Dalil Tujuh Hari Tahlil?

OLEH: Ustaz Muhammad Izzat Al-Kutawi

Dalam rangka mempertahankan penetapan tempoh tujuh hari untuk tahlil dan kenduri arwah, ada pihak menggunakan athar Ṭāwūs, tabiin besar yang disebutkan oleh Imam al-Sayūṭī dalam al-Ḥāwī fī al-Fatāwī sebagai dalil. Athar tersebut berbunyi:

إِنَّ الْمَوْتَى يُفْتَنُونَ فِي قُبُورِهِمْ سَبْعًا، وَكَانُوا يَسْتَحِبُّونَ أَنْ يُطْعِمُوا عَنْهُمْ تِلْكَ الأَيَّامَ. 
“Sesungguhnya orang yang mati akan difitnah di kuburnya selama tujuh hari, dan mereka menyukai/menggalakkan perbuatan memberi makan bagi pihak mereka pada hari-hari itu.”

Barangkali kerana rawi-rawinya semua thiqah, maka mereka menganggapnya sahih. Sebenarnya, riwayat yang sahih memerlukan sanad yang muttaṣil selain rawi-rawi yang thiqah. Sanad athar ini tidak muttaṣil tetapi putus. Sebabnya, Sufyān al-Thawrī tidak sempat mengambil riwayat daripada Ṭāwūs.
Sufyān al-Thawrī lahir pada 97 H dan ketika Ṭāwūs meninggal pada 106 H, beliau baru berusia 9 tahun.  Itulah sebabnya dalam riwayat-riwayat lain, al-Thawrī meriwayatkan daripada Ṭāwūs dengan perantaraan orang lain. Kadang-kadang antara mereka ada seorang rawi seperti Ibnu Abī Najīḥ, dan kadang-kadang dua orang rawi seperti Manṣūr dan Mujāhid. 

Namun, Imam al-Sayūṭī mahu menolak ‘illah inqiṭā‘ ini dengan mengatakan: 

وسفيان هو الثوري وقد أدرك طاوساً فإن وفاة طاوس سنة بضع عشرة ومائة في أحد الأقوال ، ومولد سفيان سنة سبع وتسعين إلا أن أكثر روايته عنه بواسطة .
“Dan Sufyān adalah al-Thawrī dan beliau sempat dengan Ṭāwūs, kerana matinya Ṭāwūs tahun seratus beberapa belas mengikut salah satu pendapat dan lahirnya Sufyān tahun 97, cuma kebanyakan riwayatnya daripada Ṭāwūs dengan perantaraan.”



Zahirnya beliau menolak pendapat yang mengatakan Ṭāwūs meninggal pada 106 H, sebaliknya mengambil pendapat beliau meninggal antara 113-119 H supaya tempoh idrāk al-Thawrī dengan Ṭāwūs lebih panjang, sekali gus memungkinkan riwayat ini bersambung. Tetapi, hujah beliau lemah, kerana kata al-Dhahabī dalam Siyar A‘lām al-Nubalā’:

لاَ رَيْبَ فِي وَفَاةِ طَاوُوْسٍ فِي عَامِ سِتَّةٍ وَمائَةٍ. فَأَمَّا قَوْلُ الهَيْثَمِ: مَاتَ سَنَةَ بِضْعَ عَشْرَةَ وَمائَةٍ، فَشَاذٌّ - وَاللهُ أَعْلَمُ -.
“Tiada keraguan bahawa matinya Ṭāwūs pada tahun 106. Adapun kata-kata al-Haytham, ‘beliau meninggal pada tahun seratus beberapa belas’ adalah ganjil. Wallahualam.”

Jadi, athar ini ḍa‘īf kerana inqiṭā‘.
Kemudian, yang disebut dalam athar adalah memberi makan secara umum dan ia berbeza daripada apa yang dipanggil sebagai “kenduri arwah”. Memberi makan termasuk dalam sedekah dan sedekah bagi pihak si mati disyariatkan secara ijmak, manakala kenduri arwah adalah dalam bentuk khusus dan ia dibenci oleh ulama kerana sebab-sebab tertentu. Imam al-Shāfi‘ī berkata:

وَأَكْرَهُ الْمَأْتَمَ وَهِيَ الْجَمَاعَةُ وَإِنْ لم يَكُنْ لهم بُكَاءٌ فإن ذلك يُجَدِّدُ الْحُزْنَ وَيُكَلِّفُ الْمُؤْنَةَ مع ما مَضَى فيه من الأَثَرِ.
“Saya membenci jamuan makan sempena kematian, yakni berhimpunnya orang ramai, walaupun tanpa tangisan, kerana ia memperbaharui kesedihan dan menambah bebanan selain athar yang disebutkan mengenainya.” 

Walaupun athar ini tidak sahih dan amalan kenduri arwah tidak sabit daripada sahabat, namun saya tidak bersetuju jika kenduri arwah dan penetapan waktu tujuh hari dikaitkan dengan agama lain, kerana ada kemungkinan asasnya adalah athar ini.
Wallahualam.

[Gerakan PENA Malaysia]
Dapatkan Himpunan Risalah Aqidah yang ditulis oleh Sheikh Muhammad bin Abdul Wahab. Risalah-risalah beliau dihimpun sebagai sebuah kitab dan diterjemahkan ke dalam Bahasa Melayu (Malaysia).
Boleh dapatkan  KLIK DI SINI

Comments