Halalkah Makanan Di Restoran 'No Pork' Milik Orang Kafir?

 OLEH: Taufiq Tuah

Telah menjadi tabiat pemilik-pemilik restoran kafir di Malaysia yang sengaja tidak mengambil sijil halal dari JAKIM. Sama ada mereka tidak meminta atau mereka tidak layak, pengguna seharusnya cakna dan berwaspada dalam isu ini.

Jika peniaga seorang Muslim, maka sangkaan yang kuat kita boleh titipkan bahawa makanan yang dijual ialah halal, kerana penjualnya sendiri juga perlu memakan makanan yang halal. Malah isu makanan halal ini menjadi isu sensitif di Malaysia saban tahun.

Tiada jaminan bahawa orang kafir akan menjualkan makanan yang halal jika tiada sijil halal. Itu suatu kepastian. Malah jika mereka benar ikhlas, apalah ruginya mereka meminta sahaja sijil halal daripada JAKIM?

Maka menjadi taktik peniaga makanan kafir di Malaysia, untuk meletakkan papan tanda, "No Pork Served" atau bermaksud, "Tiada Hidangan Babi".

AWAS wahai pengguna, itu bukanlah bukti mereka menjual makanan yang halal. Walaupun besar papan tanda mereka tuliskan "No Pork", tapi di mana pula sensitiviti kita terhadap bejana yang mereka gunakan? Sama ada periuk mereka atau kuali mereka?

Adakah mereka peduli tentang bekas-bekas babi yang mereka pernah masak senyap-senyap tanpa pengetahuan pelanggan Muslim (jika ada). Malah besar sahaja kemungkinan dengan periuk yang sama pernah diperam daging beserta peraman arak ataupun masakan berkuah yang memerlukan arak sebagai penyedap rasa?

Berkenaan ini, maka ada baiknya kita bacakan sebuah hadis yang saya perolehi daripada kelas Bulughul Maram karya Ibnu Hajar Al-Asqalani (takde lah org tuduh aku taksub Syeikh Al-Albani nnt),

وَعَنْ أَبِي ثَعْلَبَةَ الْخُشَنِيِّ – رضي الله عنه – قَالَ: – قُلْتُ: يَا رَسُولَ الْلَّهِ، إِنَّا بِأَرْضِ قَوْمٍ أَهْلِ كِتَابٍ، أَفَنَأْكُلُ فِي آنِيَتِهِمْ؟ قَالَ: “لَا تَأْكُلُوا فِيهَا، إِلَّا أَنْ لَا تَجِدُوا غَيْرَهَا، فَاغْسِلُوهَا، وَكُلُوا فِيهَا” – مُتَّفَقٌ عَلَيْهِ

Dari Abu Tsa’labah Al-Khusyaniyy radhiyallahu ‘anhu berkata, “Saya bertanya, wahai Rasulullah, kami tinggal di daerah Ahlul Kitab, bolehkah kami makan dengan bejana mereka?” Beliau menjawab, “Janganlah engkau makan dengan bejana mereka kecuali jika engkau tidak mendapatkan yang lain. Oleh itu, bersihkanlah dahulu dan makanlah dengan bejana tersebut.” 

(Muttafaqun ‘alaih) [HR. Bukhari, no. 5478, 5488, 4596; dan Muslim, no. 1930].



Faedah hadis ini ialah,

1. JAUHI DIRI daripada memakan dari bejana ahli kitab (apatah lagi musyrikin yang bukan ahli kitab) sama ada periuk, kuali, pinggan, mangkuk dll, kerana mereka tidak berhati-hati dalam menjaga diri dari najis.

2. Sangkaan kita kuat dan yakin bahawa mereka tidak akan menjaga kebersihan bejana mereka daripada makanan yang haram. Sama ada daripada babi atau daripada arak. Apatah lagi apabila arak diketahui sebagai salah satu bahan utama penyedap masakan orang kafir.

3. Berhusnuzon bahawa bejana mereka itu bersih dan suci ialah sifat yang naif. Apatah lagi apabila mereka memasak dengan kuantiti yang banyak di restoran.

4. Bejana orang kafir boleh digunakan hanya apabila memenuhi dua syarat. 

a) Tiada bejana lain.

b) Dibersihkan sehingga diyakini bersih.

Maka nasihat saya, sila lah berhenti daripada makan di restoran-restoran milik orang kafir yang tiada sijil halal sah JAKIM. Banyak sahaja restoran lain yang ada sijil halal di dalam Malaysia ini. Malah lebih baik kita menyokong peniaga kecil di warung Muslim tepi jalan kerana walaupun mereka tiada sijil halal, mereka masih tahu erti sebenar makanan halal. Wallahualam

[Gerakan PENA Malaysia]

Comments