Jikalau Mimpi Menjadi Hujjah?

OLEH: Ustaz Huzaifah Hadis

Mimpi memang termasuk didalam salah satu petunjuk dengan syarat mimpi itu datang daripada orang-orang soleh dan para ulama'.

Cumanya mimpi tidak boleh menjadi hujjah didalam hukum hakam agama. Mimpi tidak boleh mensahihkan hadith yang dhaif dan mendhaifkan hadith yang sahih. Ini maksudnya.

Mimpi hanya datang sebagai berita gembira ( bisyarah) atau alamat dengan syarat penafsiran mimpi dilakukan oleh orang-orang soleh.

Sebab itu Yusuf alaihissalam terkenal dengan pakar didalam tafsir mimpi dan ianya diceritakan didalam al-Quran.

Sebab itu juga tafsiran mimpi perlu dilakukan oleh orang-orang soleh atau ulama' kerana mereka memiliki ilmu firasat. Jikalau dibenarkan tafsiran mimpi oleh sesiapa sahaja, nescaya akan terjadinya tafsiran yang pelik-pelik.

Agama meletakkan mimpi hanya sebagai petunjuk. Petunjuk itu boleh jadi benar, boleh jadi salah. Agama tidak menjadikan mimpi sebagai hujjah kerana jikalau demikian akan huru haralah dunia ini.

Jikalau sesuatu hadith boleh disahih mahupun didhaif melalui mimpi, jikalau hukum hakam boleh diputus didalam mimpi, jikalau syariat boleh ditambah melalui mimpi, maka ia menunjukkan agama Islam masih tidak sempurna sekaligus menafikan risalah yang dibawa oleh Rasulullah dan menuduh beliau secara tidak langsung sebagai menyembunyikan risalahNya dan ia satu perkara yang mustahil bagi rasul alaihimussalatu wassalam.

Jikalau mimpi boleh dijadikan hujjah, nescaya Imam Syafie tidak merantau beratus ribu kilometer mencari dan menuntut ilmu di Iraq, Mesir dan Madinah. Cukup untuk beliau tidur sepanjang hari dan mengeluarkan pandangan beliau.

Begitu juga Imam Bukhari tidak perlu merantau daripada Bukhara sehingga ke Baghdad. Cukup untuk beliau tidur sepanjang hari dan menulis hadith yang diperolehi dari mimpinya.

Tidak ada gunanya para ulama mengarang ribuan kitab, jikalau mimpi boleh dijadikan sebagai landasan syariat. Tidak perlu Ibnu Taimiyyah susah-susah dipenjara, Imam Ahmad susah-susah disebat dan dirotan bahkan Imam Syafie tidak perlu digiring dengan rantai beratus ribu kilometer dari Yaman sehingga ke Iraq.

Jikalau mimpi boleh dijadikan hujjah, apakah agama yang lebih lawak & lebih lucu berbanding ini???

Fikir-fikirkanlah sebelum menulis dan menaip.


___________________________
 Ustaz Huzaifah Hadis
_____________________________

Comments