidak pernah mewajibkan sesiapa yang berzina mengaku di hadapan sesiapa meskipun untuk dihukum had, malah ia disuruh bertaubat dan taubatnya layak diterima oleh Allah SWT tanpa perlu menanggung sebarang aib atau hukuman. Yang penting, ia menyesal dengan sebenar-sebenar penyesalan. Inilah yang paling afdal di sisi jumhur ulama termasuk mazhab kita. Kata Ibnu Rajab al-Ḥanbalī dalam Fatḥ al-Bārī:
وجمهور العلماء على أن من تاب من ذنب فالأصل أن يستر على نفسه ولا يقر به عند أحد، بل يتوب منه فيما بينه وبين الله عز وجل.
“Dan jumhur ulama berpegang bahawa orang yang bertaubat daripada dosa, maka asalnya ia perlu menyembunyikan aib dirinya dan tidak mengakuinya di depan sesiapa, bahkan ia bertaubat daripadanya yang terjadi antara dia dengan Allah ‘azza-wa-jalla.”
Masalahnya mula timbul jika perempuan itu ingin atau sudah berkahwin, kerana yang belum berkahwin berdepan dengan persoalan seperti hukum menyembunyikan aib kehilangan dara daripada calon suami dan wanita yang sudah berkahwin berdepan dengan persoalan baharu yang lebih sukar seperti hukum istibrā’ daripada perzinaan.
Jika perzinaan itu menyebabkan kehamilan, situasi menjadi lebih mencabar kerana persoalan nasab dan hukum berkahwin – atau bersetubuh – dengan perempuan yang mengandung anak zina. Jika anak dinasabkan kepada suami, seorang perempuan, sudah besar, dan ingin berkahwin, timbul persoalan hukum pewalian pula. Jika pewalian tidak sah, timbul persoalan tentang status perkahwinan si anak pula.
Wanita-wanita ini berada dalam dilema, dan hidup dalam keadaan tertanya-tanya, adakah lebih baik berterus terang sahaja bahawa anak ini bukan anak suami yang sah supaya segala-galanya terbongkar dan selesai?
Dalam sesetengah keadaan dan berdasarkan pendapat sebahagian fuqaha, jawapannya mungkin ya - kerana misalnya, ada pendapat mengatakan lelaki tidak boleh menyetubuhi perempuan yang hamil anak zina, maka lazim pendapat tersebut perempuan wajib menahan diri daripada disetubuhi sehingga anak tersebut lahir - tetapi mengikut mazhab kita, mazhab Shāfi‘ī, semua itu tidak perlu.
Hal ini demikian kerana wanita boleh berkahwin dan bersetubuh dengan suami walaupun sedang mengandung anak zina. Anak pula dihukum sebagai anak suami melainkan suami menafikannya dengan li‘ān dan li‘ān urusan suami, bukan isteri. Jadi, sekalipun anak tersebut benar-benar terhasil daripada perzinaan, penasabannya kepada suami adalah sah di sisi syarak, dan si suami diiktiraf seperti bapa kandung. Ini selaras dengan hadis “anak adalah bagi al-firāsh (suami atau tuan)” yang masyhur.
Kata ulama-ulama mazhab Shāfi‘ī dalam masalah keharusan suami melakukan qazaf terhadap isteri yang diyakini berzina:
ثم ما لم يكن هناك ولد لا يجب على الزوج القذف بل يجوز أن يستر عليها ويفارقها بغير اللعان إن شاء ولو أمسكها لم يحرم. قلت قال أصحابنا إذا لم يكن ولد فالأولى أن لا يلاعن بل يطلقها إن كرهها والله أعلم. وإن كان هناك ولد يتيقن أنه ليس منه وجب عليه نفيه باللعان. قال البغوي وغيره فإن تيقن مع ذلك أنها زنت قذفها ولاعن وإلا فلا يقذفها لجواز أن يكون الولد من زوج قبله أو من وطء شبهة...
“Kemudian, selagi tiada anak, suami tidak wajib melakukan qazaf, bahkan harus ia menutup aib si isteri dan menceraikannya tanpa li‘ān, jika mahu. Jika ia tidak menceraikan pun tidak haram. Kataku, ‘kata aṣḥāb kita, jika tidak ada anak, maka lebih utama tidak melakukan li‘ān, sebaliknya menceraikannya jika ia membencinya,’ wallahualam. Jika ada anak yang diyakini bukan daripadanya (suami) wajib ia menafikan dengan li‘ān. Sekiranya ia yakin bersama itu (anak) bahawa isterinya berzina, ia melakukan qazaf dan li‘ān. Jika tidak, ia tidak menqazafnya kerana boleh jadi si anak daripada suami sebelumnya atau daripada persetubuhan syubhah.”
Ini bermakna kewajipan qazaf – dan seterusnya li‘ān – bagi suami pula hanyalah dalam kes anak tersebut diyakini bukan anaknya dan merupakan hasil perzinaan. Jadi, selagi tidak sampai ke tahap diyakini – atau zan yang sangat kuat – maksudnya tidak sampai ke tahap wajib dan ia boleh membiarkan anak dinasabkan kepada dirinya. Di sana terdapat ahli ilmu yang menggalakkan suami menggauli isterinya yang baru dizinai dan bertaubat semata-mata untuk mengelak syak tentang status anak. Katanya yang berpendapat haram lelaki menyetubuhi isteri yang diyakini mengandungkan anak hasil perzinaan dengan orang lain:
بل ينبغي للإنسان إذا علم أن زوجته زنت ـ والعياذ بالله ـ وتابت ، أن يجامعها في الحال ، حتى لا يبقى في قلبه شك في المستقبل هل حملت من جماع الزنا أو لم تحمل؟ فإذا جامعها في الحال ، حمل الولد على أنه للزوج وليس للزاني .
“Bahkan, seharusnya seseorang itu bilamana mengatui bahawa isterinya berzina – dan minta berlindung dengan Allah – dan bertaubat, menyetubuhinya segera, sehingga tidak tersisa di hatinya sebarang keraguan pada masa depan adakah ia hamil daripada persetubuhan zina atau tidak? Maka, apabila ia menyetubuhinya segera, ia boleh beranggapan bahawa anak daripada suami, bukan daripada penzina.”
Sebagai penutup, lelaki-lelaki yang diuji dengan wanita yang berzina dan sudah bertaubat daripadanya diharapkan supaya bertenang. Usah diungkit dosa yang sudah lalu. Belajar menerima takdir. Tuntun mereka bertaubat. Bantu mereka berubah. Tutup aib mereka. Jangan sampai mereka terjerumus kembali ke lembah dosa. Jika tidak mampu menerima mereka walaupun kesalahan sudah lama berlalu dan mereka pun sudah bertaubat, ceraikan mereka secara baik. Perempuan pula, jika suami tahu dan memaafkan, belajarlah berterima kasih dengan menggandakan kasih sayang, kesetiaan, dan layanan kepadanya.
Wallahualam.

Comments
Post a Comment