Semangat Toleransi Dengan Kekufuran - Mengucapkan Merry Christmas

OLEH: Ustaz Idris Sulaiman

Sebahagian mahu umat ISLAM bersikap toleransi, memaafkan, membiarkan, jangan ditegur dan jangan dilarang perkara-perkara maksiat dan mungkar.

Kita perlu menzahirkan keterbukaan kita, kata mereka.

Atas sikap penerimaan, kebersamaan dan kesatuan.

Jangan terlalu keras, syadid, jumud, sempit fikiran, segala apa semua tidak boleh. Haram, haram, haram, kata mereka.

Demikian juga dengan perayaan orang kafir. Tiada masalah untuk mengucapkan ‘tahniah’ dan ‘selamat’ sempena perayaan mereka.

Tahniah maksudnya ucapan selamat.

Selamat maksudnya terpelihara atau terhindar daripada bencana, terlepas daripada bahaya.

Kata mereka:

‘Tahniah sempena KELAHIRAN ANAK TUHAN’

‘Selamat menyambut ulang tahun KELAHIRAN ANAK TUHAN’

Lalu bersuaralah pihak-pihak yang mahu dilihat juara dan hero penyelamat daripada kalangan ilmuwan dan pengkaji yang membolehkan buat masyarakat ucapan-ucapan di atas.

“TIADA MASALAH mengucapkan ‘TAHNIAH’ dan ‘SELAMAT’ sempena perayaan orang KAFIR.

‘Asalkan hati kita tidak reda dan kita ingkar dalam hati”.

Demikian sebahagian mereka mungkin berkata.

Lalu bersoraklah minion-minion, masyarakat kebanyakan yang sememangnya sebolehnya mahu bebas daripada sebarang keterikatan dan sekatan, dan berkatalah pemimpin KUFFAR:

“Inilah orang kita”.

Sedangkan hal yang tidak diredai ALLAH sewajarnya diingkari atau paling tidak dijauhi. Bukan diucapkan tahniah ke atasnya.

Berkata sesuatu yang berlainan dengan isi hati ialah tanda MUNAFIK.

Sekadar ingkar dalam hati pula ialah SELEMAH-LEMAH IMAN, sebagaimana sabda nabi.

Subhanallah! Nauzubillah! KeampunanMU ya ALLAH...

Janganlah engkau timpakan azabmu kerana perbuatan-perbuatan orang-orang yang jahil daripada kalangan kami.

ALLAH berfirman:

تَكَادُ السَّمَاوَاتُ يَتَفَطَّرْنَ مِنْهُ وَتَنْشَقُّ الْأَرْضُ وَتَخِرُّ الْجِبَالُ هَدًّا . أَنْ دَعَوْا لِلرَّحْمَنِ وَلَدًا . وَمَا يَنْبَغِي لِلرَّحْمَنِ أَنْ يَتَّخِذَ وَلَدًا . إِنْ كُلُّ مَنْ فِي السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ إِلَّا آتِي الرَّحْمَنِ عَبْدًا .

Maksudnya:

“LANGIT-LANGIT HAMPIR SAHAJA MELEDAK, BUMI pula HAMPIR-HAMPIR TERBELAH, manakala GUNUNG-GANANG HAMPIR-HAMPIR RUNTUH RANAP.

Kerana mereka mendakwa ALLAH MEMPUNYAI ANAK.

Padahal TIADALAH LAYAK bagi ALLAH UNTUK MEMPUNYAI ANAK.

Tidak ada sesiapapun di langit dan di bumi melainkan dia akan datang menghadap ALLAH sebagai hamba.”

Surah Maryam, ayat 90-93.

Kemurkaan ALLAH, kemarahanNYA serta azabNYa ke atas mereka yang mengatakan ALLAH MEMPUNYA ANAK.

Lalu sebahagian kita mengatakan BOLEH mengucapkan:

‘SELAMAT MENYAMBUT ULANG TAHUN KELAHIRAN ANAK TUHAN’!!!

Kesudahannya sebahagian menjadi bingung, keliru dan tertanya-tanya mengapa umat ISLAM menjadi HINA di mata orang KAFIR.

Mengapa umat ISLAM begitu LEMAH, negara-negara MUSNAH dan ramai DISEKSA dan DIBUNUH KAUM KUFFAR.

Lalu mereka mempersalahkan pemerintah, negara-negara ISLAM lain (lebih-lebih lagi negara-negara Arab) kerana tidak berbuat apa-apa.

Pendek kata, jauh sekali mereka mahu MENCERMINKAN DIRI dan masyarakat di sekeliling mereka.

Tidak mahu bermuhasabah.

Sejauh mana kemungkinan ALLAH telah membiarkan (mengabaikan) kita ketika mana kita HILANG rasa bangga dengan ISLAM, HILANG rasa cemburu dengan AGAMA, tidak sensitif dengan HAK-HAK ALLAH, KESYIRIKAN dan KEKUFURAN kita biarkan.

Malah kita tumpang sama mengucapkan ‘TAHNIAH’ dan ‘SELAMAT’.

Tanpa sedar, kita jauh sekali daripada ‘selamat’ ketika mana kita mengundang Kemurkaan ALLAH, kemarahanNYA serta azabNYa dengan hal-hal seperti ini.

Firman ALLAH:

نَسُوا اللَّهَ فَنَسِيَهُمْ إِنَّ الْمُنَافِقِينَ هُمُ الْفَاسِقُونَ

Maksudnya:

“Mereka telah MELUPAKAN (tidak menghiraukan perintah) ALLAH lalu ALLAH pun MELUPAKAN (tidak menghiraukan) mereka. Sesungguhnya orang-orang munafik itulah orang-orang fasik.”

Surah at-Taubah, ayat 67.

Kepada ALLAH jua kita memohon petunjuk dan perlindungan.




___________________________
Ustaz Idris Bin Sulaiman ~
Pendakwah Bebas
_____________________________

Comments