Merungkai Riwayat Imam Al-Shafi'i Bertabaruk dengan Kubur Imam Abu Hanifah

OLEH: Ustaz Muhammad Izzat Al-Kutawi

Dakwaan bahawa Imam al-Shāfi‘ī bertawassul atau bertabarruk dengan berdoa di kubur Imam Abū Ḥanīfah berasaskan riwayat Khatib al-Baghdādī (463 H) daripada jalan Mukram b. Aḥmad, daripada ‘Umar b. Isḥāq b. Ibrāhīm, daripada ‘Alī b. Maymūn, bahawa Imam al-Shāfi‘ī mengatakan:

إني لأتبرك بأبي حنيفة وأجيء إِلَى قبره في كل يوم - يَعْنِي زائرا - فإذا عرضت لي حاجة صليت ركعتين، وجئت إِلَى قبره وسألت الله تعالى الحاجة عنده، فما تبعد عني حتى تقضى.
“Aku bertabarruk dengan Abū Ḥanīfah, dan pergi ke kuburnya pada setiap hari – yakni sebagai menziarahi. Apabila aku ada keperluan, aku solat dua rakaat, pergi ke kuburnya, dan berdoa kepada Allah akan keperluan itu. Lalu, tidaklah keperluan itu jauh daripadaku sampailah ia tertunai.”

Mukram b. Aḥmad terkenal sebagai penulis kitab Manāqib Abī Ḥanīfah dan sebagai riwayat yang menceritakan tentang Abū Ḥanīfah, riwayat ini berkemungkinan besar tercatat dalam kitab itu. Walaupun Mukram dianggap thiqah oleh Khatib al-Baghdādī tanpa jarḥ oleh ulama lain dan sanadnya zahirnya bersambung dengan lafaz samā‘, kitab itu menurut Imam al-Dāraquṭnī direka-reka oleh Aḥmad b. al-Mughallis. 

Katanya, seperti yang diriwayatkan oleh Khatib al-Baghdādī, apabila ditanya tentang “himpunan kelebihan Abū Ḥanīfah oleh Mukram b. Aḥmad”:

موضوع كله كذب، وضعه أَحْمَد بْن المغلس الحماني، قرابة جبارة، وَكَانَ فِي الشرقية.
“Palsu. Semuanya dusta. Aḥmad b. al-Mughallis, saudara Jubārah mereka-rekanya ketika di Sharqiyyah.”

Selain itu, ‘Umar b. Isḥāq b. Ibrāhīm majhūl. Dalam 16 jilid Tārīkh Baghdād, nama ini tidak disebutkan kecuali dalam sanad riwayat ini sahaja. Kemungkinan beliau adalah ‘Amr b. Isḥāq b. Ibrāhīm yang dianggapan thiqah oleh Ibnu Ḥibbān hanyalah kemungkinan, dan jika benar pun tawthīq  Ibnu Ḥibbān lemah. 
‘Alī b. Maymūn pula dikatakan pernah mendengar daripada Imam al-Shāfi‘ī sedangkan tidak ada satu pun riwayat lain menyokong samā' ini atau mengatakan beliau pernah berguru dengan Imam al-Shāfi‘ī. 
Selain itu, perbuatan berdoa di makam Abū Ḥanīfah ini tidak selari dengan pandangan Imam al-Shāfi‘ī yang melarang kubur seseorang dimuliakan dengan menjadikannya tempat solat kerana dikhuatiri menjadi fitnah kepada orang terkemudian. Katanya dalam al-Umm:

وَأَنَّهُ كُرِهَ وَاَللَّهُ تعالي أَعْلَمُ أَنْ يُعَظَّمَ أَحَدٌ من الْمُسْلِمِينَ يَعْنِي يُتَّخَذُ قَبْرُهُ مَسْجِدًا ولم تُؤْمَنْ في ذلك الْفِتْنَةُ وَالضَّلاَلُ على من يأتى بَعْدُ فَكُرِهَ وَاَللَّهُ أَعْلَمُ...
“Dan – wallahualam – adalah dibenci seseorang daripada umat Islam diagung-agungkan – yakni, menjadikan kuburnya sebagai masjid – dan hal itu tidak selamat daripada mendatangkan fitnah dan kesesatan ke atas orang yang datang selepas itu, wallahualam.” 

Kesimpulannya, riwayat Imam al-Shāfi‘ī berdoa di makam Abū Ḥanīfah gharīb dan munkar. Riwayat seperti ini tidak boleh dijadikan panduan dalam beragama.
Wallahualam.


___________________________
Ustaz Muhammad Izzat Al-Kutawi
_____________________________

Comments