Tadabbur Surah At-Tawbah ayat 118 dan 119

 OLEH: Ustaz Muhammad Fahmi Rusli


Malam ini mari kita tadabbur ayat ke- 118 dan 119 Surah Al-Tawbah. Ayat ke- 119 sangat berkait rapat dengan ayat ke 118 apabila Allah S.W.T berfirman:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اتَّقُوا اللَّهَ وَكُونُوا مَعَ الصَّادِقِينَ

Maksudnya : Wahai orang yang beriman, bertakwa lah kamu kepada Allah dan hendaklah kamu bersama dengan orang-orang yang jujur/benar.

Teliti : Apa kaitan kejujuran dengan kisah 3 orang yang tidak turut serta dalam peperangan Tabuk yang disebut pada ayat sebelumnya itu, iaitu firman Allah :

وَعَلَى الثَّلَاثَةِ الَّذِينَ خُلِّفُوا حَتَّىٰ إِذَا ضَاقَتْ عَلَيْهِمُ الْأَرْضُ بِمَا رَحُبَتْ وَضَاقَتْ عَلَيْهِمْ أَنفُسُهُمْ وَظَنُّوا أَن لَّا مَلْجَأَ مِنَ اللَّهِ إِلَّا إِلَيْهِ ثُمَّ تَابَ عَلَيْهِمْ لِيَتُوبُوا ۚ إِنَّ اللَّهَ هُوَ التَّوَّابُ الرَّحِيمُ 

Maksudnya : Dan ke atas tiga orang yang tidak turut serta (dalam perang Tabuk), sehingga apabila dunia yang luas terasa sempit serta jiwa mereka turut berasa sempit, lalu mereka menyangka (meyakini) bahawa tidak ada tempat kembali dari Allah melainkan hanya kepada-Nya. Kemudian Allah memberi taubat kepada mereka supaya mereka bertaubat. Sesungguhnya Allah maha penerima taubat lagi Maha Penyayang.

Kita tahu bahawa tiga orang tersebut adalah : 

1) Ka’b bin Malik 

2) Hilal bin Umayyah 

3) Murarah Ibn Al-Rabi’.

Individu yang paling menonjol dalam kisah ini adalah Ka’b bin Malik sehingga ramai ulama meletakkan tajuk bab bagi hadis ini dengan : Kisah taubat Ka’b bin Malik.

‎Mereka yang meneliti riwayat kisah ini dalam Sahih Al-Bukhari dan selainnya, pasti akan menemui kata-kata Ka’b selepas taubatnya diterima Allah, iaitu :

‎إنما أنجاني الله بالصدق

‎Sesungguhnya Allah menyelamatkan aku hanyalah kerana aku ini bersifat JUJUR.

Kemudian beliau menyambung :

‎وإن من توبتي أن لا أحدث إلا صدقًا ما بقيت

‎Sesungguhnya sebahagian dari taubatku, aku hanya akan bercakap jujur sahaja sepanjang aku hidup.

Kesimpulan tadabbur : 

Sesungguhnya yang menyelamatkan kita dari dosa-dosa dan maksiat adalah taubat yang penuh dengan kejujuran dan ketelusan kepada Allah S.W.T.



[Gerakan PENA Malaysia]


Comments