Amalan Azan di Telinga Bayi?

OLEH: Ustaz Muhammad Izzat Al-Kutawi

Amalan azan di telinga bayi digalakkan oleh jumhur ulama. Kebiasaannya, azan dilakukan oleh bapa dan kepada bayi Muslim sahaja. Namun, menurut Syeikh ‘Alī al-Shabrāmallisī (1087 H), ia disyariatkan dilakukan oleh lelaki dan perempuan, dan untuk bayi Islam dan bukan Islam. Dalam ḥashiyāh ke atas Nihāyah al-Muḥtāj oleh Shams al-Dīn al-Ramlī, katanya:

(قَوْلُهُ: وَيُسَنُّ أَنْ يُؤَذِّنَ) أَيْ وَلَوْ مِنْ امْرَأَةٍ لِأَنَّ هَذَا لَيْسَ الْأَذَانَ الَّذِي هُوَ مِنْ وَظِيفَةِ الرِّجَالِ، بَلْ الْمَقْصُودُ بِهِ مُجَرَّدُ الذِّكْرِ لِلتَّبَرُّكِ، وَظَاهِرُ إطْلَاقِ الْمُصَنِّفِ فُعِلَ الْأَذَانُ وَإِنْ كَانَ الْمَوْلُودُ كَافِرًا وَهُوَ قَرِيبٌ لِأَنَّ الْمَقْصُودَ أَنَّ أَوَّلَ مَا يَقْرَعُ سَمْعَهُ ذِكْرُ اللَّهِ وَدَفْعُ الشَّيْطَانِ عَنْهُ، وَرُبَّمَا يَكُونُ دَفْعُهُ عَنْهُ مُؤَدِّيًا لِبَقَائِهِ عَلَى الْفِطْرَةِ حَتَّى يَكُونَ ذَلِكَ سَبَبًا لِهِدَايَتِهِ بَعْدَ بُلُوغِهِ
“Katanya [dan disunatkan azan] yakni walaupun oleh perempuan, kerana ini bukan azan yang merupakan urusan lelaki, malah maksudnya adalah zikir semata-mata untuk mengambil berkat. Zahir itlak pengarang (al-Ramlī) dilakukan azan walaupun bayi itu kafir dan ini hampir (dengan kebenaran) kerana yang dikehendaki bahawa yang pertama kali didengarinya adalah zikrullah dan menghalau syaitan daripadanya. Barangkali terhalaunya syaitan daripadanya menjadi mendorong ia kekal di atas fitrah sehingga menjadi sebab ia mendapat hidayah selepas ia baligh.”

Jadi, sekiranya tiada bapa atau lelaki lain; jururawat dan doktor perempuan, bidan, atau bahkan ibu sendiri boleh mengazankan bayi, dan jika keadaan mengizinkan, bayi bukan Islam pun boleh diazankan mengikut beliau.

Walau bagaimanapun, semua ini mengikut pendapat jumhur yang mensyariatkan azan di telinga bayi. Saya secara peribadi memilih pendapat Imam Mālik yang menolak pensyariatan amalan tersebut kerana kelemahan hadisnya sebagaimana yang akan saya bentangkan secara mendalam dalam buku yang akan diterbitkan tidak lama lagi, insya-Allah. Wallahualam.


[Gerakan PENA Malaysia]

Comments