Bolehkah Menyamakan Orang Biasa dengan Para Sahabat dan Para Anbiya?

OLEH: Taufiq Tuah

Apa yang saya tidak gemar tentang istilah ini ialah apabila orang awam sewenang-wenangnya membuat perumpamaan orang lain dengan para sahabat yang mulia. Pelbagai kaedah mereka cuba menyamakan situasi mereka dengan para sahabat yang mulia sedangkan hal itu sangat² jauh sekali. Perumpamaan yang batil dan hanya cuba untuk menunggang nama para sahabat. "Konflik dalaman kumpulan kami ialah seperti konflik Saidina Ali dengan Muawiyah"?

Pernah jua kita mendengar seseorang yang berkata "Sifat abang ni macam Muawiyah". Apa jenis slogan yang cuba disampaikan sehingga sanggup menggunakan nama Muawiyah sebagai tunggangan? Kalau pun kita nak 'menjilat' atau 'membodek' seseorang, jangan lah pula sehingga perlu menunggang nama para sahabat.

Saya ada kawan dahulu yang berkata cara pendekatan saya agak lembut berbanding kawan yang seorang lagi. Kemudian dia berkata kepada saya "Kau macam Abu Bakar, dia macam Umar". Saya ketika itu cukup tidak senang memikirkan kata-kata itu. Mana mungkin satu sosok seperti saya mampu boleh setanding Abu Bakar dan mana mungkin ada yang boleh setanding Umar di masa ini?

Malah saya juga selalu terbaca beberapa syair² yang mengumpamakan ketampanan seseorang dengan Nabi Yusuf Alaihissalam. "Lahir mu ibarat Yusuf wakazawakazawakaza". Begitu mudah akhirnya nama seorang nabi di umpamakan dengan orang biasa. Sedar atau tidak sedar ketika kita cuba menaikkan darjat seseorang dengan memujinya melambung ibarat para sahabat dan para anbiya, sebenarnya kita sudahpun memperendahkan darjat nama para sahabat dan para anbiya yang kita gunakan.

Hal ini tidak sama dengan apabila para sahabat sendiri yang mengatakan beberapa sahabat itu fizikalnya mirip Rasulullah salallahu alaihi wasalam. Hal ini kerana mereka pernah bertemu Rasulullah dan logik lah juga kerana mereka yang fizikalnya mirip dengan Rasulullah itu ramainya ialah saudara² baginda sendiri.

Namun bagaimana seseorang yang hidup di zaman milennia ini boleh pula mengatakan fulan bin fulan itu wajahnya bak Nabi Yusuf Alaihissalam? Malah lebih merisaukan ada juga yang kata "Wajah habib sekian itu ialah wajahnya Rasulullah Salallahu alaihi wasalam".

Perumpamaan² insan mulia ini juga sering berlaku di dalam lirik² lagu tanpa pendengar sedari. Bagaimana pula seorang komposer lirik tergamak menuliskan lirik "...bagaikan Yunus tak dimakan paus, ibrahim tak dimakan api. Bertemu kasih di dalam kudus, luka di badan tak terasa lagi...". Kemudian ada pula lirik lagu yang menggunakan nama isteri Nabi Ibrahim alaihissalam beserta anaknya seperti "..Bagai Siti Hajar mencari air, terpaku sinar di hening pasir bekas hentakan kudus kaki Ismail...".

Bagaimana akhirnya perbuatan perumpamaan kepada para sahabat dan para anbiya ini menjadi normalisasi? Sedangkan perumpamaan ini sebenarnya tidak layak dan tidak patut. Sedangkan telah keluarnya dalil,

خَيْرُ النَّاسِ قَرْنِيْ ثُمَّ الَّذِيْنَ يَلُوْنَهُمْ ثُمَّ الَّذِيْنَ يَلُوْنَهُمْ.
"Sebaik-baik generasi ialah generasiku, kemudian orang-orang yang sesudahnya (tabiin) dan kemudian orang-orang yang sesudahnya (tabiut at-tabiin)". 
[HR Bukhari]

Bagaimana pula kita sewenang-wenangnya mengumpamakan diri kita dengan para sahabat sedangkan mereka ialah sebaik-baik generasi. Perbuatan ini sebenarnya ialaj perbuatan syok sendiri yang berlebihan.

Jadi Istilah Apa Yang Selamat?
Istilah yang selamat ialah, dengan tidak menyebutnya langsung. Jika ingin juga bercakap, maka cukuplah dengan berkata, "Aku akan cuba mencontohi keperibadian Rasulullah Salallahualaihiwasalam". Kerana ayat ini tidak merujuk kepada perumpamaan.

Wallahualam.

Gambar ialah hiasan semata-mata


___________________________
Taufiq Tuah
_____________________________

Comments