Allah Di Arsy

OLEH: Ustaz Muhammad Izzat Al-Kutawi


Saya tidak suka melibatkan diri dalam perbahasan atau “muzakarah” di media sosial, tetapi ada suatu ketika saya terjebak apabila ada hamba Allah mempertikaikan bahawa salaf mengisbatkan sifat ‘uluww secara hakiki.

Hujahnya, mereka tidak mengatakan “Allah di langit” dengan menambah perkataan “dengan zat-Nya” atau ibarat seumpamanya. Katanya, salaf termasuk Imam Mālik hanya mentafwīḍ, bukan mengisbatkan, dan “qarinahnya adalah beliau tidak menambah lebih daripada apa yang wārid.”

Saya terkejut dengan hujah yang dikemukakan, kerana asalnya sesuatu perkataan itu difahami secara hakiki bukan majāz. Jadi, bagi saya, untuk memalingkan makna perkataan salaf “Allah di langit” daripada makna hakiki kepada makna majāz, kita memerlukan qarīnah. 

Walaupun tiada qarīnah yang menunjukkan mereka tidak mengisbatkan atau memaksudkan majāz, tetapi beliau berkeras mengatakan qarīnahnya adalah mereka tidak menambahkan apa-apa selain daripada yang disebutkan dalam al-Quran dan sunnah. 

Jadi, di sini saya menyatakan hujah yang menafikan dakwaannya:

1.  Golongan yang mentafwīd sepatutnya sama sekali tidak mentaṣarruf nas. Imam al-Ghazālī dalam Iljām al-‘Awwām ketika menjelaskan hakikat mazhab salaf di sisi beliau mengatakan antara yang perlu dilakukan bagi orang yang mengikut jalan salaf dalam akidah ketika mendengar nas mutashābihāt – mengikut istilah mereka – adalah mengekalkan lafaz yang digunakan iaitu:

... لا يتصرف في تلك الألفاظ بالتصريف والتبديل بلغة أخرى والزيادة فيه والنقصان منه والجمع والتفريق بل لا ينطق إلا بذلك اللفظ وعلى ذلك الوجه من الإيراد والإعراب والتصريف والصيغة. 

“Tidak mentaṣarruf lafaz-lafaz tersebut dengan mentaṣrīf, menukarkan ke bahasa lain, menambah, mengurangkan, menghimpun, dan memisahkan; bahkan tidak menuturkan kecuali dengan lafaz tersebut dan mengikut bentuk tersebut dari segi īrād, i‘rāb, taṣrīf, dan ṣīghah."

Akan tetapi, jika dilihat daripada kalam salaf, mereka melakukan taṣarruf yang menunjukkan mereka bukan mentafwīd maknanya, tetapi memahami dan mengisbatkan sebagaimana zahir. Imam Aḥmad dalam lebih daripada satu riwayat ditanya:

الله عز و جل فوق السماء السابعة على عرشه بائن من خلقه وقدرته وعلمه بكل مكان

“Allah ‘azza wa-jalla di atas langit ketujuh di atas arasy-Nya, terpisah daripada makhluk-Nya, kudrat dan ilmu-Nya di setiap tempat?”

Beliau tidak menolak ayat dengan tarkīb dan lafaz sebegini walaupun tiada dalam nas, bahkan membenarkan dengan berkata:

نعم على العرش و لا يخلو منه مكان

“Ya, di atas arasy dan tidak sunyi daripada-Nya satu tempat.”

2. Dalam berbicara, ta‘kīd atau penegasan hanya dibuat apabila diperlukan. Apabila sesuatu itu sudah jelas dan tidak dirasakan akan menimbulkan kekeliruan, ta‘kīd tidak diperlukan. Kata-kata “Allah di atas arasy” sudah jelas bermaksud bahawa zat-Nya berada di atas arasy, itulah sebabnya salaf tidak membuat penambahan “dengan zat-Nya.”

Pada zaman kemudian, ramai ulama membuat penambahan “dengan zat-Nya” sebagai penegasan untuk menolak waham atau takwilan bahawa yang dimaksudkan dengan kata-kata “Allah di langit” adalah ‘uluww manzilah atau ma‘nawī. Atau, mereka menambah “dengan zat-Nya” untuk “di atas arasy” untuk membezakan dengan apa yang berada “di mana-mana” dan sebagainya.

3. Jika ketiadaan “dengan zat-Nya,” “secara hakiki,” dan seumpamanya menunjukkan salaf tidak mengibatkan ‘uluww, mereka juga tidak mengatakan Allah mendengar dan melihat dengan “zat-Nya” atau “secara hakiki.” Adakah itu bermakna salaf sebenarnya tidak mengisbatkan sifat sam‘ dan baṣar secara hakiki? 

4. Bahkan dalam kata-kata Imam Mālik yang dibahaskan itu sendiri terdapat qarīnah yang menunjukkan bahawa yang dimaksudkan adalah zat-Nya. Katanya:

الله في السماء وعلمه في كل مكان.

“Allah di langit dan ilmu-Nya di setiap tempat.”

Qarīnahnya, ketika mengatakan “di setiap tempat” beliau mengatakan “ilmu-Nya”, sementara apabila mengatakan “di langit” beliau sekadar menyebut “Allah”. Jika yang dimaksudkan “di langit” adalah bukan zat-Nya, sudah tentu beliau akan menyebutnya sebagaimana beliau menyebut “ilmu-Nya.”

5. Dari sudut lain, kata-kata “Allah di langit dan ilmu-Nya di setiap tempat” diucapkan untuk menafsirkan dan menjamakkan antara nas yang mengatakan Allah di langit dan Allah di mana-mana. Hal ini demikian, kerana nas-nas tersebut zahirnya bercanggahan.

Dalam kata-kata itu, nas yang mengatakan Allah di mana-mana ditafsirkan merujuk kepada ilmu Allah, manakala nas yang mengatakan Allah di langit dibiarkan mengikut zahirnya. Jika nas yang mengatakan Allah di langit tidak difahami mengikut zahir, sudah tentu beliau akan menjelaskannya sebagaimana beliau menjelaskan nas yang mengatakan Allah di mana-mana.

6. Tidak mengatakan Allah di langit “dengan zat-Nya” tidak bermakna menolak mengisbatkannya. Imam al-Dhahabī sendiri menolak menambah ibarat “dengan zat-Nya” dan menganggapnya fuḍūl al-kalām, tetapi beliau maklum antara yang mengisbatkan sifat ‘uluww dengan mengarang kitab khusus.

Daripada penjelasan ini ternyatalah bahawa dakwaan bahawa salaf mentafwīd sifat ‘uluww adalah dakwaan yang fāsid dan batil.

Wallahualam.

[Gerakan PENA Malaysia]

Comments