Syurga Itu Seluas Langit dan Bumi

OLEH: Abu Amru Radzi Othman

Tuhan pencipta alam berbicara dengan suara terdengar, lalu disampaikan oleh Jibril kepada Nabi Muhammad:

"Dan bersegeralah kamu kepada ampunan dari Tuhanmu dan kepada syurga yang luasnya seluas langit dan bumi yang disediakan untuk orang-orang yang bertakwa" (Ali Imran: 133)

Ayat ini persis seperti ayat yang lain dalam surat Al Hadid: "Berlumba-lumbalah kamu kepada (mendapatkan) ampunan dari Tuhanmu dan syurga yang luasnya seluas langit dan bumi, yang disediakan bagi orang-orang yang beriman kepada Allah dan Rasul-rasul-Nya" (Al Hadid: 21)

Lalu Ibn Katsir membawakan beberapa riwayat berkenaan tafsiran ayat ini antaranya dari Imam Al Bazzar.

Beliau adalah Al Hafiz Abu Bakr Ahmad bin Amr bin Abd Al Khaliq Al Basri. Imam Al Bazzar sezaman dengan banyak imam besar yang lain seperti Abu Daud, At Tirmizi dan Ibn Majah. Beliau wafat tahun 292H.

Al Bazzar mengatakan, telah menceritakan kepada kami Muhammad Ibn Ma'mar, telah menceritakan kepada kami Al Mugirah Ibn Salamah Abu Hasyim, telah menceritakan kepada kami Abdul Wahid ibnu Ziyad, dari Ubaidillah Ibn Abdullah Ibnul Asam, dari pamannya (iaitu Yazid Ibnul Asam), dari Abu Hurairah yang menceritakan bahawa seorang lelaki datang kepada Rasulullah saw lalu mengatakan, "Bagaimanakah pendapatmu mengenai firman-Nya: 'dan syurga yang luasnya seluas langit dan bumi’ (Ali Imran: 133).

Maka di manakah neraka?"

Nabi saw menjawab: "Bagaimanakah menurutmu apabila malam tiba menyelimuti segala sesuatu, di manakah siang harinya?"

Lelaki itu menjawab, "Di suatu tempat yang dikehendaki oleh Allah." Maka Nabi saw bersabda, "Demikian pula neraka, ia berada di suatu tempat yang dikehendaki oleh Allah swt."

Hadis ini mempunyai dua makna, iaitu:

Pertama, yang dimaksud ialah bahawa ketidak mampuan kita menyaksikan malam hari bila siang hari tiba bukan bererti malam itu tidak ada di suatu tempat, sekalipun kita tidak mengetahuinya. Demikian pula neraka, ia berada di suatu tempat yang dikehendaki oleh Allah swt. Pengertian ini lebih jelas, seperti yang dikemukakan oleh hadis Abu Hurairah yang diriwayatkan oleh Al Bazzar tadi.

Kedua, mengertikah bahawa siang hari apabila menyinari alam dari belahan ini, maka malam hari berada di belahan lainnya. Demikian pula halnya surga, ia berada di tempat yang paling atas di atas langit di bawah Arasy, yang luasnya adalah seperti yang diungkapkan di dalam firman-Nya: "seluas langit dan bumi" (Al-Hadid: 21)

Sedangkan neraka berada di tempat yang paling bawah. Dengan demikian, bererti tidaklah bertentangan antara pengertian luasnya surga yang seluas langit dan bumi dengan keberadaan neraka" (Tafsir Al Azim, ayat 133 Surah Ali Imran)

Manakala As Syaukani dalam Fathul Qadir berkata:

"Bahawa ayat di atas sesuai dengan kebiasaan orang Arab dalam mengggunakan isti'arah, jadi bukan bererti makna yang sebenarnya; iaitu kerana syurga itu sangat luas sekali, maka dari sisi mubalaghah diungkapkan dengan luasnya langit dan bumi; kerana keduanya adalah makhluk Allah yang paling luas, maha suci Allah dari ilmu yang diketahui oleh hamba-hamba-Nya, bukan lah menunjukkan batas wilayah syurga". (Fathul Qadir)

Oleh kerana itu, Allah selalu menjadikan langit dan bumi sebagai perumpamaan kepada manusia lantaran kedua-duanya merupakan makhluk yang besar serta luas. Seperti dalam surah Al Mu'minum: 57-58:

"Sesungguhnya penciptaan langit dan bumi lebih besar daripada penciptaan manusia, tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui. Dan tidaklah sama orang yang buta dengan orang yang melihat..."

Begitu juga dalam ayat 33 surah Al Ahqaf:

"Dan apakah mereka tidak memperhatikan bahawa sesungguhnya Allah yang menciptakan langit dan bumi dan Dia tidak merasa payah kerana menciptakannya, kuasa menghidupkan orang-orang mati? Ya, (bahkan) sesungguhnya Dia Mahakuasa atas segala sesuatu"

Renunglah bahawa keadaan langit itu hampir sama dengan bumi lantaran mereka pernah bersatu pada awal kejadian alam ini. Hal ini sudah dinyatakan oleh Nabi kepada para sahabat dan difahami oleh para ulama Islam zaman berzaman. Hanya sahaja ahli sains baru menemuinya. Allah berfirman:

"Dan apakah orang-orang kafir tidak mengetahui bahawasanya langit dan bumi itu keduanya dulu adalah suatu yang padu, kemudian Kami pisahkan antara keduanya. Dan dari air, Kami jadikan segala sesuatu yang hidup. Maka mengapakah mereka tidak juga beriman?" (Al Anbiyaa': 30)

Ibnu Katsir berkata tentang ayat ini: "Apakah mereka tidak mengetahui bahawa langit dan bumi dahulunya adalah bersatu, iaitu seluruhnya sambung menyambung, bersatu dan sebahagiannya bertumpuk di atas bahagian yang lainnya pertama kali? Lalu, satu bahagian yang ini berpecah-belah, maka langit menjadi tujuh dan bumi menjadi tujuh..."

Ismail bin Abi Khalid berkata: "Aku bertanya kepada Abu Shalih Al Hanafi tentang firman-Nya: "Bahawa langit dan bumi itu keduanya dahulu adalah suatu yang padu, kemudian Kami pisahkan antara keduanya" maka dia menjawab: "Dahulu langit itu satu, kemudian dipisahkan menjadi tujuh lapis langit. Dan dahulu bumi itu kemudian dipisahkan menjadi tujuh lapis bumi".

Said bin Jubair berkata: "Bahkan, dahulu langit dan bumi saling bersatu padu. Lalu, ketika langit diangkat dan bumi dihamparkan, maka itulah pemisahan keduanya yang disebutkan oleh Allah dalam Kitab-Nya".

Lihatlah; Allah menjadikan langit dengan tujuh lapis dan begitu juga dengan bumi yang memiliki tujuh lapis. Sedang di atas langit terletaknya syurga yang sangat luas manakala di bawah bumi pula terletak neraka.

Justeru menganggap bumi itu kecil saiznya malah beranggapan ada makhluk asing yang mendiami planet lain atau ada planet lain yang punya kehidupan seperti kita, berupa sebuah pemikiran yang tidak pernah terlintas di benak pendahulu kita.

Tentang bumi diciptakan terlebih dahulu dan menjadi asas dunia ada disebut oleh Mufti Wilayah, Dr. Zulkifli Bin Mohamad Al Bakri ketika membahas firman Allah "Dialah Allah, yang menjadikan segala yang ada di bumi untuk kamu dan Dia berkehendak (menciptakan) langit, lalu dijadikan-Nya tujuh langit. Dan Dia Maha Mengetahui segala sesuatu"
(Al-Baqarah: 29)

Katanya: "Berdasarkan firman di atas, makanya penciptaan bumi didahulukan daripada penciptaan langit. Ianya seumpama asas pembinaan yang mana perlu diciptakan tapaknya dahulu sebelum ditinggikan bahagian atap. Ini sepertimana yang dinukilkan oleh Al Imam Ibn Katsir Rahimahullah di dalam kitabnya Al Bidayah wa Al Nihayah (1/15)"
(Irsyad Al Fatwa ke 129: Penciptaan Langit & Bumi)

Hal ini menatijahkan betapa suatu asas binaan bersaiz besar dan mustahil bersaiz kecil - malah tidak dapat diterima akal waras jika pondasi alam ini terlalu kecil dan rapuh. Sungguh bumi menjadi tapak untuk langit yang merupakan atapnya, ia begitu besar. Besarnya bumi - luas - telah disinggung oleh Imam As Syaukani di atas tadi.

Saking luasnya bumi maka hujungnya tidak dapat dijangkau oleh manusia biasa. Lalu Tuhan memberi kelebihan kepada hambanya yang terpilih untuk sampai ke tanah di hujung dunia, sebagaimana Nabi Dzulkarnain. Begitu juga Allah berikan kelebihan pada hamba-Nya yang terpilih untuk menembus langit seperti yang telah dilalui oleh Nabi Muhammad saat mikraj.

Lantas jangan ditanya "mana hujung dunia" selagi mana kita belum membaca kisah perjalanan Nabi Dzulkarnain yang sangat spektakuler itu.

___________________________
 Abu Amru Radzi Othman
_____________________________

Comments