Kalam Biadap Terhadap Ibn Taimiyyah

 OLEH: Ustaz Muhammad Izzat Al-Kutawi

Kalam ini (seperti di gambar lampiran) sangat biadap dan menunjukkan kejahilan penuturnya. Ulama sebelum Ibnu Taymiyyah lahir lagi mengatakan orang yang mentakwil sifat-sifat Allah sebagai Jahmī iaitu nisbah kepada Jahmiyyah, yang dinisbahkan pula kepada al-Jahm b. Ṣafwān. Sebagai misal, Yazīd b. Hārūn (206 H). Katanya:

من زعم أن الرحمن على العرش استوى على خلاف ما يقر في قلوب العامة فهو جهمي

“Sesiapa mendakwa bahawa “al-Raḥmān di atas arasy Dia beristiwā’” dengan makna yang berlawanan dengan yang tertetap dalam hati awam maka ia adalah Jahmī.”

Dalam Khalq Af’āl al-‘Ibād oleh al-Bukhārī ada ziyādah:

وَمُحَمَّدٌ الشَّيْبَانِيُّ جَهْمِيٌّ

“Dan Muḥammad al-Shaybānī Jahmī.”

Ulama menisbahkan akidah yang sesat seperti itu kerana mereka adalah golongan terawal yang memperkenalkannya sebelum diteruskan oleh Mu’tazilah yang ditransformasikan menjadi Kullābiyyah dan seterusnya Ashā’irah mutaqaddimīn dan berkembang menjadi Ashā’irah muta‘akhkhirīn seperti hari ini.

Seseorang tidak perlu 100% menyerupai Jahmī untuk menjadi Jahmī. Ashā’irah pun menuduh Ibnu Taymiyyah sebagai mujassim hanya kerana beberapa persamaan akidah Ibnu Taymiyyah – mengikut dakwaan mereka – dengan golongan Mujassimah, walaupun Ibnu Taymiyyah menyesatkan dan mengingkari akidah mereka. Maka, ulama menyifatkan Ashā’irah sebagai Jahmiyyah pun kerana persamaan mereka yang banyak dengan Jahmiyyah atau kerana usul mereka kembali kepada usul Jahmiyyah.

Jahmiyyah secara sarih mengatakan al-Quran makhluk. Jika mengikut kaedah mereka, menggelar orang yang diam dalam isu ini iaitu golongan Wāqifah yang tidak mengatakan al-Quran makhluk dan juga tidak makhluk adalah propaganda. Tetapi, Imam Aḥmad, ulama yang diiktiraf Ashā’irah sendiri mengatakan:

من كان من أصحاب الحديث أو من أصحاب الكلام فأمسك عن أن يقول القرآن ليس بمخلوق فهو جهمي

“Ahli hadis atau ahli kalam yang menahan diri daripada mengatakan al-Quran bukan makhluk adalah Jahmī.”

Jadi, adakah Imam Aḥmad pun berpropaganda? Dan adakah Yazīd b. Hārūn melalui nukilan tadi juga berpropaganda? Adakah semua orang berpropaganda dengan menggunakan nama Jahmiyyah?

Tentang tiga pendapat yang dinisbahkan kepada Ibnu Taymiyyah pula, pendapat no. 1 saya serahkan kepada orang lain untuk mengulas, tetapi pendapat no. 2 terang-terangan fitnah yang keji. Benar, Ibnu Taymiyyah, seperti ahli hadis mutaqaddimīn dan Ḥanābilah, mengatakan Allah bebas berkata-kata dan diam bila-bila masa yang Dia kehendaki, tetapi itu tidak bermakna kata-kata Allah makhluk. 

Lāzim al-madhhab laysa bi-madhhab. Terang-terangan Ibnu Taymiyyah menolak dan menyesatkan orang yang mengatakan al-Quran makhluk, tiba-tiba ada makhluk Allah mendakwa Ibnu Taymiyyah berpendapat, “al-Quran itu makhluk dan bukannya perkara yang qadīm.” Di sisi Ibnu Taymiyyah tidak ada istilah “al-Quran makhluk” sama ada secara sarih atau kināyah, untuk orang awam atau fī maqām al-ta‘līm (mohon terasa). Fahami mazhab orang dengan baik sebelum menaqadnya.

Tentang pendapat no. 3, sebahagian ulama mengisbatkan bahawa itu pendapat Ibnu Taymiyyah dan sebahagian lagi menolak. Antara sebab mereka menolak, kata Ibnu Taymiyyah sendiri:

وقد اتفق سلف الأمة وأئمتها وسائر أهل السنة والجماعة على أن من المخلوقات ما لا يعدم ولا يفنى بالكلية، كالجنة والنار والعرش وغير ذلك، ولم يقل بفناء جميع المخلوقات إلا طائفة من أهل الكلام المبتدعين، كالجهم بن صفوان ومن وافقه من المعتزلة ونحوهم، وهذا قول باطل يخالف كتاب الله وسنة رسوله وإجماع سلف الأمة وأئمتها.

“Sepakat umat Islam yang terdahulu, imam-imam mereka, dan seluruh Ahl al-Sunnah wa-al-Jamā‘ah bahawa ada makhluk yang tidak akan hilang atau lenyap sama sekali seperti syurga, neraka, arasy, dan selainnya. Dan tidak mengatakan semua makhluk akan lenyap kecuali segolongan ahli kalam mubtadi‘ seperti al-Jahm b. Ṣafwān, orang-orang yang sependapat dengan mereka daripada golongan Mu’tazilah dan seumpamanya. Ini dakwaan yang batil menyalahi kitabullah, sunnah rasul-Nya, ijmak umat Islam terdahulu dan imam-imam mereka.”

Dan, yang mengisbatkannya tetap menolak dan mengkritik Ibnu Taymiyyah dalam masalah ini. Mereka tidak diam, mentakwil, atau mema‘dhūrkan beliau kerana taasub. Mereka tidak mendakwa Ibnu Taymiyyah mengeluarkan pendapat ini untuk mengambil hati mana-mana golongan, ini pendapat fasa pertama atau kedua beliau sebelum menjadi Salafī sebenar, atau menuduh pendapat ini dipalsukan oleh Ashā’irah (mohon terasa lagi). Antara yang mengisbatkan dan mengkritik beliau adalah Syeikh al-Albānī dalam mukadimah taḥqīqnya ke atas kitab al-Ṣan‘ānī (1182 H), seorang ulama Salafī yang ditulis untuk menolak pendapat yang disandarkan kepada Ibnu Taymiyyah ini, Raf‘ al-Astār.

فهذا شيخ الإسلام ابن تيمية زلت به القدم فقال قولا لم يسبق إليه ولا قام الدليل عليه ومن هنا قالوا : ( زلة العالم زلة العالم ) فلو أننا كنا مبتلين بتقليده كما ابتلي كل مقلد بتقليد إمامه لزللنا بزلته ولذلك قالوا : ( الحق لا يعرف بالرجل اعرف الحق تعرف الرجال ) 

 فالحمد لله الذي هدانا لهذا وما كنا لنهتدي لولا أن هدانا الله

“Maka, Shaykh al-Islām Ibnu Taymiyyah ini telah tergelincir kakinya lalu mengatakan kata-kata yang tidak didahului (oleh sesiapa) dan tidak ditunjukkan oleh dalil. Dari sini mereka mengatakan, ‘ketergelinciran ulama adalah ketergelinciran dunia.’ Kalaulah kita diuji dengan bertaklid kepadanya sebagaimana setiap muqallid diuji dengan bertaklid kepada imamnya pasti kita akan tergelincir dengan tergelincirnya beliau. Oleh itu, mereka mengatakan, ‘kebenaran tidak dikenali dengan individu, (tetapi) kenallah kebenaran pasti kamu akan mengenali orang-orangnya.’ Maka, alhamdulillah yang telah menunjukkan kita kepada ini dan kalaulah tidak kerana petunjuk Allah, tentulah kami tidak mendapat petunjuk.”

Wallahualam.


Lampiran


[Gerakan PENA Malaysia]


Comments