Apakah Hukum Membaca Al Quran Secara Kuat Sehingga Mengganggu Orang Lain ?

 OLEH: Ustaz Muhammad Fahmi Rusli


Al-Imam Al Nawawi - rahimahullah - ditanya berkenaan isu ini. Bahawa bacaan Al-Quran secara kuat ini, sebahagian orang mengambil manfaat darinya melalui perbuatan mendengar bacaan Al-Quran. Manakala sebahagian yang lain terganggu dengan bacaan secara kuat.

Maka jawab Al-Nawawi :

إن كانت المصلحة فيها وانتفاع الناس بها أكثر من المفسدة المذكورة  فالقراءة أفضل ، وإن كانت المفسدة أكثر كرهت القراءة 

Maksudnya : Sekiranya terdapat maslahah padanya (bacaan secara kuat) serta orang ramai dapat mengambil manfaat darinya lebih banyak berbanding mafsadah (kesan buruk) yang disebutkan, maka bacaan Al-Quran (secara kuat) itu lebih afdal. Sekiranya keburukan lebih banyak (merujuk kepada mengganggu orang ramai), maka dimakruhkan bacaan Al-Quran secara kuat.

Kemudian beliau turut ditanyakan berkenaan bacaan Al-Quran di luar solat, manakah lebih afdal antara baca secara kuat atau secara perlahan ?

Beliau - rahimahullah - menjawab :

الجهر في التلاوة في غير الصلاة أفضل من الإسرار ، إلا أن يترتب على الجهر مفسدة كرياء أو إعجاب أو تشويش على مصل أو مريض أو نائم أو معذور أو جماعة مشتغلين بطاعة أو مباح 

Maksudnya : Bacaan Al-Quran secara kuat di luar solat adalah lebih afdal berbanding membacanya dengan suara yang perlahan. Kecuali jika bacaan secara kuat itu membawa kepada mafsadah seperti menimbulkan riyak, ujub, atau mengganggu orang yang sedang solat, atau orang sakit, atau orang yang sedang tidur, atau orang yang uzur, atau para jemaah yang sedang sibuk melakukan ketaatan atau (melakukan) perkara yang harus hukumnya.

Rujuk Fatawa Al Imam Al Nawawi (Halaman 45)

Jika diteliti, semua ini adalah berkenaan seseorang membaca Al Quran secara kuat. Jika bacaan ini datang dari kaset yang dipancarkan menerusi pembesar suara (speaker), maka yang lebih afdal adalah sama ada ia diperlahankan sehingga ternafi gangguan, atau memadai dengan laungan azan sahaja pada waktunya.

‎والله الموفق


[Gerakan PENA Malaysia]



Comments