Mendepani Pandemik Covid - 19 Dengan Panduan Syarak

 OLEH: Ustaz Muhammad Fahmi Rusli


Berikut merupakan beberapa amalan yang boleh kita amalkan sebagai satu cara untuk mengekang keburukan Covid.

1- Ketika berlakunya gempa bumi pada zaman ‘Umar Ibn Abd Al-‘Azīz - رَحِمَهُ اللهُ - beliau segera mengarahkan seluruh rakyat untuk mendirikan solat secara berjemaah, dan beliau turut mengarahkan agar rakyatnya bersedekah.

Beliau berdalilkan firman Allah S.W.T :

قَدْ أَفْلَحَ َمن تَزَكَّى وَذَكَرَ اسْمَ رَبّهِ فَصَلَّى 

Maksudnya : Sesungguhnya beruntunglah orang yang membersihkan diri, dan dia menyebut nama Tuhannya lalu dia mendirikan solat.

Surah Al-A’lā (14-15)

Faedah, mengapa dikaitkan anjuran bersedekah dengan ayat di atas ? 

Jawabnya : Kerana perkataan تَزَكَّى di situ juga ditafsirkan sebagai : Mereka yang menunaikan zakat hartanya.

Antara yang menyatakannya adalah Abū Al-Ahwas (الأَحْوَص) serta Al-Imām Qatādah. Seakan maksud ayat : Sesiapa yang mampu untuk sedekahkan sedikit daripada hartanya maka hendaklah dia melakukannya. Kemudian bangunlah serta dirikanlah solat.

Rujuk Tafsīr Al-Tabari, Ibn Jarīr Al-Tabari (24/319)

Kemudian Umar Ibn Abd Al-‘Azīz turut mengarahkan rakyatnya untuk membaca doa yang pernah dibaca oleh Nabi Adam - عَلَيهِ السَّلَام - iaitu :

رَبَّنَا ظَلَمْنَا أَنفُسَنَا وَإِن لَّمْ تَغْفِرْ لَنَا وَتَرْحَمْنَا لَنَكُونَنَّ مِنَ 

الْخَاسِرِينَ 

Maksudnya : Wahai Tuhan kami, sesungguhnya kami telah menzalimi diri kami, dan sekiranya Kau tidak mengampunkan kami serta tidak mengasihi kami, nescaya kami akan tergolong dalam kalangan mereka yang rugi.

Surah Al-A’rāf (23)

Al-Hafiz Ibn Hajar Al-‘Asqalāni - رحِمَهُ اللهُ - lebih cenderung agar kita membaca doa di atas, berbanding satu permintaan yang disebut dalam Al-Qurān :

رَبَّنَا اكْشِفْ عَنَّا الْعَذَابَ إِنَّا مُؤْمِنُونَ

Maksudnya : Wahai Tuhan kami, alihkanlah azab daripada kami, sesungguhnya kami akan beriman.

Surah Al-Dukhān (12)

Hujah beliau adalah, ayat daripada Surah Al-A’rāf itu tadi dibaca oleh Nabi Ādam - عَلَيهِ السَّلام - lalu Allah menerima taubatnya dan kasih kepadanya.

Manakala ayat dalam Surah Al-Dukhān pula, Allah menceritakan bahawa ia diucapkan oleh golongan kafir. Lalu Allah menurutinya dengan penolakan terhadap mereka.

2- Dalam mazhab Al-Imām Al-Syāfi’e - رحمة اللهِ عليه - saat berlakunya wabak, bencana, atau malapetaka, adalah dituntut untuk kita membaca doa qunut yang disebut sebagai qunut nāzilah. Ia dituntut samada secara berjemaah mahupun bersendirian.

Rujuk : Bazl Al-Tā’ún, Ibn Hajar Al-‘Asqalāni (1/316), (1/331)

Al-Imām Al-Nawāwi  - رحمة اللهِ عليه - berkata : 

وَيُشْرَعُ القُنوُتُ فِي سَائرِ المَكْتُوبَاتِ للنَّازلَةِ لا مُطلَقًا عَلَى المَشهُورِ

Disyariatkan qunut dalam seluruh solat fardhu disebabkan nazilah (kejadian tertentu yang berlaku) dan bukanlah (ia dibaca) secara mutlak (yakni tanpa sebarang sebab) menurut pendapat yang masyhur.

Rujuk Minhāj Al-Tālibīn, Al-Nawāwi (1/27)

Al-Imam Ibn Hajar Al-Haitami ketika mensyarahkan kata-kata Al-Nawāwi di atas, beliau berkata :

Sama ada nazilah (kejadian yang berlaku) itu bersifat umum atau pun perkara khusus yang melibatkan masyarakat umum, yang mana kemudaratannya akan melibatkan umat Islam seperti wabak dan juga taun, demikian juga hujan lebat yang memudharatkan.

Rujuk Tuhfat Al-Muhtāj, Ibn Hajar Al-Haitami (1/58)

Berkenaan dengan lafaz bacaan semasa qunut nazilah pula, Ibn Hajar Al-Asqalani lebih cenderung supaya lafaz doa yang digunakan adalah yang bersesuaian dengan setiap nazilah (kejadian) yang berlaku.

3- Perbanyakkan doa-doa menolak bala. Al-Imām Al-Zarkasyi ada menukilkan, bahawa sebahagian salaf berdoa sesudah solat dengan doa :

اللهُمَّ إنا نَعُوذُ بكَ مِن عَظِيمِ البَلَاءِ , فِي النَّفْسِ وَ الأهْلِ و المَالِ و الوَلَدِ

Maksudnya : Ya Allah, sesungguhnya kami memohon perlindungan dengan-Mu daripada bala yang besar, pada diri kami, ahli keluarga kami, harta kami, serta pada anak-anak kami.

4- Perbanyakkan selawat ke atas Rasulullah - صَلَّى اللهُ عَلَيهِ وَسَلَّم -

Imam Ibn Hajar al-Asqalani (w. 852 h) menukilkan pendapat yang menyebut : “Antara sebesar perkara untuk mencegah taun dan selainnya dari bala-bala yang teruk adalah dengan memperbanyakkan selawat ke atas Nabi صلى الله عليه وسلم”.

Ini dikuatkan dengan sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Ubai bin Ka’ab - رَضِيَ اللهُ عنه - beliau berkata, ada seorang lelaki (sebahagian riwayat menyebutkan bahawa individu itu adalah Ubai sendiri) yang banyak berselawat ke atas Nabi S.A.W, sehingga baginda berkata :

إِذًا تُكْفَى هَمَّكَ وَيُغْفَرُ لَكَ ذَنْبُكَ

Maksudnya : Oleh itu kamu akan diselamatkan dari sebarang kerisauan serta diampunkan dosa-dosa kamu.

Riwayat Al-Tirmizi (2457)

5- Tinggalkan maksiat, perbanyakkan taubat, kembalilah kepada Allah S.W.T sebelum terlambat. 

Semoga Allah S.W.T melindungi kita semua dari wabak Covid 19 serta segala penyakit yang berbahaya. Allahumma Amēn.

[Gerakan PENA Malaysia]




Comments