Imam Shafi'i Mengatakan Doa Mustajab Pada 5 Malam. Salah Satunya Malam Nisfu Syaaban?

OLEH: Ustaz Muhammad Izzat Al-Kutawi

Sempena malam nisfu Syaaban, sebahagian sahabat kita menyebarkan poster bahawa Imam al-Shafi'i mengatakan "doa dimustajabkan pada lima malam: pada malam Jumaat, malam Aidiladha, malam Aidilfitri, awal malam Rejab, dan malam nisfu Syaaban."

Sebenarnya, kata-kata ini sebenarnya bukan ucapan Imam al-Shafi'i, tetapi kata-kata yang diriwayatkan oleh beliau daripada orang atau pihak yang tidak disebutkan. Bukan sahaja penuturnya tidak dijelaskan, periwayatnya juga tidak disebutkan. Imam al-Shafi'i meriwayatkan dengan bentuk "sampai riwayat kepada kami bahawa dikatakan..." Dengan ibham orang yang mengatakannya dan ibham orang yang meriwayatkannya, sabitlah kelemahan kata-kata ini.

Cuma, dengan penuh kejujuran dan keinsafan, kita perlu mengakui bahawa Imam al-Shafi'i menerima - sebahagian kalau bukan kesemua kandungan - kata-kata ini. Kata-kata tersebut dipetik oleh Imam al-Shafi'i bersama-sama tiga athar lain yang diriwayatkan dengan sanad lengkap sebagai hujah mengisbatkan galakan beribadat pada malam hari raya.

Bahkan, nas Imam al-Shafi'i seusai menyebut riwayat-riwayat tersebut "dan saya sukai/galakkan semua yang diceritakan/saya ceritakan pada malam-malam ini, tanpa menjadi fardu." Kalau diterima itlaq "pada malam-malam ini" mencakupi semua malam yang disebutkan, maka malam awal Rejab dan nisfsu Syaaban termasuk dalam malam yang digalakkan beribadat oleh Imam al-Shafi'i.

Sama ada kita mahu menerima pensyariatan amalan menghidupkan malam-malam ini atau tidak, kita tidak boleh menafikan bahawa mensyariatkannya adalah pendapat Imam al-Shafi'i. Pada masa yang sama, kemuktabaran atau kebesaran seorang ulama tidak menghalang kita menolak ijtihadnya, kerana ijtihad seorang ulama bukan hujah dalam mengisbatkan amalan mahupun dalam menggugurkan hukum bidaah.


OLEH: Ustaz Huzaifah Hadis

Sesuatu ibadah yang ingin dikhususkan perlulah memiliki dalil khusus walaupun disana ada dalil umum. Sebab itu Imam Nawawi mengingkari solat Raghaib kerana ia solat khusus walaupun ianya solat sunat.

Begitu juga ramai para ulama' mengingkari solat nisfu syaaban, solat bulan rejab bahkan kalau kita lihat hanya didalam kitab-kitab syiah sahaja yang menganjurkan solat bulan rejab ini sedangkan ia dianggap oleh mereka perkara sunat, nafilah, bukan wajib tetapi tetap diingkari oleh para ulama'.

Begitu juga mandi safar yang dikatakan mandi tolak bala yang bukannya mandi wajib.

Menganggap bahawa segala amalan am boleh menjadi khusus dengan adanya dalil am begitu bahaya sekali atas alasan ianya sunat.

Sebab perkara sunat dan wajib hanyalah datang melalui syariat dan syariat datang melalui wahyu daripada Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam.

Jikalau tidak semua manusia boleh menokok tambah dan mereka amalan ibadah atas alasan sunat.

Wallahua'lam.

[Gerakan PENA Malaysia]
Dapatkan Himpunan Risalah Aqidah yang ditulis oleh Sheikh Muhammad bin Abdul Wahab. Risalah-risalah beliau dihimpun sebagai sebuah kitab dan diterjemahkan ke dalam Bahasa Melayu (Malaysia).
Boleh dapatkan  KLIK DI SINI

Comments