Saya Muslim, Tidak Sambut Krismas

 OLEH: Ustaz Muhammad Izzat Al-Kutawi

Sedari zaman tadika, saya diasuh untuk tidak meraikan Krismas. Kata ibu, ini bukan hari raya kita. Setelah dewasa, saya terkejut kerana rupa-rupanya tidak sedikit, bahkan ramai ahli agama masa kini yang membenarkan umat Islam mengucapkan selamat sempena Krismas, (malah mungkin ada yang membolehkan kita hadir dalam majlis sambutan Krismas).

Setelah dewasa, saya terkejut setelah membaca artikel jurnal seorang pensyarah dan penulis prolifik dari Terengganu yang bukunya, “Ulama Pewaris Nabi” menemani usia remaja saya. Beliau merājiḥkan pendapat tokoh kegemarannya, Syeikh Yūsuf al-Qaraḍāwī yang mengharuskan ucapan sempena Krismas dan menolak pendapat Syeikh ‘Abd al-‘Azīz b. Bāz (atau Syeikh Ibnu al-‘Uthaymīn) yang mengharamkan. (Jurnal itu kemudiannya saya sampaikan kepada Maulana Asri kerana ada artikel tentang Ibnu Isḥāq yang saya ingin beliau ulas.)

Selang beberapa tahun selepas itu, seorang mufti yang saya segani mengeluarkan kenyataan serupa, dan agak mengejutkan kerana sebenarnya keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan sudah lama memutuskan bahawa, “memberi ucapan tahniah dan selamat... kepada orang bukan Muslim sempena dengan perayaan agama mereka adalah harus, dengan syarat ucapan itu tidak mengiktiraf, memuji, atau memuliakan agama bukan Muslim serta tidak menggunakan sebarang simbol atau lambang keagamaan mereka dalam kiriman ucapan tersebut" pada tahun 2007.

Saya ingat semua ini kerja “Kaum Muda” atau orang-orang yang semanhaj dengan al-Qaraḍāwī, tetapi tidak. Habib ‘Alī al-Jifrī, tokoh aliran sufi pun turut sama membenarkan, malah beliau sendiri mencontohkannya. Beliau juga menulis makalah pendek untuk menyatakan alasan kepada pendapatnya. “Ya, saya mengucapkan tahniah kepada mereka (kaum Kristian) sempena hari lahir al-Masīḥ AS tanpa mengambil kira tarikh kelahiran baginda (yang sebenar)” ujarnya.

Syeikh ‘Alī Jum‘ah, mahaguru pelajar-pelajar al-Azhar juga bersama mereka. Katanya – seperti yang dilaporkan dalam sebuah portal Arab – berdalilkan ayat ke-33 surah Maryam, “... maka, hari lahir al-Masīḥ ‘Īsā AS di dalamnya ada salam (kesejahteraan). Jadi, mengapa kita tidak menyambutnya sebagaimana Rasul ṣallā Allāh ‘alay-hi wa-sallam menyambut hari Allah SWT menyelamatkan Sayidina Mūsā?”

Kalau ini kata-kata orang-orang yang dinisbahkan kepada ilmu, apakah yang harus dikatakan apabila umat Islam yang awam berbondong-bondong mengucapkan “selamat hari natal” dan sebahagian daripada mereka turut merayakannya? Saya pernah bersolat Jumaat di Masjid Muhammadi pada musim Krismas. Semasa sedang solat, ada telefon berdering dengan nada lagu “Jingle Bell”. Bayangkan. 

Benarlah sabda junjungan besar Nabi kita, kita akan mengikut jejak langkah Yahudi dan Nasrani sampai ke lubang biawak sekalipun setia kita turuti.



[Gerakan PENA Malaysia]


Comments