Kemungkaran Lagu Nissa Sabyan

OLEH: Ustaz Muhammad Izzat Al-Kutawi

Tiga kemungkaran lagu Nissa Sabyan dan seumpamanya menurut mazhab Shafi'i:

Pertama, penggunaan muzik. Ulama mazhab Shafi'i hanya membenarkan penggunaan kompang dan sejenisnya. Sebahagiannya secara mutlak, dan sebahagiannya mengehadkannya pada waktu tertentu. Selain itu, hukumnya dilarang.

Kedua, dinyanyikan wanita. Hukumnya asalnya diperselisihkan sama ada makruh, sangat makruh, atau haram, tetapi hukumnya haram secara ittifak jika menimbulkan atau dibimbangi menimbulkan fitnah.

Jika nyanyian dengan suara sebegini masih dikatakan tidak menimbulkan fitnah, entah nyanyian gadis mana lagi yang boleh dikatakan menimbulkan fitnah, apatah lagi diperdengarkan kepada semua lelaki termasuk yang fasiq.



Ketiga, penyanyi menayangkan dirinya kepada umum. Menurut jumhur ulama mazhab Shafi'i bermula dengan Imam al-Juwayni dan al-Ghazali, mendedahkan muka adalah dilarang.

Yang mengharuskannya pula sama ada melarang lelaki melihatnya kecuali jika perlu, atau mengharuskannya selagi aman daripada fitnah. Menurut Ibnu Hajar, walaupun tidak wajib menutup muka, wanita dilarang sengaja memperlihatkannya kepada lelaki.

Dan satu kemungkaran tambahan, iaitu lagu yang disampaikan berunsur agama sekali gus mengaitkan kemungkaran yang dilakukan dengan agama, sampaikan orang ramai yang mendengarnya bukan sahaja tidak berasa bersalah, malah menyangka diri mereka sedang melakukan amalan kebaikan dan mendapat pahala.

___________________________
~ Ustaz Muhammad Izzat Al-Kutawi ~
Unit Asatizah
_____________________________

Comments