Haram Jadah atau Haram Zadah?

OLEH: Ustaz Zulfadhli Bin Mohd Radzi


Kerap kali kita mendengar ungkapan "haram jadah" sebagai ungkapan makian yang dilontarkan kepada seseorang. Ada dalam kalangan kita yang tahu maksud di sebaliknya dan mungkin juga ada yang tidak mengetahuinya. Sebenarnya, ungkapan tersebut begitu sinonim dalam percakapan kita hingga ia dimasukkan dalam Kamus Dewan yang dijadikan rujukan dalam Bahasa Melayu.

"Haram jadah" terdiri daripada dua perkataan iaitu "haram" dan "jadah". Perkataan "haram" sudah maklum bagi sesiapa yang fasih Bahasa Melayu kerana kerap kali digunakan dalam pertuturan. Jadi, apakah pula maksud "jadah"?

Sebenarnya, perkataan "jadah" adalah berasal daripada perkataan Urdu yang bermasuk "anak" dan lebih kerap digunakan untuk anak lelaki. Perkataan "jadah" asalnya adalah daripada perkataan "zadah" atau زادہ yang membawa maksud seseorang yang dilahirkan (جنا ہوا) atau anak lelaki (بیٹا/لڑکا) sebagaimana tertulis dalam gambar. (Urdu Lughat oleh Sa'id Shaikh, hal. 622, cet. 2007. Islamik Book Service, India) Sebahagian guru menyatakan bahawa akibat "slang" sebahagian masyarakat India, menjadikan sebutan "zadah" menjadi "jadah".

Oleh kerana itu, "haram jadah" bermaksud "anak haram", sesuai sebagaimama definisi yang disebutkan oleh Kamus Dewan sebagai "anak haram" atau "anak luar nikah" atau dalam Bahasa Arabnya disebut ابن الحرام.

Berhubung, hukum menyebutkan perkataan seumpama itu kepada seseorang, adakah dianggap sebagai qazaf atau tuduhan zina terhadap ibunya, sebahagian ulama memasukkannya dalam kategori qazaf secara kinayah, bukannya qazaf secara sarih.

Apapun, seseorang muslim sepatutnya menjauhi daripada melemparkan ungkapan atau perkataan seumpama itu kepada orang lain. Wallahua'lam.


___________________________
Ustaz Zulfahdli Bin Mohd Razi
_____________________________

Comments