Jangan 'Upload' Gambar Proses Sembelihan Korban?

OLEH: Zulfikar Egar



Saban tahun. Dah semakin menjadi-jadi gesaan agar jangan disebar gambar suasana ibadat korban di media sosial atas alasan "Rahmah".

Sungguh lemah orang Islam andai menuruti gesaan ini. Ibadat korban mempunyainya hikmah tersendiri.

Kerana ia adalah sebahagian daripada syiar bagi Islam yang sepatutnya dibudayakan dalam kehidupan setiap Muslim.

Lebih-lebih lagi ibadat korban berkait rapat dengan perayaan kaum muslimin. Hari umat Islam bergembira.

Ketika Rasulullah S.A.W tiba di Madinah, penduduk Madinah telah menyambut dua hari raya.

Maka Rasulullah SAW telah bersabda;

''Sesungguhnya Allah telah menggantikan kepada kamu dua hari yang terbaik iaitu Hari Raya Aidilfitri dan Hari Raya Aidiladha.''

Bila sebut "hari raya". Ia bermaksud hari untuk bergembira. Bila nak bergembira, maka pasti pelbagai perbuatan dilakukan untuk menzahirkan kegembiraan termasuklah bergambar dan menyebarnya di media sosial.

Media sosial yang kini seperti sudah menjadi medium kemestian setiap orang, adalah wajar digunakan bagi menunjukkan ukhwah dan suasana gembira. Contohnya seperti kegembiraan menyambut hari raya haji atau korban ini yang sinonim dengan ibadat korban.

Melalui ibadat korban juga hubungan ukhuwah sesama Muslim dapat diperkukuhkan sepanjang masa.

Kebiasaannya yang kita dapat lihat dalam aktiviti ibadat korban ini. Seluruh penduduk akan bekerjasama, bergotong-royong membantu urusan penyembelihan, melapah dan akhirnya mengagihkan daging korban.

Salahkah suasana ini dirakam dan disebar-sebarkan bagi menunjukkan akan kecintaan sesama kita sebagai kaum muslimin? Walhal itu adalah syiar bagi Islam. Perayaan kaum muslimin.

Semua orang tahu akan ibadat korban merupakan sunnah yang dilakukan oleh Nabi Ibrahim A.S dan diteruskan baginda Nabi Muhammad SAW.

Sesungguhnya Allah mensyariatkan ke atas Nabi Ibrahim A.S ketika Allah menebus anak Nabi Ibrahim A.S dengan seekor binatang sembelihan yang besar.

Dalam hadis riwayat Zaid bin Arqam R.A, dikatakan kepada Rasulullah S.A.W:

''Apa itu korban?.'' Baginda bersabda, ''Ia sunnah bapa kamu, iaitu Nabi Ibrahim,'' Beliau bertanya lagi, ''Apakah padanya kebaikan kepada kami wahai Rasulullah?'' Baginda bersabda,''Setiap helai rambut adalah pahala.'' Katanya lagi, ''Bagaimana pula dengan bulunya?'' Baginda bersabda, ''Setiap helaian rambut daripada bulunya ialah pahala.''
[Riwayat Imam Ahmad, al-Baihaqi di dalam Sunan al-Kubra,Ibnu Majah]

Lainlah andai gesaan itu melarang berswafoto sambil tersenyum disaat haiwan korban ingin disembelih atau menyakiti haiwan berkenaan.

Itu memang tak patutlah. Ini kerana kita kena menunjukan ihsan terhadap haiwan sembelihan.

Di antara cara dan sikap ihsan yang disunnahkan ketika melaksanakan penyembelihan haiwan adalah:

1. Tidak menajamkan pisau di hadapan haiwan yang akan disembelih.

2. Tidak menyembelih haiwan di hadapan haiwan-haiwan lain yang akan disembelih.

3. Tidak membawa haiwan ke tempat sembelihan dengan cara yang kasar. (Ya, ini masih ramai yang buat, nasihat perlu dilakukan agar jangan berbuat begini).

4. Memilih cara paling mudah dan yang paling kurang menimbulkan rasa sakit. (Seperti dengan menajamkan pisau dan mempercepatkan pergerakan pisau ketika menyembelih).

Ini berdasarkan sabda baginda Nabi S.A.W;

“Sesungguhnya Allah telah mewajibkan supaya sentiasa bersikap ihsan (baik) terhadap segala sesuatu. Apabila kamu hendak membunuh, maka bunuhlah dengan cara yang paling baik. Apabila kamu hendak menyembelih haiwan, maka sembelihlah dengan cara yang paling baik iaitu dengan menajamkan alat sembelihan dan hendaklah meletakkan haiwan dalam keadaan yang selesa.” 
[HR. Muslim]

Kesimpulannya. Kita umat Islam sering diminta untuk memberi penghormatan kepada kebebasan beragama kaum lain. Dan ya, memang kita kaum muslimin selama ini pun tidak mengganggu pun apatah mengecam perayaan agama lain.

Walaupun bila perayaan-perayaan kaum lain ini tiba, pasti akan berlakunya kesesakan lalu lintas. Tapi kaum muslimin berlapang dada dan senyap sahaja atas dasar hormat pada penganut agama lain di Malaysia.

Lihatlah. Betapa tingginya toleransi orang Islam di Malaysia. Justeru itu masyarakat bukan Islam di negara ini, hormatlah juga perayaan kaum muslimin. Kami tak minta banyak, itu sahaja.

Dan ingatlah Malaysia adalah negara Islam. Jadi berpijaklah pada bumi yang nyata. Sekian.

Wallahualam.

___________________________
~Zulfikar Egar~
Lajnah Agama
_____________________________

Comments