ASAL IBADAH ITU TIDAK DISYARIATKAN KECUALI ADA DALIL

 



Saya rasa dah beberapa kali tulis bab inj. Namun saya tuliskan lagi kerana rasa perlu dijelaskan lagi. Sebagai pemahaman, setiap ibadah itu tidak disyariatkan kecuali ada dalil. Maksudnya, semua ibadah itu tiada kecuali sebab ada dalil menyuruh ibadah itu.

Jika ibadah tak memerlukan dalil, maka semua orang boleh mencipta ibadah sendiri. Dengan alasan "tiada dalil larangan". Ini ialah salah faham yang fatal.

Contoh: Kenapa kita tidak selawat ke atas nabi Isa? Kan tiada dalil larangan buat macam tu. Tapi kenapa tak buat? Kerana tiada dalil yang mencontohkan hal itu.

Kenapa kita tidak solat sunat 2 rakaat setiap hari jadi dan jadikan dia "Solat Sunat Hari Jadi"? Sebab tiada dalil yang mencontohkan atau menyuruh hal itu. Tapi tiada dalil larangan, boleh lah. TAK BOLEH.

Kenapa tak boleh?

"Apakah mereka mempunyai sekutu-sekutu yang mensyariatkan untuk mereka dalam agama sesuatu yang tidak diizinkan Allah?" [Surah al-Syura: 21]

Ayat ini mencela orang yang mengada-adakan amalan agama tanpa keizinan Allah, menunjukkan bahawa pensyariatan ibadah adalah hak Allah semata-mata.

Juga dalam Surah Al-Maidah: 3
"Pada hari ini Aku telah sempurnakan bagi kamu agama kamu..."

Maknanya syariat ini telah sempurna. Apa yang Allah wahyukan ini telah sempurna. Maka segala perkara baharu dalam ibadah adalah tercela. Kerana apa yang telah ada dalam wahyu Al-Quran dan hadith telah sempurna.

Hal ini dikuatkan lagi dengan hadith muttafaqunalaih,
"Sesiapa yang mengada-adakan dalam urusan kami ini sesuatu yang bukan daripadanya, maka ia tertolak."

Dan sebuah lagi hadith riwayat Muslim,
"Sesiapa yang melakukan suatu amalan yang tidak ada perintah kami padanya, maka ia tertolak."

Malah yang perlu ialah kita melakukan ibadah sesuai dengan contohnya dari Rasulullah salallahu alaihi wasalam sebagaimana dalil dari Riwayat Abu Daud,
"Hendaklah kamu berpegang teguh dengan sunnahku..."

Maka wujudlah 3 steps pemahaman ini iaitu,
1. Allah sahaja yang berhak mensyariatkan agama.
2. Rasulullah telah menerangkan cara ibadah.
3. Amalan agama yang tiada sandaran syarak adalah tertolak.

Adapun beberapa contoh para sahabat buat ibadah yang nabi tak sebut, kemudian nabi membenarkan. Contoh Bilal bin Rabah yang buat Solat Sunat Wudhu, Khubayb yang solat sunat dua rakaat sebelum dihukum bunuh. Semua contoh ini dibuat ketika nabi masih hidup. Ketika nabi mengiyakan perbuatan mereka, ia menjadi dalil.

Sementara pada waktu lain, Rasulullah melarang seperti sahabat yang nak puasa wisal. Ada sahabat yang nak ikat tali dalam masjid supaya dapat tampung dia qiamullail dan ada lagi ibadah lain. Menunjukkan para sahabat pun tak sewenang-wenangnya boleh cipta ibadah lain.

Apatah lagi selepas Rasulullah wafat, siapa lagi yang akan "mengiyakan" dan menidakkan ibadah baharu ini? Sedangkan rujukan kita ialah baginda Rasulullah. Maka tinggal lah dalil-dalil dari Al-Quran dan Hadith. Maka JANGAN MALAS bertanya tentang dalil dan JANGAN MALU tentangnya.

Ada juga yang berhujah dengan pengumpulan Al-Quran dan solat terawih berjemaah yang kononnya bukan dari perintah Rasulullah. Sedangkan zaman Rasulullah hidup lagi memang sudah disyariatkan solat terawih berjemaah dan mushaf-mushaf Al-Quran ditulis.

Malah apa sahaja contoh lain yang cuba diketengahkan, itu pastinya ada jawapan yang sejajar dengan dalil-dalil yang telah diberikan.

Mungkin ada yang membaca ini berasa pelik "eh hari tu ustaz hat tu kata boleh, hat ni kata tak boleh. Mana satu ni?"

Pastinya apabila berlaku percanggahan seperti ini, penilaian kita kembali kepada Al-Quran dan Sunnah.

Hadith muttafaqunalaih menyebutkan,
"Barang siapa yang berpaling daripada sunnahku, maka dia bukan daripada golonganku."

“…Kemudian jika kamu berlainan pendapat tentang sesuatu, maka kembalikanlah ia kepada Allah (iaitu al-Quran) dan Rasul (Sunnahnya), jika kamu benar-benar beriman kepada Allah dan hari Kiamat. Yang demikian itu lebih utama (bagimu) dan lebih baik kesudahannya” (Surah an-Nisa: 59)

Wabillahutaufiq

Taufiq Tuah
07.06.26 | 21.12.47 


Comments