Siapa Penggerak Utama Memerangi Nabi Di Perang Uhud?

OLEH: Zulfikar Egar



Ikrimah bin Abu Jahal, Safwan bin Umayyah, Abu Sufyan bin Harb dan juga Abdullah bin Abu Rabi'ah. Merupakan antara penggerak utama dalam usaha untuk mengumpul semula kekuatan bagi memerangi Rasulullah S.A.W dan kaum muslimin di Madinah.

Ini adalah rentetan daripada kekalahan kaum Quraisy Mekah semasa di perang Badar. Di mana daripada peristiwa kekalahan itu, telah menimbulkan kemarahan orang Mekah di atas kehilangan ramai tokoh-tokoh mereka.

Apa yang dilakukan oleh penggerak-penggerak utama ini adalah dengan berusaha mengumpul dana bagi tujuan untuk memulakan peperangan baru. Mereka ini juga bersungguh- sungguh membakar semangat orang Mekah dalam usaha menggumpulkan dana.

Langkah awal yang mereka lakukan dalam kempen perang ini adalah dengan mengumpulkan semua keuntungan yang diperolehi daripada kafilah dagang Abu Sufyan sebelum itu.

Untuk pengetahuan, kafilah dagang Abu Sufyan inilah punca utama tercetusnya perang Badar yang lalu yang sekaligus diakhiri dengan kekalahan yang teruk di pihak mereka.

Jumlah kesemua harta dagangan yang dikumpulkan itu adalah 1000 ekor unta dan 50 ribu dinar. Orang yang memiliki saham daripada keuntungan kafilah dagang tersebut turut diseru dan dibakar semangat mereka agar memberi sumbangan dana untuk memerangi Rasulullah S.A.W dan kaum muslimin.

Langkah kedua pula, Abu Sufyan turut membuka peluang kepada orang Mekah yang lain bagi mereka memberi sumbangan dana untuk mengisytiharkan perang dengan Madinah.

Bukan sahaja dalam bentuk mengajak orang Mekah memberi sumbangan dana untuk menjayakan kempen perang tersebut. Diupah juga penyair-penyair bagi membakar semangat penduduk Mekah supaya berkobar-kobar semangat mereka agar kempen perang ini berjaya.

Contohnya seperti yang dilakukan oleh Safwan bin Umayyah yang telah mengupah Abu 'Izzah al-Jumhi dan Musafi' bin Abdul Manaf al-Jumhi membacakan syair pembakar semangat untuk memerangi Rasulullah S.A.W.

Kesungguhan bagi menjayakan kempen perang ini memang tidak boleh dinafikan di mana Safwan bin Umayyah itu sendiri telah berjanji kepada Abu 'Izzah sang penyair tersebut bahawa andai Abu 'Izzah ini selamat pulang daripada perang Uhud nanti, dia akan diberi sejumlah harta yang banyak. Andai dia terkorban, maka Safwan bin Umayyah berjanji akan membayar keperluan menyara anak perempuannya kelak.

Itu adalah antara pelbagai cara yang digunakan bagi membangkitkan kebencian orang Mekah kepada Rasulullah S.A.W.

Hasilnya, selepas selama setahun berusaha keras bagi menjayakan kempen perang ini. Akhirnya orang Mekah telah berjaya mengumpulkan kekuatan tentera yang lebih kuat daripada jumlah kekuatan di masa perang Badar yang lalu.

Berikut merupakan jumlah tentera Quraiys dan panglima yang akan mengetuai ketenteraan di perang Uhud nanti.

i) Pemimpin perang : Abu Sufyan bin Harb
ii) Pemimpin tentera berkuda : Khalid bin al-Walid.
iii) Pembawa Panji : Bani Abd al-Dar
iv) Pejuang : 3000 orang Quraiys, sekutunya dan orang Habsyi berkulit hitam.
v) Tentera mampu alih : 3000 ekor unta, 200 tentera berkuda dan 700 buah baju besi.
vi) Kaum wanita : Sebagai pembakar semangat tentera Quraiys untuk berperang sepenuh hati.

Natijahnya, telah tercatat dalam sejarah yang sungguh memeritkan bagi kaum muslimin di mana tentera muslimin telah dikalahkan di perang Uhud. Hatta baginda Rasulullah S.A.W sendiri telah tercedera dalam peperangan tersebut.

Wallahualam.


*Rujukan:
- Bagaimana Perang Uhud Tercetus? (Ustaz Abdullah Bukhari Abdul Rahim)


___________________________
~Zulfikar Egar~
Lajnah Agama
_____________________________

Comments