Perihal Air Zulat Dan Ulat Salji

 OLEH: Ustaz Muhammad Izzat Al-Kutawi


Air zulāl ialah air yang berasal daripada zulāl, sejenis ulat salji (snowworm atau iceworm) atau dipanggil juga dengan “ulat air”. Ia diperkenalkan oleh al-Damīrī (808 H) sebagai:

دُودٌ يَتَرَبَّى فِي الثَّلْجِ، وَهُوَ مُنَقَّطٌ بِصُفْرَةٍ يَقْرُبُ مِنَ الإِصْبِعِ، يَأْخُذُهُ النَّاسُ مِنْ أَمَاكِنِهِ لِيَشْرَبُوا مَا فِي جَوْفِهِ لِشِدَّةِ بَرْدِهِ.

"Ulat yang hidup dalam salji. Ia bertompok kuning, bersaiz hampir sebesar jari, dan manusia mengambilnya daripada tempat-tempatnya untuk meminum isi dalamnya kerana kesejukannya yang amat." 

Zulāl dengan ciri-ciri mempunyai tompok kuning dan bersaiz sebesar jari mungkin sudah pupus, tetapi terdapat sejenis ulat salji dari genus Mesenchytraeus yang berwarna coklat gelap, bersaiz sekitar 15 mm, dan hidup di kawasan bersalji di Amerika Utara didapati sangat sensitif terhadap haba. Ulat yang dikatakan membeku pada suhu -6.8 °C tetapi mati dan mencair pada suhu 20 °C ini diberi nama solifugus oleh Carlo Emery (1925 M), ahli entomologi dengan maksud “lari daripada matahari”. 

Sebahagian aṣḥāb tidak menganggap ulat seperti ini sebagai haiwan yang sebenar, tetapi air yang membentuk rupa haiwan. Itulah sebab air zulāl dipanggil zulāl sahaja. Oleh yang demikian, ia bukan setakat ṭāhir (suci) dan halal, malah sama seperti salji yang ṭāhūr (suci dan menyucikan) untuk digunakan dalam taharah. Kata Kadi Ḥusayn:

مَسْأَلَةٌ: الدُّودُ الَّذِي يَذُوبُ أَو يُنْشَقُ فَيَسِيلُ مِنْهُ المـــَاءُ فَهُوَ طَهُورٌ، لِأَنَّهُ لَيْسَ بِحَيْوَانٍ، بَلْ هُوَ يَنْعَقِدُ فِي دُخَانٍ يَسْطَعُ مِنَ المـــَاءِ فَيُشْبِهُ [الدُّودَ].

"Masalah: ulat yang mencair atau disedut (?) lalu mengalirkan air adalah ṭahūr, kerana ia bukan haiwan, bahkan ia terhasil dalam wap air lalu menyerupai [ulat]." 

Khatib al-Sharbīnī menggolongkan air zulāl ke dalam kelompok air mata air. Katanya: 

[و] خَامِسُهَا [مَاءُ العَيْنِ] الأَرْضِيَّةِ كَالنَّابِعَةِ مِنْ أَرْضٍ أَوِ الجَبَلِ أَوِ الحَيَوَانِيَّةِ كَالنَّابِعَةِ مِنَ الزُّلَالِ وَهُوَ شَيْءٌ يَنْعَقِدُ مِنَ المــَاءِ عَلَى صُورَةِ الحَيَوَانِ...

"[Dan] yang kelima, [air mata air] bumi/tanah seperti yang keluar daripada tanah atau bukit; atau haiwan seperti yang keluar daripada zulāl iaitu air yang terbentuk dalam rupa haiwan…"

Ibnu Ḥajar dalam al-Minhāj al-Qawīm menjazamkan zulāl sebagai ṭahūr kerana ia bukan haiwan. Namun begitu, dalam Tuḥfah al-Muḥtāj, ketika menerangkan kepelbagaian jenis air mutlak beliau mengatakan:

... أَوْ كَانَ زُلَالًا، وَهُوَ مَا يَخْرُجُ مِنْ جَوْفِ صُوَرٍ تُوجَدُ فِي نَحْوِ الثَّلْجِ كَالْحَيَوَانِ وَلَيْسَتْ بِحَيَوَانٍ، فَإِنْ تَحَقَّقَ كَانَ نَجِسًا لِأَنَّهُ قَيْءٌ.

"… Atau ia merupakan zulāl, iaitu sesuatu yang keluar daripada bahagian dalam benda yang dijumpai di seumpama salji seperti haiwan tetapi ia bukan haiwan. Jika sah (haiwan) maka najis kerana ia muntah." 

Daripada situ dibuat ḍābit bahawa “sekiranya ia berjalan dan berlari maka ia haiwan, dan sekiranya ia tidak bergerak dan tidak berlari dengan sendirinya maka ia jamād (bukan benda hidup) dan isi dalamnya ṭāhir.” 

Menerusi perkembangan ilmu pengetahuan hari ini, dipastikan bahawa ia sejenis haiwan. Tidak diketahui sama ada zulāl bergerak atau tidak, tetapi ulat salji yang mencair seperti zulāl tadi memang bergerak-gerak. Oleh itu, air daripada dalam tubuh zulāl sepatutnya dihukum seperti muntah, meskipun kesucian dan kehalalan zulāl itu sendiri boleh diterima dengan memasukkannya dalam kelompok haiwan yang hidup di dalam air atau dianggap seperti ulat yang terdapat di dalam buah. Walau bagaimanapun, menurut Ibnu ‘Imād (808 H) yang menganggapnya haiwan dan memusykilkan kesuciannya dengan alasan yang sama, air yang berasal daripada ulat tersebut boleh dihukum suci dengan menganggap:

a. muntah tidak najis sebelum berubah

b. air kencing dan tahi haiwan yang darahnya tidak mengalir ṭāhir mengikut salah satu daripada dua wajh 

c. sebagaimana air yang mengandungi zulāl yang sudah mati dan bersentuh dengan bahagian luarnya tidak menjadi najis, begitu juga dengan air yang berada di dalam bahagian dalamnya.

Kemudian, katanya:

وَهَذَا أَحْسَنُ تَوْجِيهٍ وَيُسْتَفَادُ مِنْهُ أَنَّهُ يَجُوزُ امْتِصَاصُ دُودِ الخَلِّ وَالمـــَاءِ لِاسْتِخْرَاجِ مَا فِي جَوْفِهِ.

"Dan ini tawjīh yang paling baik dan diambil daripadanya bahawa harus menyedut ulat cuka dan air untuk mengeluarkan isi dalamnya." 

Sungguhpun begitu, semua tawjīh itu sekadar menjadikannya ṭāhir, bukan ṭahūr. Jadi, dimuktamadkan bahawa air zulāl dan seumpamanya bukan air mutlak, meskipun terdapat sebahagian aṣḥāb yang zahirnya menghukumnya ṭahūr walaupun ia sejenis haiwan, iaitu:

Pertama, Abū al-Fatūḥ al-‘Ijlī (600 H) sebagaimana katanya dalam catatannya ke atas al-Wajīz oleh Imam al-Ghazālī:

المـــَاءُ الَّذِي فِي دُودِ الثَّلْجِ طَهُورٌ.

"Air yang terdapat dalam ulat salji ṭahūr." 

 Kedua, al-Nazīlī dalam al-Anwār, katanya:

الزُّلَالُ دُودٌ مُنَقَّطٌ بِصُفْرَةٍ... وَالصَّحِيحُ أَنَّ مَا فِي جَوْفِهِ مِنَ المـــَاءِ طَاهِرٌ وَطَهُورٌ.

"Zulāl bertompok kuning… Dan yang sahih, air yang terdapat di bahagian dalamnya ṭāhir dan ṭahūr."



[Gerakan PENA Malaysia]


Comments