Madinah Tetap Bumi Suci

 OLEH: Ustaz Idris Sulaiman


Ada yang berkongsi berita bahawa Pertubuhan Kesihan Sedunia (WHO) memperakui bumi Madinah Nabi ﷺ sebagai antara bandar paling sihat di dunia.

Sumber: https://origin.bharian.com.my/.../madinah-antara-bandar...

Seolah-olah ia satu kebanggaan buat Muslim apabila bumi Nabi ﷺ ini diiktiraf oleh Pertubuhan dunia ini.

Musykil.

Sebagai seorang Muslim seharusnya kelebihan dan keistimewaan bumi Madinah sudah sedia maklum berdasarkan penjelasan dan penerangan Nabi ﷺ dalam sekian banyak hadis.

Adakah hadis-hadis Nabi ﷺ tidak cukup bagi kita sehingga perlu pengiktirafan daripada pertubuhan yang diterajui Yahudi dan Nasrani ini?


Sabda Nabi ﷺ:

مَا بَيْنَ ‌لَابَتَيْهَا ‌حَرَامٌ.

“Di antara dua tanah hitamnya (Madinah) itu adalah tanah haram”.

[Hadis sahih. Riwayat Bukhari dan Muslim.]


Tanah haram yakni tanah suci yang mempunyai pantang larang, kelebihan dan keistimewaan yang tertentu.

Nabi ﷺ mendoakan kesihatan buat penduduk Madinah dalam sabdanya ﷺ:

اللَّهُمَّ ‌حَبِّبْ ‌إِلَيْنَا ‌الْمَدِينَةَ كَحُبِّنَا مَكَّةَ، أَوْ أَشَدَّ، وَصَحِّحْهَا، وَبَارِكْ لَنَا فِي صَاعِهَا وَمُدِّهَا، وَانْقُلْ حُمَّاهَا فَاجْعَلْهَا بِالْجُحْفَةِ.

“Ya Allah, jadilah kami mengasihi Madinah sebagaimana kami mengasihi Mekah atau lebih lagi, dan sihatkan Madinah (daripada wabak penyakit), dan berilah keberkatan kepada gantang dan cupaknya serta pindahkan humma (penyakit) di Madinah dan jadikan ia di Juhfah.”

[Hadis sahih. Riwayat Bukhari dan Muslim.]


Bumi Madinah juga dipelihara daripada ancaman Dajal dan wabak taun. Sabda Nabi ﷺ:


عَلَى ‌أَنْقَابِ ‌الْمَدِينَةِ مَلَائِكَةٌ، لَا يَدْخُلُهَا الطَّاعُونُ، وَلَا الدَّجَّالُ.

“Di setiap pintu masuk Madinah terdapat malaikat yang mengawasi wabak taun dan Dajal daripada memasuki Madinah.”

[Hadis sahih. Riwayat Bukhari dan Muslim.]


Jangan pula sampai kita hilang jati diri dan tidak lagi rasa yakin dan bangga dengan Agama.


Kata Omar al-Khattab r.a.:

إِنَّا قَوْمٌ ‌أَعَزَّنَا ‌اللَّهُ بِالْإِسْلَامِ فَلَنْ نَلْتَمِسُ الْعِزَّ بِغَيْرِهِ.

“Kita merupakan kaum yang Allah muliakan dengan Islam. Justeru kami tidak akan mencari kemuliaan dengan selainnya.”

[Athar sahih. Riwayat al-Hakim.]


Bukan sahaja kesihatan jasmani penting malah lebih penting ialah kesihatan rohani yang tidak akan diperoleh melainkan dengan iman.

Dalam hal ini Nabi ﷺ menjelaskan bahawa bumi Madinah merupakan tapak iman dalam sabdanya:


إِنَّ الإِيمَانَ ‌لَيَأْرِزُ ‌إِلَى ‌المَدِينَةِ كَمَا تَأْرِزُ الحَيَّةُ إِلَى جُحْرِهَا.

“Sesungguhnya iman akan kembali ke Madinah sebagaimana ular kembali ke lubangnya.”

[Hadis sahih. Riwayat Bukhari dan Muslim.]


Banyak lagi hadis lain tentang kelebihan dan keistimewaan bumi Madinah.

Apa yang pasti, Madinah tetap bumi yang suci sama ada diperakui badan dunia atau tidak.


[Gerakan PENA Malaysia]



Comments