OLEH: Ustaz Muhammad Izzat Al-Kutawi
كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِذَا انْصَرَفَ مِنْ صَلَاتِهِ اسْتَغْفَرَ ثَلَاثًا وَقَالَ اللَّهُمَّ أَنْتَ السَّلَامُ وَمِنْكَ السَّلَامُ تَبَارَكْتَ ذَا الْجَلَالِ وَالْإِكْرَامِ
“Rasulullah SAW apabila selesai solat, baginda akan beristighfar sebanyak tiga kali dan mengucapkan, 'ya Allah, engkaulah al-Salām (Yang Maha Sejahtera) dan daripada-Mulah kesejahteraan. Maka berkat Engkau wahai Yang Memiliki Keagungan dan Kemuliaan'."
... وإليك يعود السلام فحينا ربنا بالسلام وأدخلنا الجنة دار السلام تباركت ربنا وتعاليت...
Akan tetapi, seorang individu yang diangkat sebagai tokoh hadis Ahl al-Sunnah wa-al-Jamā‘ah Malaysia dalam artikelnya yang bertajuk, “Wirid Yang Afdal Selepas Solat - Adakah diharamkan bacaan wirid selain yang disebut dalam hadis?,” dalam pada mengakui bahawa “apa yang dibuat oleh Nabi SAW itu adalah yang lebih utama/afdhal,” sedaya upaya berusaha mewajarkan tambahan ini.
Selepas menceritakan asal usul tambahan ini yang diambil oleh Syeikh Ṣafiyy al-Dīn al-Qushāshī (1071 H) daripada orang-orang soleh Madinah pada zamannya dan dikembangkan kemudiannya oleh Syeikh ‘Abd al-Ra’ūf al-Fanṣūrī (1105 H) di Nusantara; menjelaskan bahawa hukum asal zikir adalah harus dengan syarat-syaratnya; dan memperkatakan beberapa perkara lain, beliau menyimpulkan:
“Secara ringkasnya, wirid tersebut tiada masalah sama ada ingin dibaca yang pendek (afdal) mahupun yg panjang (harus).”
Dalam artikel yang agak panjang bagi masalah seperti ini yang diselitkan sindiran kepada orang yang tidak menyukai penambahan itu, beliau tertinggal satu nas penting oleh Imam Ibnu al-Jazarī (833 H) yang dinukilkan dalam salah satu kitab mazhab Shāfi‘ī, ‘Umdah al-Muftī wa-al-Mustaftī oleh Syeikh Jamāl al-Dīn Muḥammad b. ‘Abd al-Bārī al-Ahdal (1352 H), iaitu katanya:
وما يزيده بعضهم من قوله على الذكر المأثور :(وإليك يرجع السلام، فحينا ربنا بالسلام، وأدخلنا دارك دار السلام) فلا أصل له، بل هو مختلق من بعض القصاص.
“Penambahan oleh sebahagian manusia daripada kalamnya ke atas zikir yang ma’thūr, ‘dan kepada-Mulah kembalinya kesejahteraan, maka berilah penghormatan kepada kami dengan salam (kesejahteraan), dan masukkanlah kami ke negeri-Mu, Dār al-Salām’ tidak ada asalnya, bahkan ia adalah rekaan sebahagian quṣṣāṣ.”
Kemudian, dijelaskan (kemungkinan oleh Syeikh al-Ahdal):
أي، فلا ينبغي الإتيان به.
“Yakni, maka, tidak boleh membacanya.”
Tanpa menafikan bahawa lafaz “wa-ilay-ka ya‘ūdu al-salām” sebenarnya ada dalam hadis lain – seperti yang disebutkan kemudiannya oleh al-Ahdal – namun ia bukan bacaan dalam wirid solat dan cuma sependek itu, jelaslah bahawa pengingkaran ke atas penambahan ini bukanlah perkara baharu, bahkan telah didahului oleh ulama sebesar dan sealim Ibnu al-Jazarī al-Shāfi‘ī.
___________________________
Ustaz Muhammad Izzat Al-Kutawi
Telegram: https://t.me/gerakanpenamy
_____________________________
Comments
Post a Comment