Syahwat Takfir

OLEH: Dr Idris Sulaiman

Takfir bererti menghukum kafir seseorang Muslim.
‘Wahai kafir!’... ‘wahai musyrik!’

Ini adalah antara ucapan takfir yang jelas jika diucapkan kepada Muslim.
Implikasi takfir adalah besar kerana orangnya akan hilang hak-haknya sebagai Muslim dengan tidak diberi salam, tidak boleh jadi wali pernikahan anaknya, isteri Muslimnya tercerai, jenazahnya tidak wajib dimandikan, tidak disolatkan, tidak didoakan keampunan dan rahmat serta tidak dikuburkan dalam perkuburan Islam manakala harta pusakanya tidak boleh diwarisi oleh saudara Muslimnya.

Kerana itu syariat memandang berat perkara ini dan menegaskan bahawa hukum takfir tidak boleh dilemparkan sewenang-wenangnya ke atas individu Muslim secara membuta tuli tanpa soal periksa apatah lagi jika dilemparkan secara pukal ke atas sekumpulan manusia, ramai atau sedikit.

Sabda Nabi ﷺ:
أَيَّمَا رَجُلٍ قَالَ لأخِيهِ: يا كَافِر، فَقَدْ بَاءَ بِهَا أحَدَهُمَا إنْ كَانَ كَمَا قَالَ، وَإلا رَجَعَتْ عَلَيْه
“Barang siapa berkata kepada saudaranya ‘wahai kafir’ maka pengkafiran itu akan pergi kepada salah seorang daripada mereka; sama ada ucapannya itu benar atau ia akan kembali kepadanya.”
[Sahih. Riwayat Bukhari dan Muslim]

Terdapat beberapa garis panduan yang harus dipenuhi sebelum hukuman takfir dapat dijatuhkan ke atas seseorang individu secara benar iaitu:

1. Adanya petunjuk dalil daripada Al-Quran atau al-Sunah yang menunjukkan bahawa perbuatan individu berkenaan benar-benar kufur;

2. Hukuman takfir benar-benar telah jatuh ke atas individu berkenaan dengan semua syarat dipatuhi dan tiada sebarang halangan untuk hukum takfir itu dijatuhkan ke atasnya.


Antara syarat-syarat yang perlu diambil kira ialah:

1. Individu berkenaan tahu, bukan jahil tentang larangan syariat ke atas perbuatan kufur yang dilakukannya.
Contohnya dalam peristiwa beberapa orang sahabat Nabi ﷺ meminta agar baginda ﷺ memilih pokok untuk mereka jadikan sebagai tempat mengambil ‘tuah’ sebagaimana yang dilakukan oleh orang-orang kafir (Sunan al-Tirmizi, no. 2180) dan perbuatan Muaz bin Jabal sujud kepada Rasulullah ﷺ sejurus beliau pulang dari negeri Syam (Sunan Ibnu Majah, no. 1853).

Sekalipun permintaan dan perbuatan mereka itu adalah kufur tetapi mereka tidak dikafirkan oleh Rasulullah ﷺ kerana kejahilan mereka mengenai perbuatan mereka itu.

2. Hendaklah individu berkenaan sedar, bukan tidak sedar akan perbuatannya.
Adapun jika orangnya melakukan sesuatu perbuatan kufur secara tidak sedar contohnya kerana terlalu gembira atau sedih maka dia dimaafkan.

Sebagaimana dalam peristiwa si lelaki yang menemui semula haiwan kenderaannya yang hilang bersama segala bekalan makanannya di tengah padang pasir yang kering kontang lalu dia berkata “Ya Allah, Engkaulah hambaku dan akulah tuhanMu!” “Dia tersalah cakap kerana terlalu gembira” kata Nabi ﷺ.
[Sahih Muslim, no. 2744]

3. Hendaklah orangnya dalam keadaan rela, bukan dipaksa.
Adapun sekiranya seseorang itu melakukan sesuatu perbuatan kufur kerana diancam bunuh maka dia dimaafkan.

Firman Allah ﷻ “Sesiapa yang kufur kepada Allah sesudah dia beriman (maka baginya kemurkaan dan azab Allah) kecuali orang yang dipaksa (melakukan kufur) sedangkan hatinya tenang tenteram dengan iman.”
[Al-Quran, al-Nahl, 16:106]

4. Tiada syubhah atau takwilan;
Perlu dipastikan orangnya tiada syubhah atau takwilan tertentu yang menurutnya ialah dalil yang benar.
Seperti mana jika dia tidak memahami hujah syarak mengikut fahaman yang benar kerana syubhah-syubhah tertentu yang didukungnya.
[Majmuk Fatawa Ibnu Uthaimin, 2/134]

Kata Ibnu Taimiyah:
“Imam Ahmad mendoakan kerahmatan buat mereka (para khalifah yang terpengaruh dengan fahaman sesat Jahmiah yang mengatakan Al-Quran makhluk) di samping mendoakan keampunan untuk mereka kerana beliau tahu bahawa mereka tidak sedar akan pendustaan mereka terhadap Rasulullah ﷺ. Tambah pula mereka tidak mengingkari risalah yang dibawa oleh baginda ﷺ dan mereka tersalah dalam takwilan mereka itu gara-gara bertaklid kepada orang-orang yang berfahaman sedemikian.”
[Majmuk Fatawa Ibnu Taimiyah, 23/349]

Inilah pendirian para ulama Salafi zaman berzaman termasuklah Syeikhul Islam Ibnu Taimiyah, Muhammad bin Abdul Wahab, Ibnu Baz, al-Albani, Ibnu Uthaimin, Saleh al-Fauzan dan yang lain.
Adapun golongan yang melakukan takfir menurut hawa nafsu syahwat mereka maka perbuatan mereka itu salah, menyimpang daripada jalan agama yang benar, jalan Salaf al-Soleh.




CATATAN

Manhaj Salaf ialah pertengahan antara golongan takfiri pelampau seperti Syiah Rafidah, Khawarij, Muktazilah, Ikhwani, Sururi, al-Qaeda, ISIS dan DAESH yang memilih jalan mengkafirkan para Sahabat Nabi ﷺ, pemerintah Islam dan golongan yang tidak sehaluan dengan mereka, di samping golongan yang bersikap sambil lewa mengambil mudah soal agama sehingga terjebak dalam perkara-perkara kufur yang jelas seperti menafikan kewajipan solat fardu lima waktu, puasa, zakat dan menafikan perkara halal haram kerana pengaruh fahaman Murjiah, Liberal, Modernis, Pluralis, pelampau sufi tarekat kuburi dan lain-lain.

[Gerakan PENA Malaysia]
Dapatkan Himpunan Risalah Aqidah yang ditulis oleh Sheikh Muhammad bin Abdul Wahab. Risalah-risalah beliau dihimpun sebagai sebuah kitab dan diterjemahkan ke dalam Bahasa Melayu (Malaysia).
Boleh dapatkan  KLIK DI SINI

Comments