Hukum Ibu Bapa Mencium Mulut Anak Belum Baligh

OLEH: Ustaz Muhammad Izzat Al-Kutawi


Menurut seorang artis, mencium bibir anak bukan budaya Melayu atau adab Islam. Seorang pensyarah dalam bidang pengajian Islam menolak kenyataan tersebut dengan mengatakan, “harus bagi ibu bapa mencium mulut anak belum baligh, selagi tidak menimbulkan fitnah” dan membawakan hadis Rasulullah SAW mencium bibir al-Ḥasan b. ‘Alī RA sebagai hujah.

Hadis Mu‘āwiyah b. Abū Sufyān RA yang diriwayatkan oleh Imam Aḥmad tersebut sahih dan matannya selengkapnya begini:

رَأَيْتُ رَسُولَ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ " يَمُصُّ لِسَانَهُ - أَوْ قَالَ: شَفَتَهُ، يَعْنِي الْحَسَنَ بْنَ عَلِيٍّ صَلَوَاتُ اللهِ عَلَيْهِ - وَإِنَّهُ لَنْ يُعَذَّبَ لِسَانٌ أَوْ شَفَتَانِ مَصَّهُمَا رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ
"saya melihat Rasulullah SAW menghisap lidah – atau kata Mu‘āwiyah 'bibirnya', yakni al-Ḥasan b. ‘Alī selawat Allah ke atasnya – dan bahawa tidak akan diazab lidah atau dua bibir yang dihisap oleh Rasulullah SAW."

Walaupun pensyarah tersebut mengatakan, “jika ia membawa fitnah, adalah lebih baik ditinggalkan kerana keburukan lebih banyak berbanding kebaikan” namun saya kira istidlāl yang dilakukan kurang meyakinkan. Hal ini demikian kerana hadis tersebut tidak mengatakan baginda “mencium”, tetapi menyebut bahawa baginda “menghisap” lidah al-Ḥasan. Mencium dan menghisap dua perbuatan yang berbeza dengan tujuan tersendiri. Dan yang dihisap pula disebut lidah (atau bibir) secara khusus, bukan mulut secara umum. Ini karenah lain bahawa yang dimaksudkan adalah perbuatan yang berlainan.

Sabab wurūd hadis tadi yang diriwayatkan oleh al-Ṭabarānī dalam al-Mu‘jam al-Kabīr dan lain-lain dengan sanad yang sahih daripada Isḥāq b. Abū Ḥabībah maula Rabāḥ maula Rasulullah daripada Abū Hurayrah RA menunjukkan demikian. Dalam riwayat tersebut diceritakan bahawa al-Ḥasan dan al-Ḥusayn menangis kehausan semasa dalam perjalanan mengerjakan umrah. Ketika itu, tiada air yang dapat diberikan kepada mereka berdua. Jadi, baginda memeluk dan menghisap mulut mereka untuk menghilangkan kehausan dua cucu baginda itu. Selepas itu, al-Ḥasan dan al-Ḥusayn tidak lagi menangis.

Cuma, riwayat ini bermasalah kerana dikhuatiri Isḥāq b. Abū Ḥabībah tidak mendengar hadis ini langsung daripada Abū Hurayrah. Matannya juga memusykilkan kerana berdasarkan tarikh hijrah Abū Hurayrah ke Madinah dan tarikh umrah-umrah yang dilakukan oleh Nabi SAW, perjalanan ini paling awal berlaku pada tahun 7 H (dan tarikh ini bertepatan dengan tarikh Mu‘āwiyah dikatakan memeluk Islam). Pada ketika itu, al-Ḥasan dalam peristiwa ini sudah berusia 4 tahun. Namun, daripada tangisan dan cara mereka ditenangkan oleh Rasulullah SAW, mereka seolah-olah beliau masih bayi.

Jadi, riwayat tersebut secara asasnya tidak boleh dijadikan hujah. Namun, seperti yang disebutkan, baginda dalam hadis yang sahih tadi “menghisap” dan bukannya “mencium”. Yang dibincangkan adalah tentang mencium, bukan menghisap. Mengharuskan menghisap mulut untuk tujuan tertentu tidak bermakna mengharuskan mencium untuk tujuan suka-suka. Walaupun hadis Abū Hurayrah tidak sahih, namun ia boleh menunjukkan bahawa perbuatan menghisap ada kebarangkalian berlaku tanpa niat mencium.

Atau, perbuatan baginda menghisap mulut al-Ḥasan yang diceritakan oleh Mu‘āwiyah dianggap termasuk dalam bab tabarruk, sebagaimana baginda pernah meludah tamar yang dikunyahnya ke dalam mulut ‘Abd Allāh b. al-Zubayr semasa bayi. Kemungkinan ini disokong dengan apa yang disebutkan dalam hadis itu sendiri iaitu “bahawa tidak akan diazab lidah atau dua bibir yang dihisap oleh Rasulullah SAW.”

Wallahualam.

___________________________
Ustaz Muhammad Izzat Al-Kutawi
_____________________________

Comments