Tanggungjawab Suami Yang Isteri Perlu Tahu!

OLEH: Ustaz Muhammad Izzat Al-Kutawi






Perempuan memang suka membaca fakta-fakta sebegini, apatah lagi jika ustaz bergambar sambil memegang penyapu atau mencuci pinggan. Alangkah bahagianya hidup dapat suami mengikut "hukum Islam" dan acuan "keluarga sunnah" seperti ini, fikir mereka.

Tetapi, saya tidak tahu, "Islam" manakah dan "sunnah" siapakah yang dimaksudkan? Jika Islam yang diajar oleh Rasulullah SAW, baginda sendiri menyebut, "dan wanita menjaga rumah suaminya, dan bertanggungjawab di atas jagaannya."

Jika sunnah Rasulullah, dalam Ṣaḥīḥ Muslim, Rasulullah sendiri bertanya ‘Ā’ishah RA kalau-kalau ada makanan yang tersedia di rumah untuk dimakan. Kerana tiada makanan, baginda pun berkata, "kalau begitu, saya berpuasa."

Anak baginda sendiri, Fāṭīmah bt. Muḥammad yang juga isteri Saidina ‘Alī RA sampai kasar tangannya menguli tepung di rumah. Kerana penat, ‘Alī menyuruh Fāṭīmah meminta seorang pembantu daripada ayahnya, Rasulullah.

Keluarga Islam yang sebenar tidaklah acah-acah "sweet" sampai segala-galanya dipikul di bahu suami. Tidak juga zalim sampai menyeksa isteri.

Keluarga sunnah tertegak di atas realiti, bukan hidup dalam khayalan sampai si suami yang keluar bekerja mencari nafkah, tetapi dia jugalah yang perlu menyusukan dan menjaga anak.


Suka untuk diingatkan bahawa sanggahan saya terhadap orang yang mengatakan suami bertanggungjawab melakukan kerja rumah adalah berdasarkan situasi yang asal iaitu suami bekerja mencari nafkah, sementara isteri tidak bekerja dan sekadar duduk di rumah.

Adapun jika suami isteri sama-sama keluar, ini masalah lain. Dan amat dikesalkan apabila isteri yang keluar bekerja untuk membantu meringankan beban suami langsung tidak dibantu melakukan kerja-kerja rumah, bahkan tetap dibebankan dengan kerja-kerja yang dilakukan oleh suri rumah sepenuh masa. Ini tidak syak satu kezaliman yang tidak diredai syarak.

Berbalik kepada isu tadi – suami bekerja dan isteri tidak bekerja –, amalan Rasulullah SAW dan para sahabat sendiri sudah cukup untuk membuktikan bahawa rumah tangga yang ideal di sisi Islam tidaklah seperti yang diangau-angaukan oleh sesetengah orang. Dan sebagai tambahan, saya sertakan di sini pendapat Imam Ibnu Taymiyyah dalam masalah ini:

“Ulama berselisih, adakah isteri wajib melakukan kerja rumah untuk suami seperti menghamparkan tempat duduk; mengambil makanan, minuman, dan roti; menguli gandum; memberi makan kepada hamba-hamba dan ternakan kepunyaan suami seperti rumput ternakan dan sebagainya?

Ada antara mereka yang mengatakan, isteri tidak wajib melakukan kerja rumah. Ini pendapat yang lemah, selemah pendapat yang mengatakan suami tidak wajib bergaul dan menyetubuhi isteri, kerana ini bukanlah pergaulan dengan suami secara makruf. Bahkan, peneman dalam musafir – yang sama seperti seseorang dan temannya di rumah – jika tidak membantu menunaikan sesuatu keperluan, tidaklah dikira bergaul secara makruf.

Dan dikatakan – dan itulah pendapat yang benar – wajib melakukan kerja rumah, kerana suami tuan kepada isteri menurut al-Quran dan isteri adalah tawanan di sisi suami mengikut sunnah Rasulullah SAW. Tawanan dan hamba perlu melakukan kerja. Dan, kerana itulah yang makruf.

Kemudian, antara mereka ada yang mengatakan, isteri wajib melakukan kerja yang ringan dan ada yang mengatakan wajib melakukan kerja yang makruf, dan itulah yang tepat. Jadi, ia perlu melakukan kerja yang makruf yang sesuai untuk dilakukan oleh orang seperti dirinya kepada orang seperti suaminya. Dan ia berbeza-beza mengikut keadaan. Yang dilakukan oleh wanita kampung tidak sama seperti yang dilakukan oleh wanita bandar, dan yang dilakukan oleh wanita yang kuat tidak seperti yang dilakukan oleh wanita yang lemah.”


___________________________
~ Ustaz Muhammad Izzat Al-Kutawi ~
Unit Asatizah
_____________________________

Comments